Pendidikan agama yang mantap dapat mengelak remaja terlibat dalam gejala buang bayi. - gambar hiasan
Assalamualaikum warahmatullah,
SALAH satu aspek yang paling ditekankan dalam al-Quran adalah aspek memperkasakan dan memperbaiki akhlak manusia sehingga al-Quran itu dijadikan pertunjuk dan rujukan yang paling baik dan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik akhlaknya.
Akhlak yang baik merupakan tonggak dalam kesejahteraan masyarakat. Kejatuhan satu-satu bangsa itu adalah kerana keruntuhan akhlak ahli-ahlinya. Sekiranya anak-anak muda kita dan para remaja sudah mula menunjukkan ketidak-menjadian akhlaknya maka kita perlu risau dan sesuatu mesti dilakukan segera.
Mengikut Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulum ad-Din, sesungguhnya semua sifat tertanam dalam lubuk hati. Namun, pengaruh yang ditimbulkannya akan terlihat dengan jelas pada anggota tubuh. Kerananya, seseorang tidak bergerak melainkan sesuai dengan sifat (dalam hatinya).
Dengan kata lain segala perilaku individu itu selaras dengan watak dalaman seperti hubungan antara sebatang dahan dengan akar yang tertanam dalam tanah. Kesolehan perbuatan seseorang itu berkait erat dengan kebaikan akhlaknya. Justeru, untuk memperbaiki ketidak-menjadian remaja kini adalah dengan membimbing akhlaknya dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah.
Seperti sebelum datangnya Islam, akhlak rata-rata manusia yang hidup zaman itu berada dalam kejahilan sehingga manusia sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup, minum arak dalam tengkorak, melakukan tawaf dalam keadaan bogel. Apabila Nabi diutuskan maka hati-hati yang keras dan kosong itu dididik dengan Islam. Maka manusia mampu menjadi yang terbaik dan digeruni bukan sahaja di kalangan manusia tetapi juga iblis dan syaitan dan nama-nama mereka telah dijanjikan syurga Allah.
Manusia kini berada dalam abad yang termaju dengan kecanggihan teknologi dan pengetahuan tetapi tingkah laku mereka tidak menunjukkan peradaban yang maju dan tidak selari dengan kemajuan. Ini apabila perbuatan keji seperti perzinaan dan arak menjadi agenda biasa dalam masyarakat dan ciri-ciri zaman jahiliah ini biasa dilaporkan dalam media dan kehidupan masyarakat dunia.
Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda: ...Di antara tanda-tanda (datangnya) hari kiamat adalah, ilmu pengetahuan diangkat, kebodohan, arak dan perzinaan berleluasa. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu penglibatan diri generasi muda dengan tingkah laku berisiko tinggi seperti dadah, seks bebas atau penyalahgunaan dadah akan membawa kepada virus HIV yang kemudiannya membawa kepada Aids.
Kesan Aids akan kelihatan selepas 10 tahun. Ia akan membawa kepada kesengsaraan dan kematian, berseronok hari ini sengsara kelak seperti kata-kata, ...the epidemic of Aids will continue, and the spiral of early death will remain. Therefore, act we must, lest suffer. Be warned, as today’s amusement is tomorrow’s embarrassment. (Khaidzir Ismail, 1997)
Dalam sudut pandang psikologi, zaman peralihan remaja yang penuh cabaran terutamanya perubahan fisiologikalnya yang amat pantas tetapi pencapaian kematangan tidak seiring seperti aspek fizikal. Hormon yang mana setengah individu remaja tidak dapat mengawalnya dengan bijak sehingga boleh menyumbang kepada keputusan dan tindakan yang kurang matang.
Dengan pendedahan awal kepada yang boleh merangsang hormon remaja seperti mula dengan bahan-bahan lucah yang mudah diperolehi. Kemudian melakukannya tanpa segan dan malu bersama rakan sebaya.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Malik dalam kitab al-Muwatta’, Nabi SAW bersabda, Sesungguhnya setiap agama mempunyai akhlak dan akhlak Islam adalah malu.
Renung-renungkan!
Sumber : Dr. Khaidzir Ismail di Utusan 17/06/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...