~ gambor hiasan ~ pengantin Sumatera (minang) dari sumber triargadance ~
Purata setiap hari, seorang lelaki tempatan kahwini wanita Sumatera sebagai isteri kedua
BELUM reda isu gadis tempatan terkena panahan cinta jejaka Lombok, timbul pula kisah kecenderungan lelaki Malaysia berkahwin gadis seberang, atau lebih tepat dari Sumatera, sejak akhir-akhir ini.
Fakta menarik daripada statistik yang direkodkan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Sumatera menunjukkan, majoriti lelaki tempatan menjadikan gadis atau cewek dari Sumatera sebagai isteri kedua.
Perkembangan ini pantas mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mempersoalkan kecenderungan lelaki tempatan mengahwini wanita dari negara jiran termasuk membangkitkan soal status pernikahan atau perkahwinan pasangan terbabit.
Sambil mempersoalkan sama ada perkahwinan pasangan terbabit dilakukan mengikut undang-undang atau secara seludup, Shahrizat ragu-ragu apabila wanita dari negara jiran dijadikan isteri kedua.
“Walaupun saya tahu dunia tanpa sempadan, semestinya akan ada perkahwinan dengan warga asing, tetapi banyak perkahwinan ini terjadi disebabkan mahu dijadikan isteri kedua. Jadi saya persoalkan perkahwinan itu - adakah ia mengikut lunas perundangan yang ada di negara ini. Jika kahwin cara seludup, saya tidak setuju... Tanggungjawab keluarga pertama tidak boleh diabaikan. Saya sedih kerana akhirnya keluarga kedua-dua wanita terbabit akan menanggung sengsara,” katanya mengikut laporan yang memetik reaksinya berhubung isu seorang rakyat Malaysia secara purata mengahwini wanita Sumatera setiap hari dalam tempoh lima bulan lalu, dengan 80% daripadanya menjadikan mereka sebagai isteri kedua.
Dengan perkembangan itu, timbul persoalan menyentuh kelebihan wanita Sumatera hingga dilihat cukup istimewa di kalangan segelintir lelaki Malaysia. Faktor apakah yang mendorong lelaki tempatan menyunting gadis seberang sebagai pasangan hidup?
Apa pula kurangnya gadis tempatan yang tidak kurang cantik, lemah lembut dan dididik penuh sopan oleh ibu bapa?
Apakah benar lelaki tempatan cenderung berkahwin wanita dari negara jiran termasuk yang berasal dari pedalaman kerana mereka sanggup menjadi surirumah sepenuh masa? Jika diperhatikan gadis tempatan pula, rata-rata mereka memiliki kelayakan akademik tinggi dan mungkin mahu mengejar kerjaya hingga ‘menakutkan’ segelintir lelaki untuk mendekati.
Penceramah bebas dan perunding motivasi, Prof Madya Dr Md Izuddin Ali berkata, faktor layanan menjadi antara sebab utama mengapa ramai lelaki tempatan terpikat dengan gadis seberang.
Menceritakan pengalaman ketika berkunjung ke Medan dan Jakarta suatu ketika dulu, Dr Md Izuddin pernah berdepan seorang wanita Indonesia yang bukan saja berazam mencari pekerjaan di Malaysia, malah memasang niat berkahwin dengan jejaka tempatan.
“Mendengar pengakuan wanita ini, tidak memeranjatkan melihat bagaimana lelaki Malaysia sanggup melakukan apa saja untuk berkahwin dengan wanita seberang. Apatah lagi dengan faktor kos perkahwinan yang agak murah dan layanan gadis terbabit hingga hati tertawan,” katanya.
Menyentuh kecenderungan lelaki tempatan menjadikan wanita seberang sebagai isteri kedua, Dr Md Izuddin berkata, ia bergantung kepada niat individu terbabit sama ada mampu atau tidak. Selain itu, katanya, ia berbalik kepada soal keikhlasan dalam membuat keputusan.
