PAGE

Khamis, Jun 17, 2010

Melayan suami 'anak emak'

LELAKI biasanya menjadi 'anak emak' kerana lebih akrab dengan ibu berbanding bapa.

Assalamualaikum warahmatullah,

Siapa yang tidak pernah mendengar ungkapan anak emak...? Rasa-rasanya, kita semua tahu apa yang dimaksudkan dengan ‘anak emak’ ini, ya. Memanglah semua orang ada emak dan semuanya anak emak, tetapi bila disebut-sebut si polan atau si polanah itu ‘anak emak’, semacam ada sesuatu yang negatif tidak kena dengan si polan atau si polanah tersebut.

“KALAU ummie buat kari, sedap. Tapi kalau you yang buat I tak berapa seleralah,” pedihnya telinga Hazimah sudah tidak terasa dek lali mendengar ungkapan ‘semanis’ itu daripada bibir suaminya. Bagi dirinya ungkapan sebegitu tidak lagi memberikan sebarang erti kerana kalau melenting, suami akan mengadu kepada ibunya dan beliau pula yang mendapat malu nanti. Nasiblah bersuamikan ‘anak emak’.

Pernahkah anda mengalami situasi seperti di atas? Bagaimana perasaan anda? Silap haribulan, ada muka yang disimbah kari! Kui... kui... kui.... Harapan saya, tidak pernah adalah lebih beruntung. Namun jika anda pernah mengalaminya, harap dapat bersabar dan cuba habiskan artikel ini. Hari ini saya hendak berceloteh berkenaan lelaki yang sudah bergelar suami sebenarnya ‘anak emak’! Jiwa wanita mana yang tidak tertarik dengan lelaki yang berbudi penyayang, pemurah, bertimbang rasa, bertanggungjawab, ikhlas dan jujur. Anda juga berkemungkinan besar jatuh cinta dengan lelaki apabila dia memiliki sifat-sifat baik seperti itu.

Ke semua peribadi terpuji tersebut sudah tentunya terbentuk atas asuhan ibu bapanya, malah didikan itu juga biasanya menyebabkan anak lelaki sangat menuruti arahan dan permintaan keluarga terutama ibunya. Kisah anak lelaki yang dikaitkan sebagai ‘anak emak’ bukan perkara baru. Segala-gala dilakukan ‘anak emak’ selalu ‘direportkan’ kepada ibu. Secara umumnya ‘anak emak’ dikaitkan dengan anak lelaki yang terlalu dimanjai ibu kerana 1,001 alasan.

Menurut Kaunselor Berdaftar Universiti Malaya, Hushim Salleh, berkata ‘anak emak’ boleh mendatangkan kesan positif apabila anak berkenaan mengambil berat dan menghormati ibunya itu, sesuai zahirnya yang perlu bertanggungjawab menjaga ibu apatah lagi sekiranya ketika itu beliau masih belum mendirikan rumah tangga. Ia mungkin bukan masalah apabila lelaki masih lagi bujang, bagaimanapun, konsep ‘anak emak’ boleh mendatangkan kesan negatif dan konflik boleh terjadi apabila anak berkenaan sudah menjengah alam rumahtangga dan menjadi seorang suami ‘anak emak’ kepada seorang wanita. Alamak... tersilap pilih rupanya...

Tindakan suami menuruti segala permintaan ibu membuatkan si isteri acapkali menjeruk rasa. Malah, ada rumahtangga yang berantakan, gara-gara tingkah laku suami yang berlebih-lebihan mengikut telunjuk emak dia. Bukanlah maksud saya hendak menyuruh suami menderhaka kepada emaknya sendiri, tetapi taat kepada emak ibu pun ada batasnya. Taat kepada emak ibu bukan bermakna tidak mengapa suami boleh nusyuz kepada isteri sendiri. Ingat tu!

Siapakah yang dikatakan suami anak emak ini?

Menurut Ahli Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Md. Zain pula, mengikut teori Sigmund Freud, secara semulajadi anak lelaki lebih cenderung bersama ibu manakala anak perempuan pula dengan bapa. Erk... biasanya, bila kita sebut ‘anak emak’, istilah ini agak condong kepada kaum lelaki. Mengapa? Seperti kata prof Dr. Azhar, ‘anak lelaki lebih cenderung bersama emak/ibu', oleh sebab itu, secara naturalnya dapat dilihat kebanyakan anak-anak lelaki lebih rapat dengan ibu sehingga berkongsi segala masalah peribadi dan menjadikan ibu sebagai sahabat baik mereka... dan lahirlah istilah ‘anak emak’.

Selain itu, suasana keluarga itu sendiri apabila bapa jarang sekali berada di rumah atas urusan kerja menyebabkan kaum ibu perlu mengendalikan segala permintaan anak sekaligus membina ikatan yang lebih akrab. Adakalanya personaliti bapa yang garang, pendiam dan kurang mesra membuat anak lelaki lebih selesa dengan ibu yang lemah-lembut.

