~ チビに似ている猫ちゃん BunnyHill から ~
Assalamualaikum warahmatullah,
Saya usahakan entry ini ketika menyediakan entry Bila lembu naik minyak.... Mungkin ada sesetengah daripada kita yang masih tidak mengetahui wujudnya adab-adab yang telahpun disusun menurut cara hidup Islam.
Seperti dalam entry Adab makan dan minum menurut Islam yang lepas, saya ulang sekali lagi, adab atau akhlak bererti budi pekerti, perangai, tingkah laku dan tabiat. Budi pekerti ada yang baik dan ada yang buruk, yang baik disebut sifat mahmudah dan yang buruk pula disebut sifat mazmumah. Adab yang baik akan membentuk masyarakat yang harmoni dan yang buruk pula akan mengkucar-kacirkan keadaan.
Kita semua maklum, kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah rahmat kepada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan bahkan rahmat kepada sekalian yang wujud di alam ini. Adab yang baik adalah penting, oleh yang demikian Nabi diutuskan oleh Allah untuk memperbaiki akhlak dan adab manusia, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya ayat 107)
Muslim yang sejati akan menganggap bahawa semua binatang atau haiwan sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang mempunyai hak untuk hidup aman di muka bumi. Makhluk ini dihormati dan disayangi semata-mata kasih sayang Allah SWT kepadanya. Berpaksikan ajaran Islam yang syumul, telah digariskan beberapa adab dengan binatang atau haiwan menurut Islam.
1. Memberi makan dan minum bila ia lapar dan haus
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Dalam masa seorang lelaki (pengembara) sedang berjalan di sebatang jalan terasa makin bertambah dahaganya lalu didapatinya sebuah perigi, dia pun turun ke dalamnya lalu minum kemudian naik semula. Tiba-tiba dilihatnya seekor anjing sedang termengah-mengah terjelir lidahnya sambil menjilat tanah basah kerana dahaganya. (Melihatkan yang demikian) lelaki itu berkata: “Sesungguhnya anjing ini sedang menderita dahaga seperti yang telah aku rasakan.” Dia pun turun ke dalam perigi, lalu mengisi penuh sarung kakinya (yang diperbuat dari kulit kambing) dengan air, kemudian dia membawanya naik dengan menggunakan giginya hingga naik semula. Lalu diberinya minum anjing itu. Maka, Allah menerima amalnya yang baik itu, lalu mengampuni dosanya.” Sahabat Baginda bertanya, “Ya Rasulullah adakah kami akan mendapat pahala juga jika berbuat baik kepada haiwan itu?” Baginda menjawab, “Pada tiap-tiap (makhluk yang hidup) yang lembut basah (daging) hatinya ada pahala (bagi orang yang berbuat baik kepadanya).” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Siapa tidak menyayangi, ia tidak akan disayangi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sayangilah sesiapa sahaja yang ada di bumi, nescaya kalian disayangi sesiapa sahaja yang ada di langit.” (Hadis riwayat Tabrani dan al- Hakim)
Di dalam hadis lain daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabdanya, “Bahawa seorang perempuan pelacur melihat seekor anjing pada suatu hari yang cukup terik panasnya sedang berpusing-pusing mengelilingi sebuah perigi sambil menjelirkan lidahnya disebabkan dahaganya. Perempuan itu segera mengambil air perigi dengan sarung kakinya (yang diperbuat dan kulit kambing) dan diberi minum kepadanya. Dengan (perbuatan yang baik) itu Allah mengampunkan dosanya.” (Hadis riwayat Muslim)
2. Menyayangi dan mengasihinya
Ketika Rasulullah SAW melihat orang-orang menjadikan burung sebagai sasaran anak panah, baginda bersabda, “Allah melaknat siapa sahaja yang menjadikan sesuatu sebagai sasaran.” (Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad sahih)
Rasulullah SAW melarang menahan haiwan untuk dibunuh dengan sabda Baginda, “Barangsiapa yang menyakiti ini (burung) dengan anaknya; kembalikan anaknya padanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah SAW bersabda sebagaimana kedua hadis di atas kerana melihat burung dan anak-anak akan melalaikan dari mengingati Allah. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun, ayat 9)
Rasulullah SAW bersabda, “Kuda terbahagi kepada tiga jenis, seseorang mendapat pahala (kerananya), seseorang yang mendapat pakaian (kerananya), dan seseorang mendapat dosa (kerananya). Adapun orang yang mendapat pahala kerana kuda ialah orang yang mengikatnya di jalan Allah, dan memperpanjangkan talinya di tanah lapang, atau di padang rumput. Maka apa sahaja yang terjadi pada kuda tersebut di tanah lapang atau padang rumput, maka orang tersebut mendapat kebaikan-kebaikan. Jika orang tersebut memutus talinya, kemudian kuda tersebut berjalan cepat satu langkah, atau dua langkah, maka jejak-jejaknya, kotoran-kotorannya adalah kebaikan-kebaikan baginya, serta kuda tersebut bagi orang tersebut adalah pahala. Orang yang mengikatnya kerana ingin memperkayakan diri, namun ia tidak lupa hak Allah di leher, dan tulang punggung kudanya, maka kuda tersebut pakaian untuknya. Sedang orang yang mengikatnya untuk sombong, riya’, dan bermusuhan, maka kuda tersebut adalah dosa baginya.” (Hadis riwayat Bukhari)
3. Berlaku baik ketika menyembelihnya
Cara Islam mengatur hubungan manusia sesama manusia, malah juga hubungan manusia dengan binatang dan seluruh alam ini, adalah bukti kerahmatan itu, umpamanya sewaktu melakukan penyembelihan binatang, Islam telah memberi garis panduan yang lengkap bagaimana melakukannya.