Beliau berkata, baik atau buruk tindakan yang hendak diambil lelaki perlu mengambil apakah mereka memahami perasaan orang lain termasuk isteri, anak-anak dan kaum keluarga. Usah terlalu mengikut rasa cinta dan hawa nafsu hingga perasaan orang lain terkorban.
“Bukan mahu memperkecilkan, tetapi saya perhatikan tidaklah terlalu cantik wanita seberang. Ini kerana ramai orang di sini (gadis tempatan) yang lawa-lawa dan berhias rupa. Tetapi, tidak dinafikan gadis dari negara jiran memberi layanan baik, lemah-lembut dan memiliki sikap rendah diri yang tinggi. Ditambah pula dengan pencapaian wanita tempatan yang mempunyai kerjaya, menjawat jawatan tinggi dan memiliki gaji lumayan. Sehubungan itu, tidak mustahil lebih ramai lelaki tempatan memilih wanita seberang. Namun, dalam soal mencari isteri kedua, ia bergantung kepada niat individu itu sendiri,” katanya.
Sebab saya pilih wanita Indonesia - Syarurizal
KALAU sudah jodoh... Begitulah tafsiran tepat bagi merungkai kisah cinta antara Syarurizal Mohd Sabri, 33, dan Aini Swastika Wastriani, 32. Jarak lebih 1,000 kilometer antara Kuala Lumpur dan Jakarta bukan penghalang cinta mereka yang membawa kepada pernikahan pada 10 Ogos 2008.
Bagi Syarurizal atau lebih mesra dengan panggilan Shay, beliau merasakan Titrin (panggilan mesra Aini) cukup istimewa dan teguh jati diri. Keserasian antara mereka makin terserlah apatah lagi masing-masing mementingkan ikatan kekeluargaan.
Mari ikuti pengakuan ini...
SOALAN : Boleh anda ceritakan detik perkenalan dengan Titrin?
JAWAPAN : Sebenarnya, saya diperkenalkan oleh kakaknya, Ririn. Saya bertugas di Bank Negara Malaysia manakala Ririn berkhidmat di Bank Indonesia. Pada November 2005, kebetulan kami mengikuti kursus untuk semua Bank Pusat bagi rantau Asia Tenggara.
Dari situlah saya mula rapat dan mendapat tahu Ririn memiliki seorang adik perempuan. Bermula sebagai kenalan SMS, friendster dan facebook, akhirnya saya berangkat ke Jakarta pada Mac 2006 untuk mengenali Titrin lebih rapat.
SOALAN : Bagaimana terdetik hati untuk menjadi lebih rapat. Apa keistimewaan dimiliki Titrin?
JAWAPAN : Pada permulaan, saya mahu mempelajari budaya dan rakyat Indonesia melayan tetamu dengan baik. Ini termasuk Titrin, kakaknya dan teman-teman dari Bank Indonesia yang cukup menyenangkan setiap kali saya ke sana.
Tetapi, dengan Titrin, saya mula berminat untuk menjadi lebih rapat kerana beliau bukan seorang yang suka ‘control ayu’ seperti kebanyakan wanita.
Dari awal perhubungan, sering terjadi kejadian lucu dan aneh seolah-olah kami ditakdirkan menjadi pasangan serasi. Daripada tragedi bateri kereta habis hinggalah sandal yang dipakai berlainan, semua itu membuktikan keistimewaan Titrin yang bagi saya cukup jujur dan baik.
SOALAN : Faktor lokasi dan negara berbeza mungkin menyukarkan perhubungan. Bagaimana anda berdepan situasi ini?
JAWAPAN : Sejak adanya perkhidmatan AirAsia, soal perhubungan di rantau Asia Tenggara menjadi lebih mudah. Apatah lagi dengan adanya pelbagai promosi membuatkan tambang semurah perjalanan bas dari Johor ke Perlis.
Tambahan pula, perkhidmatan perhubungan lain seperti i-talk, email, yahoo massenger, friendster dan facebook sedikit sebanyak membantu mengeratkan lagi hubungan kami berdua.
SOALAN : Apa istimewanya Titrin di mata anda?