Saya sendiri pernah mengenali beberapa orang lelaki yang dikatakan ‘anak emak’. Apa yang hendak dilakukan, semuanya diminta pandangan emak/ibu. Sifat begini sangat terpuji, tetapi ada kalanya agak merimaskan. Iyalah... kalau sampai hendak beli ‘spentot’ pun kena tanya emak, haiya... syusahlah. Bukan sahaja diri sendiri yang syusah, emak pun syusah nak menjawab... hik.. hik...

Tidak dinafikan, semasa anak lelaki masih bujang keakraban bersama ibu itu mungkin tidak mengundang masalah, walau bagaimanapun, sebaliknya setelah mendirikan rumahtangga, wanita baru dalam kehidupannya mungkin menyebabkan suami perlu membahagikan perhatian.

Seorang lelaki yang bergelar suami seharusnya mengetahui cara terbaik untuk membahagikan kasih sayang antara seorang isteri dan ibu. Lelaki juga perlu jelas kepentingan yang patut diberi antara wanita yang dicintai dan wanita yang disanjung tinggi dalam hidupnya.

~ gambar hiasan ~

Kasih sayang yang salah boleh merosakkan

Menurut Kaunselor Berdaftar Universiti Malaya, Hushim Salleh pula, berdasarkan penelitian perkara ini boleh menimbulkan masalah dengan isteri apabila si anak mula membandingkan perkara dilakukan isteri dengan ibunya, seperti cara memasak, cara mengemas rumah dan sebagainya yang berlebihan hingga menimbulkan kecil hati isteri.

“Kalau memuji dan membandingkan dengan berlebihan, si isteri akan rasa kekurangan dan apabila berlaku, keadaan ini boleh menggugat keharmonian rumah tangga kerana isteri mungkin berasa dirinya tidak berperanan dalam rumah tangga,” katanya yang mengatakan beliau ada mengendalikan purata tiga kes sebulan membabitkan isu berkenaan.

Katanya, anak emak berlaku dalam semua lapisan masyarakat dan lazimnya dikaitkan dengan lelaki kerana anak lelaki dikatakan lebih pandai mengambil hati ibu menyebabkan seorang ibu cenderung mengasihi anak lelaki.

Malangnya kasih sayang itu boleh merosakkan kerana anak lelaki dilayan bagaikan raja, sedangkan anak perempuan dibebankan tugas yang berat. Malah ada kalanya, kehendak anak lelaki diberikan sedangkan anak perempuan terpaksa berusaha sendiri untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Sedangkan perkara itu boleh mengundang masalah pada kemudian hari termasuk generasi lelaki seterusnya yang tidak tahu tanggungjawab dan hidup bergantung kepada orang lain.

“Anak emak tidak begitu menimbulkan masalah kalau bujang, yang menjadi masalah ialah bila dia sudah berkahwin. Menangani anak emak ini, saya lihat anak lelaki dan ibu berkenaan perlu berubah. Kalau si anak berlebihan seperti terlalu bergantung kepada ibu dalam serba perkara, si ibu itu perlu menegur dan menasihati anak berkenaan bahawa dia kini punyai keluarga baru yang perlu diberikan perhatian, sementara anak itu pula perlu tahu membahagikan kasih sayang itu dengan adil,” katanya.

Bagaimanapun, beliau akui ada segelintir ibu yang ‘tidak sedar atau sengaja’ mengambil kesempatan kerana kepentingan sendiri terutama apabila anak menjadi sumber kewangan. Malah, dalam keadaan tertentu keakraban itu boleh menggugat perkahwinan anaknya.

“Banyak juga kes saya kendalikan hingga membawa perceraian. Ada satu kes, lelaki ini seorang anak emak. Disayangi kerana bijak sejak daripada sekolah rendah hinggalah masuk universiti dan selalu mendapat keputusan yang cemerlang. Apabila dia hendak berkahwin, namun si ibu memberi syarat supaya kekal tinggal di rumah ibunya. Bagaimanapun isterinya enggan, lalu timbul pergaduhan dan keengganan itu membawa kepada perceraian. Malangnya perceraian itu menyebabkan anak lelakinya itu terus membujang dan serik berkahwin lagi,” katanya.

Mengulas mengenai peranan bapa, Hushim tidak menafikan segelintir bapa bersikap lepas tangan, malah langsung tidak menegur tabiat isteri dan anak dengan kata lain isteri mendominasi sesebuah keluarga.