Di antaranya sabda Rasulullah SAW daripada Abu Ya’la Syaddad Ibnu Aus r.a., “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia menyelesakan binatang sembelihannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Sila rujuk entry untuk adab menyembelih binatang atau haiwan dalam entry akan datang. Tunggu!
4. Tidak menyeksanya seperti memukul, mengikat atau membakarnya
Rasulullah SAW melaknat kepada sesiapa yang melakukan penyeksaan kepada binatang sama ada untuk tujuan menyembelihnya ataupun bukan. Pernah pada satu masa Ibnu Umar r.a. melihat sekumpulan orang melontar seekor ayam yang sengaja ditambatkan, lalu dia berkata, maksudnya, “Barangsiapa yang melakukan perkara ini (menyeksa binatang), sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat sesiapa melakukan perkara ini.” (Hadis riwayat Muslim)
Pada dasarnya agama Islam mengecam segala bentuk kezaliman, sekalipun terhadap binatang. Seorang perempuan dimasukkan ke dalam neraka semata-mata menyeksa seekor kucing sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang wanita diseksa pada Hari Kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati, kerana itu Allah memasukkan ke neraka, ini disebabkan kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap serangga-serangga yang terdapat di bumi.”
Lain-lain kezaliman yang dicela oleh Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., daripada Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seekor semut menggigit seorang nabi di antara para nabi-nabi, lalu nabi tersebut menyuruh membakar sarang semut itu, lalu bakarlah. Maka Allah mewahyukan kepadanya, “Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan umat yang selalu membaca tasbih.”” (Hadis riwayat Muslim)
5. Harus membunuh binatang yang membahaya seperti ular, kala-jengking dan sebagainya
Dari Aisyah r.a., dari Rasulullah SAW sabdanya, “Terdapat lima jenis binatang merbahaya yang boleh dibunuh di luar tanah haram ataupun di dalam tanah haram iaitu ular, gagak, tikus, anjing gila dan helang.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis riwayat Ummu Syarik r.a., katanya, bahawa Rasulullah SAW menyuruhnya untuk membunuh cicak. Dan dalam hadis Ibnu Abu Syaibah: Dia menyuruh. (Sahih Muslim No.4152)
Hadis riwayat Aisyah r.a., bahawa Rasulullah SAW menamakan binatang cicak dengan sebutan ‘fuwaisik’. (Sahih Muslim No.4155)
Pada hakikatnya Islam mengajar umatnya untuk menyayangi binatang bagi kelangsungan hidupnya, walaupun kita diberikan kuasa untuk menguasai mereka (membunuh mereka dengan tujuan yang baik). Ini kerana Islam melarang kita bertindak menyalahgunakan kuasa dengan menganiayai binatang dan memperlakukan mereka sesuka hati.
6. Menunaikan zakat binatang jika cukup nisabnya
Dari Abu Dzar r.a. berkata : Aku telah datang kepada Rasulullah SAW bermaksud, “Demi jiwaku dalam kekuasaan-Nya atau Demi Tiada Tuhan Selain daripada-Nya, atau sebagaimana janji/sumpah. Apabila seseorang memiliki unta, sapi atau kambing/biri-biri, tidak menunaikan haknya (zakatnya), maka pada hari kiamat nanti dia tampak lebih besar dan gemuk dari dirinya yang biasa. Ternak-ternakannya akan memijak-mijaknya dengan telapak-telapak kakinya dan menanduknya dengan tanduk-tanduknya. Setelah selesai rombongan ternakan terakhir memijaknya, maka yang pertama mengulanginya pula, itulah hukuman yang ia perolehi.” (Hadis riwayat Bukhari)
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Tidakkah mereka melihat bahawa sesungguhnya kami telah menciptakan bagi mereka dengan kekuasaan kami binatang ternakan untuk mereka miliki dan kami peruntukkan binatang-binatang itu untuk mereka, maka sebahagian daripadanya jadi kenderaan mereka dan sebahagian lagi mereka makan. Dan daripadanya mereka dapatkan manfaat-manfaat yang lain berupa minuman, apakah mereka tidak bersyukur?” (Surah Yasin, ayat 71-73)
7. Tidak melalaikan diri dengan binatang peliharaan sehingga lupa mengingati Allah
Erk... saya kurang pasti akan yang ini. Mungkin saja ada di antara kita yang terlalu leka dengan binatang peliharaan hingga terlupa untuk solat atau berzikir mengingati-Nya, seperti yang telah firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun, ayat 9)
Ikuti kisah sahabat Nabi yang tidak khusyuk dalam solat kerana terleka dengan kicauan burung di kebun tamarnya dalam entry Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang.
Selaku orang-orang yang beriman, kita hendaklah memanfaatkan segala sesuatu menurut cara yang dibenarkan oleh agama kerana segala yang tinggal di muka bumi ini diciptakan untuk kemudahan kita dan menjadi kewajiban kita untuk menjaga segala sesuatu itu daripada kerosakan, memanfaatkannya dengan tetap menjaga martabatnya sebagai makhluk Tuhan, melindunginya agar tidak pupus yang dengan demikian barulah menandakan bahawa kita mensyukuri nikmat Allah dalam bentuk perbuatan yang nyata.
Sekiranya ianya bertepatan dengan kebenaran maka datangnya dari Allah dan kiranya tersilap ianya dari kelemahan diri dan gangguan syaitan.
Semoga bermanafaat!
Capaian entry berkaitan :
Updated : 12/07/2010
terima kasih entry ni.. bermanfaat.
BalasPadambinatang yang harus dibunuh pun kena bunuh dengan cara elok, xboleh bakar,lemaskan. kena cara yang tidak menyakitkan juga.
binatang perlu dikasihi dk sbb semua makhluk Allah. :)