Ramai rakyat Malaysia diisytiharkan muflis kerana tidak pandai mengurus kad kredit yang dimiliki. -Gambar hiasan
TIDAK bertanggungjawab, lemah didikan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, masalah ekonomi, masalah kerjaya, masalah kesihatan, masalah akhlak atau sosial dan masalah komunikasi, adalah antara yang menjadi senarai faktor sesebuah rumah tangga berantakkan.
Masalah ekonomi terutamanya, antara faktor yang sangat rumit untuk dihadapi oleh pasangan suami isteri. Jika tidak diatasi dengan baik maka ikrar untuk tetap hidup bersama ketika susah dan senang tentunya sukar untuk direalisasikan serta dipertahankan.
Apabila bercakap soal ekonomi segala-galanya berpokok pangkal kepada perancangan kewangan yang tidak sahaja strategik tetapi mesti berlandaskan syariat Islam. Itu antara yang banyak disuarakan oleh pakar penasihat kewangan peribadi dan keluarga, Rohani Mohd. Shahir dari Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd.
Topik itu juga yang berjaya menarik perhatian hampir 300 hadirin yang mengikuti Seminar Rumahku Syurgaku, "Setulus Kasih Ayah, Semurni Pengorbanan Ibu" anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya baru-baru ini.
Menerusi tajuk Bijak Mengurus, Keluarga Terurus Rohani berkata, hutang kad kredit atau istilah popularnya wang plastik antara yang menjadi punca suami isteri berperang besar. Apatah lagi jika ia menyebabkan salah seorang daripada pasangan tersebut diisytiharkan muflis atau bankrap. Malah dalam banyak kes, si isteri yang ditinggalkan terpaksa menanggung pelbagai tekanan hutang piutang kad kredit yang disalahguna oleh suami.
"Statistik menunjukkan hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi di negara ini telah meningkat pada kadar 17.6% dalam tempoh enam bulan ke RM98.8 bilion pada akhir 2009. Tetapi yang menjadi masalah sehingga memasuki tahap yang sangat membimbangkan apabila peratus hutang kad kredit yang tidak dibayar telah meningkat 5.4%, iaitu sebanyak RM26.7 bilion terutamanya akibat pembelian barangan pengguna di bawah skim ansuran," katanya.
Menurutnya, dari tahun 2004 hingga April 2009, seramai 637 pemegang kad kredit telah diisytiharkan muflis akibat hutang kad kredit.
"Iaitu jika dilihat pada pecahan bangsanya, mereka yang muflis ini terdiri 52% berketurunan Cina, diikuti 36% Melayu, 11% kaum India dan 1% kaum-kaum lain.
Walaupun jumlah peratus kalangan Melayu itu tidaklah tinggi berbanding bangsa Cina, namun fenomena berhutang dan muflis akibat kad kredit ini tetap membimbangkan.
"Justeru setiap pasangan suami isteri harus memikirkan kewajaran untuk menggunakan kad kredit. Jika salah penggunaan dan dibebani hutang serta muflis tentunya memberi kesan yang tidak baik terhadap hubungan mereka," katanya.
Rohani dalam pembentangan kertas kerjanya selanjutnya berkata perancangan kewangan secara Islam adalah menjadi asas penting kepada kesejahteraan keluarga.
"Soal sumber pendapatan, makan, minum yang halal haram atau syubhah penting untuk diambil kira. Andai yang haram banyak yang berdarah daging dalam tubuh badan maka tidak menghairankan jika kebanyakan generasi yang dilahirkan akhirnya mereka yang ramai menderhaka terhadap ibu bapa dan agama mereka," katanya.
Iaitu sebagaimana peringatan dari Allah dalam Surah Al Baqarah, iaitu ayat 208 yang bermaksud: "… Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu…"
Islam tidak dapat berkompromi dalam soal hukum halal haram, malah jika melihat dari aspek merokok sekalipun, Rohani sarankan agar tabiat itu juga mesti ditinggalkan secara total. Ini apabila Kementerian Kesihatan mendapati rakyat negara ini berbelanja hampir berbilion ringgit setahun semata-mata untuk memuaskan tabiat merokok.
"Sedangkan ia sangat membazir dan lebih memburukkan keadaan kita terpaksa membazirkan banyak juga wang semata-mata untuk membiayai kos rawatan dan perubatan pelbagai penyakit kronik akibat tabiat buruk ini. Malah yang lebih menyedihkan, menurut kajian, lebih daripada 50% perokok tersebut adalah kalangan kaum Melayu atau Islam itu sendiri," kata Rohani.
Lantas demi ekonomi rumahtangga sebelum menjadi lebih parah, adalah berhenti daripada merokok!
Tegasannya juga, supaya berhati-hati dengan pelbagai rangkaian perniagaan yang berasaskan multi level marketing (MLM) atau industri jualan langsung dan skim-skim pelaburan yang gharar, pengambilan deposit dan sebagainya lagi yang kononnya menjadikan peratus pulangan keuntungan yang tinggi.
"Sedangkan semua itu tidak pernah mendapat pengesahan daripada mana-mana pihak berkuasa dan ia lebih menjebakkan kita dalam pelbagai jenayah kewangan yang menambahkan lagi kerumitan dalam ekonomi rumah tangga," katanya.
Sumber : Siti Ainiza Kamsari [Ainiza.kamsari@utusan.com.my] di UM 08/06/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...