JAWAPAN : Seperti yang maksudkan, dia bukan seorang yang suka ‘control ayu’ dan masih dapat ketawa walaupun berdepan pelbagai kejadian aneh. Titrin juga seorang yang pentingkan keluarga.
Bagi saya, itu penting kerana kekuatan hubungan keluarga boleh dibawa kepada hubungan suami isteri.
SOALAN : Berapa lama anda berkenalan hingga mencapai kata sepakat mendirikan berumah tangga?
JAWAPAN : Kami mula berkenalan secara rapat sejak Februari 2007 sebaik saya mulai mengenali keluarganya. Pada mulanya kami bercadang untuk bernikah pada 8 Ogos 2008 tetapi kerana ia jatuh pada hari Jumaat dan untuk menghormati solat Jumaat, akhirnya tarikh itu ditunda kepada 10 Ogos.
SOALAN : Bagaimana pandangan ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan teman-teman sebaik mendapat tahu anda mahu berkahwin dengan Titrin?
JAWAPAN : Tidak dinafikan, keluarga saya pada mulanya kurang bersetuju kerana faktor jarak antara kami. Malah, keluarganya juga mempunyai pandangan sama. Tetapi selepas saya bertemu secara peribadi dengan ayah Titrin, segala perasaan terjawab, kami lebih terbuka dan rapat.
Soal teman-teman, semuanya tidak ada masalah dan tidak sabar hendak menghadiri majlis perkahwinan saya di Jakarta.
SOALAN : Apakah mudah prosedur berkahwin dengan wanita seberang?
JAWAPAN : Proses berkahwin dengan wanita seberang bukanlah mudah. Saya perlu menghadiri kursus perkahwinan sendiri untuk mendapat surat kebenaran dari Pejabat Agama daerah Taiping untuk bernikah di luar negara.
Kemudian, saya harus meminta kebenaran bernikah dari Kedutaan Malaysia di Jakarta sebelum memohon kebenaran Pejabat Polis dan Pejabat Agama di Jakarta. Sebaik bernikah pula, saya harus mendaftar di Jakarta dan Taiping.
SOALAN : Menyentuh mengenai trend lelaki Malaysia berkahwin dengan wanita Indonesia terutama dari Sumatera dan menjadikan mereka isteri kedua, apa pandangan anda?
JAWAPAN : Saya fikir mungkin kos hantaran dan kenduri kahwin lebih murah di Sumatera. Secara peribadi, bagi saya kalau lelaki itu mampu berlaku adil, hendak kahwin sampai empat sekali pun, terpulang kepada individu itu sendiri. Tetapi, yang akan menjawab di akhirat nanti ialah tuan punya badan sendiri.
INFO: Daya penarik gadis seberang
- Lemah-lembut
- Setia
- Sentiasa berada di rumah (surirumah sepenuh masa)
- Kemahiran mengurus rumah
- Mahir memasak juadah Melayu
- Memberi layanan istimewa kepada suami
- Pandai menjaga hati
- Mendengar kata
- Purata seorang lelaki Malaysia berkahwin dengan wanita Sumatera dalam sehari. Ini berdasarkan rekod Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang menunjukkan dalam dalam tempoh lima bulan lalu, 30 lelaki Malaysia berkahwin wanita Indonesia dari Sumatera setiap bulan.
- Ramai wanita yang dijadikan isteri adalah sebagai calon isteri kedua.
- Calon isteri pilihan lelaki Malaysia adalah di kalangan janda yang sudah beranak.
- Mengikut Peraturan Imigresen 1959/63 di bawah kemudahan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang, isteri warga negara asing kepada suami warga negara Malaysia layak tinggal di Malaysia untuk tempoh enam bulan pertama dan selepas itu boleh disambung untuk tempoh 12 bulan setiap tahun sehingga lima tahun.
- Selepas lima tahun, isteri itu layak memohon menjadi penduduk tetap Malaysia manakala anak pasangan berkenaan automatik menjadi warga negara Malaysia.
Sumber : Fairuz Zaidan [fairuzaidan@bharian.com.my] di BH 01/05/2010 - Panahan Cewek
Capaian entry berkaitan :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...