PAGE
▼
Rabu, Jun 16, 2010
Program bulan madu kedua akan diperluaskan
KUALA TERENGGANU 15 Jun - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperluaskan lagi program bulan madu kedua yang telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri dalam menyelamatkan pasangan suami isteri daripada bercerai.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, usaha itu akan dilakukan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta kerjasama kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
Bagi tujuan itu katanya, LPPKN akan menyediakan modul latihan, tenaga pelatih serta khidmat kaunseling manakala lokasi program akan ditentukan oleh YPKT.
Beliau turut memuji usaha kerajaan Terengganu memperkenalkan program itu bagi menyelamatkan institusi keluarga terutama pasangan suami isteri yang usia perkahwinan mereka belum mencecah lima tahun.
''Menerusi usaha sama itu, 16 program bulan madu kedua akan diadakan pada tahun ini dan berakhir tahun depan dengan setiap program disertai 15 pasangan suami isteri," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penganjuran program Smartstart: 2nd Honeymoon di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Sementara LPPKN diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Aminah Abdul Rahman manakala YPKT oleh pengarahnya, Mohd. Shafarudin Mustafa.
Sementara itu, Ahmad berkata, sebanyak 67 pasangan sudah dihantar menyertai program tersebut di Pulau Perhentian dan Pulau Kapas membabitkan kos RM53,600 dan untuk semua 16 program nanti, kosnya akan mencecah RM300,000.
Katanya, sambutan yang diterima cukup menggalakkan dan maklum balas para peserta juga menunjukkan hubungan mereka berjaya dirapatkan kembali dan bertambah mesra.
Sumber : Utusan 16/06/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...