PAGE

Jumaat, Jun 18, 2010

Pemuda tanam bayi dihukum penjara dua tahun



MELAKA 17 Jun - Akibat menyembunyi dan menanam bayi lelaki yang baru dilahirkan pada 12 Mei lalu, seorang remaja, Muhammad Safiuddin Mohd. Zahari dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhamad Faizal Ismail turut mengenakan denda RM8,000 kepada Muhammad Safiuddin, 19, selepas remaja lelaki itu dan pasangannya, seorang pesalah juvenil berusia 15 tahun mengekalkan pengakuan bersalah mereka atas tuduhan tersebut.

Muhamad Faizal yang membuat keputusan di kamarnya turut mengarahkan remaja perempuan itu membayar jaminan bon sebanyak RM2,000. Pesalah juvenil terbabit turut dikenakan syarat wajib berada di rumah sebelum pukul 6 petang selama dua tahun dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan sekali selama dua tahun.

Ketika pertama kali didakwa di mahkamah pada 18 Mei lalu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan cara menanam mayat bayi itu di tepi sebatang sungai di Taman Melaka Baru di sini.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu antara pukul 12 dan pukul 12.30 tengah hari, 12 Mei lalu. Mereka dituduh mengikut Seksyen 318 dan 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Md. Nor memberitahu, keputusan menjatuhkan hukuman penjara maksimum itu dibuat memandangkan kes tersebut adalah berat. Ujarnya, Muhamad Faizal menyatakan hukuman setimpal yang dijatuhkan bukan hanya untuk pesalah semata-mata tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada masyarakat tentang kesalahan serius yang dilakukan itu. Kata pendakwa raya itu lagi, ini kerana pada pandangan Muhamad Faizal, kedua-dua tertuduh bukan sahaja melakukan hubungan seks tanpa nikah malah menyembunyikan kelahiran bayi mereka dan secara tidak langsung menyebabkan bayi itu meninggal dunia.

Sementara itu, sebelum hukuman dijatuhkan, Farah Wahida menghujahkan bahawa perbuatan kedua-dua tertuduh bukan sahaja memberi impak negatif kepada masyarakat malah lebih teruk lagi, kedua-dua tertuduh mempunyai rancangan untuk membuang bayi mereka.

''Kedua-dua mereka telah merancang untuk membuang bayi itu dengan bukti lokasi bayi ditanam jauh daripada orang ramai termasuk sebuah peralatan cangkul yang digunakan untuk menggali lubang,'' katanya.

Turut hadir dalam prosiding tertutup itu ialah dua penasihat dari Mahkamah Juvenil iaitu Rizal Abdullah dan Zainon Mohd. Ali yang dilantik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sumber : Utusan 18/06/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...