“Bapa seharusnya perlu tegas, terangkan bahawa anak lelakinya itu lambat laun akan berkeluarga sendiri dan tidak akan menjadi seperti ketika masih kanak-kanak lagi. Ibu boleh beri kasih sayang, tetapi biarlah berpada-pada. Usah sampai terjadi anak perempuan terasa hati, memanjakan anak lelaki tidak bertempat hinggalah membasuh sebiji cawan pun dilarang yang mana kelak dia akan menjadi seorang suami atau ayah yang mungkin tidak tahu memberi nafkah kepada anak dan isteri,” katanya.

INFO - Anda anak emak?

  • Rapat dengan ibu berbanding bapa.
  • Berkongsi segala masalah daripada perkara kecil hingga ke yang besar dengan ibu.
  • Terlalu bergantung kepada ibu, malah ada yang inginkan bakal isteri 100 peratus sama dengan ibu.
  • Sensitif dalam banyak perkara, malah kadangkala dilihat kurang ada keyakinan diri sekiranya perlu membuat sebarang keputusan.
  • Tidak terburu-buru mendirikan rumah tangga kerana ada ibu yang menjaga makan pakai.
  • Melebihkan ibu hingga menyebabkan kekasih atau isteri makan hati.

Bagi golongan isteri yang sukar menghadapi suami ‘anak emak’, beberapa tip untuk memperbaiki keadaan dan menangani masalah agar tidak menggugat kebahagiaan rumahtangga.

Tips # 1 - Kenali personaliti jejaka

Sebelum menjalin hubungan lebih serius kenali kekasih anda terlebih dahulu. Seseorang wanita boleh memahami personaliti dan latar belakang lelaki itu sewaktu bercinta lagi. Pada waktu itu, anda boleh melihat cara perbualan atau kekerapan teman lelaki anda bercerita mengenai ibu atau ahli keluarganya.

Jika anda boleh menerima situasi dia sebagai lelaki ‘anak emak’, maka anda seharusnya belajar menerima situasi itu dari awal. Jika anda wanita yang tidak dapat bertolak ansur dengan situasi tersebut, sebaiknya anda sudah menamatkan hubungan itu daripada pergi terlalu jauh. Apabila anda memahami lebih awal sifat tersebut, setelah berkahwin anda lebih mudah menyesuaikan diri dengan situasi itu.

Tips # 2 - Memberitahu perasaan

Elakkan naik berang atau pun cemburu tatkala suami lebih memberi tumpuan kepada ibunya. Ini akan membuatkan dia berasa tertekan dan mendorong kepada keretakan hubungan indah suami isteri.

Cuba beritahu suami apa yang boleh dia lakukan untuk menunjukkan kejujuran, kasih sayang dan keikhlasan dirinya kepada anda. Misalnya, anda berkecil hati apabila terdengar kata-kata sinis dan aduan ibu mertua kepada suami tentang diri anda. Jangan merajuk sebaliknya beritahu kepada suami supaya meminta ibunya berterus-terang dengan anda. Bercakap secara berhadapan boleh mengelakkan syak wasangka. Dengan ini, suami tidak perlu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah.

Tips # 3 - Terbuka dan positif

Apabila anda berfikiran terbuka dan positif, segala tindakan sama ada suami mahupun ibu mertua tidak menjadi masalah besar. Amalkan sikap lebih bersabar dan berdoa agar dapat mengharungi segala masalah dengan tenang. Ibu mertua juga semakin lanjut usia, sudah tentu dia juga inginkan perhatian dan berhak ke atas anak lelakinya. Apabila anda berfikiran begitu, soal kepentingan dan kasih sayang yang utama jarang timbul dalam diari kehidupan yang indah ini.

Tips # 4 - Jalin hubungan baik

Layanlah ibu mertua seperti ibu sendiri anda. Sungguhpun teguran dia kadangkala menyinggung perasaan tetapi jangan lupa tanpa didikan serta pengorbanan wanita tersebut mungkin tiada suami yang tercinta itu.

Berusaha mengambil hati ibu mertua dengan menghadiahkan aksesori barangan kemas pada hari jadinya atau pun merancang majlis untuk hari istimewanya. Lebih manis lagi, berikan sedikit duit saku setiap bulan atau membawa ibu mertua ke pusat beli-belah dan ke spa supaya dia tahu anda menghargai dirinya.

Jika ada sesiapa yang mempunyai tips hebat, jangan lupa kongsikan tips anda di Laman-Seri.

Semoga bermanafaat!




Updated : 17/06/2010 @ 1016 hrs

2 ulasan:

  1. Tips yang berguna untuk pikat hati MIL..

    Payah jugak kalau dapat "anak emak" nih..

    Apa2 pun saya setuju suami kena pandai bahagikan kasih sayang antara emak dan isteri dgn baik..

    BalasPadam
  2. minta tulis pasal "anak bapa"(anak perempuan yg cenderung pada bapa) pulak, ciri dan cara2 menanganinya. Post ke Group SIM. Tq

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...