SOALAN :
SAYA masih lagi keliru dengan tarikh sebenar peristiwa Israk dan Mikraj. Bolehkah ustaz memberikan sedikit penjelasan dalam hal ini serta perincian pertemuan Baginda SAW dengan nabi sebelum Baginda merentasi beberapa lapisan langit?
ANAS MASUD,
Kuala Lumpur.
JAWAPAN :
Israk dan Mikraj adalah dua perjalanan hebat sebagai anugerah dan kemuliaan kepada Baginda SAW dalam menyampaikan risalah Allah SWT. Ia juga satu mukjizat besar bagi junjungan Baginda SAW sebagai tanda kekuasaan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Maha suci tuhan yang memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjid Al-Haram (Makkah) ke Masjidil Al-Aqsa (Palestin) yang kami berkati sekelilingnya sebagai tanda kekuasaan kami. (Surah Al-Israk, ayat 1)
Kebanyakan ulama sepakat mengatakan peristiwa Israk dan Mikraj berlaku selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul dan berlaku dalam keadaan sedar bukan mimpi. Ulama sejarah mempunyai pendapat berbeza dalam menentukan tahun, bulan serta malam yang tepat mengenai peristiwa hebat ini.
Sebagai seorang Muslim, kita percaya ada tujuan dan hikmah tertentu bagi Allah SWT kerana menyembunyikan tarikh itu seperti dirahsiakan bilakah malam lailatul qadar, masa mustajab doa pada hari Jumaat dan waktu mustajab doa pada setiap malam.
Antara pendapat ulama yang boleh diketengahkan:
- Imam Nawawi dan Ibnu Abdul Barr berpendapat ia berlaku setahun sebelum hijrah berdasarkan hadis isteri Baginda SAW, Aisyah dan Ummu Hani yang menyebut peristiwa itu berlaku pada malam 17 Rabiulawal atau pada malam 27 Rejab.
- Ibnul Jauzi berpendapat berlakun lapan bulan sebelum hijrah.
- Rabi Bin Salim berpendapat berlakunya enam bulan sebelum hijrah.
- Syekh Ibrahim Al-Harbi berpendapat berlakunya setahun 11 bulan sebelum hijrah dan disokong oleh Ibnul Munir dalam kitabnya Syarhus Sirah.
- Berdasarkan apa yang dikeluarkan Imam At-Tabari dan Baihaqi, berlakunya Israk dan Mikraj pada Syawal atau Ramadan.
- Berdasarkan riwayat Abi Saad dari Ibnu Abi Sirah peristiwa itu berlaku pada pada Ramadan 18 bulan sebelum hijrah.
- Diceritakan oleh Ibnul Athir, Iyad dan Imam Qurtubi daripada Az-zuhri bahawa berlaku Israk dan Mikraj tiga tahun sebelum hijrah. (Kitab Israk dan Mikraj oleh Ibnu Hajar Asqalani, halaman 22), (Kitab Israk dan Mikraj oleh Dr Abi Syaibah, halaman 36).
- Syeikh Ahmad Syakir dalam kitabnya berjudul Israk dan Mikraj menyebut bahawa Al-Hafiz Abd Ghani Ibnu Surur Al-Maqdisi menyebut dalam sirahnya bahawa ia berlaku pada malam 27 Rejab yang diguna pakai oleh rakyat Malaysia dan kebanyakan kaum Muslimin dewasa ini.
Sumber : Tafsir al-Quran Al-Azim oleh Al-Hafiz Ibnu Kathir - dipetik dari BH 09/07/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...