PAGE
▼
Jumaat, Julai 02, 2010
Syor moral, agama Islam subjek wajib lulus SPM
Jalan terakhir untuk remaja dapat didikan akhlak: Mufti
KUALA LUMPUR : Kerajaan diminta mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya ilmu yang dipelajari dapat dipraktik dan diamalkan dalam kehidupan seharian pelajar.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata pihaknya mendapati pembelajaran agama Islam di kalangan pelajar masih belum mencukupi untuk membentuk sahsiah dan moral mereka, selagi mata pelajaran itu tidak dijadikan mata pelajaran wajib.
“Kami melihat usaha mendidik remaja tidak akan berkesan selagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral untuk bukan Islam masih dijadikan kurikulum sampingan kerana mereka akan mengambil sikap sambil lewa dan tidak peduli untuk mempelajarinya. Jika ia dijadikan syarat wajib maka saya yakin keadaan sebaliknya akan berlaku. Mahu tidak mahu, suka tidak suka mereka akan mendalami, memahami mengenai ilmu itu dan secara tidak langsung ia akan meresap ke jiwa mereka.”
“Bagi saya kerohanian amat penting sebagai pengisian kehidupan seseorang tetapi kurikulum pendidikan kita banyak menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan tidak menekankan isu moral. Apabila tiada kekuatan kerohanian, maka berlaku pelbagai perkara tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, pelbagai pihak menggesa kerajaan memperkenalkan segera pendidikan seks secara formal di sekolah serta memperketatkan dan menguatkuasakan undang-undang bagi membendung capaian remaja terhadap unsur pornografi sebagai langkah membanteras salah laku seks dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa.
Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaysia, P Dharmalingam, berkata subjek Pendidikan Moral perlu dijadikan mata pelajaran wajib dalam peperiksaan awam kerana dilihat mampu meningkatkan kekuatan dalaman seseorang pelajar sekali gus mengelakkan mereka terjebak dalam gejala sosial yang tidak sihat.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengemaskini dan melihat kembali mata pelajaran itu yang diajar di peringkat rendah dan menengah supaya ia lebih bersesuaian dengan kehendak dan suasana semasa.
“Saya tidak kata mata pelajaran itu tidak bagus kerana ia mungkin sesuai dengan suasana dan keadaan masa itu tetapi saya tidak fikir ia sesuai diguna pakai pada masa ini kerana masa itu gejala sosialnya tidak sehebat sekarang. Jadi, saya sarankan kerajaan mengubah isi kandungan subjek berkenaan bagi memasukkan beberapa elemen penting supaya ia lebih mantap dan sesuai untuk diguna pakai,” katanya.
“Kekuatan dalaman, moral amat penting untuk kita membendung gejala tidak sihat. Semua agama tidak kira Islam, Buddha atau Hindu melarang penganutnya melakukan kemungkaran. Justeru penghayatan nilai murni disertai dengan pendidikan moral di peringkat awal adalah perlu,” katanya.
Sumber : BHarian 02/07/2010
setuju!!
BalasPadamTapi ada yang tak setuju la pula...
BalasPadamPelik punya species...
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Wajiblulus2subjekSPMtakatasimasalahmoral/Article
Wajib lulus 2 subjek SPM tak atasi masalah moral
Oleh Mohd Zaky Zainuddin
2010/07/03
Ibu bapa main peranan penting elak pelajar babit kes sosial
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyifatkan syor mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berkesan dalam membentuk sahsiah dan mengelak keruntuhan moral remaja.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan itu bukan jalan terakhir mengekang masalah moral kerana jika dilaksanakan ia hanya berorientasikan peperiksaan.
“Masalah moral remaja khususnya pelajar tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan melaksanakan perkara ini. Perkara pokok adalah peranan ibu bapa dalam membentuk anak-anak bagi mengelak terjerumus dalam masalah sosial.
“Masalah moral remaja khususnya pelajar tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan melaksanakan perkara ini. Perkara pokok adalah peranan ibu bapa dalam membentuk anak-anak bagi mengelak terjerumus dalam masalah sosial.
“Jangan hanya melihat isu mata pelajaran tetapi perlu mengambil kira cara didikan ibu bapa di rumah selain mereka perlu memantau pergaulan anak-anak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta kerajaan mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan SPM.
Harussani dilaporkan berkata, pihaknya mendapati pembelajaran agama Islam di kalangan pelajar masih belum mencukupi untuk membentuk sahsiah dan moral mereka, selagi mata pelajaran itu tidak dijadikan mata pelajaran wajib.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, syor mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan SPM adalah satu idea yang baik malah kerajaan sepatutnya melaksanakannya sejak dulu lagi.
Jais berkata, dasar itu lebih praktikal kerana ia boleh menjadikan sistem pendidikan yang lebih holistik melalui keseimbangan dunia dan agama untuk melahirkan pelajar matang, bijak dan bertanggungjawab.
“Kerajaan wajar memberi pertimbangan terhadap cadangan itu kerana agama dan moral adalah asas kepada kehidupan. Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sama pentingnya dengan subjek teras lain,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon berkata, kementerian hanya perlu memberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk memperkasakan sahsiah dan moral pelajar.
“Jika ia dilaksanakan pun belum tentu apa yang diharapkan berhasil. Dasar sedia ada sudah mencukupi, cuma perlu fokus kepada P&P dengan meletakkan guru yang mempunyai kredibiliti menjalankan tugas,” katanya.