Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera,
Entry ini saya jumpa di Kosmo! OnLine, hasil tulisan SuzanaGhazali. Tips yang berguna untuk dijadikan panduan...
Komitmen merupakan satu perkara penting dalam hubungan; sama ada sebelum perkahwinan apatah lagi semasa dalam tempoh perkahwinan. Malah, ada ketikanya, komitmen masih perlu selepas berlakunya pembubaran perkahwinan terutamanya bagi perkara yang berkaitan dengan kemaslahatan dan kebajikan anak-anak.
Masalah yang berlaku ialah sukarnya bagi seorang gadis (bagi yang belum berkahwin) atau isteri juga bekas isteri menentukan sama ada pasangannya atau bekas pasangannya itu memberikan komitmen yang sewajarnya atau sebaliknya.
Terdapat enam tanda utama seseorang itu enggan memberikan komitmen iaitu:
- Suka mengelak
- Memberi alasan
- Mencari salah pasangan
- Tidak berikan kerjasama
- Sukar dihubungi
- Tiada komunikasi
1. Suka mengelak
Jika pasangan anda suka mengelak; sama ada daripada memperkatakan tentang hubungan anda atau tentang halatuju perkahwinan anda atau tentang apa jua perkara yang berkaitan dengan hubungan kalian, itu tandanya dia tidak berminat lagi untuk meneruskan komitmen terhadap hubungan anda berdua.
Mengelak boleh berlaku dalam banyak keadaan; dia boleh tidak berterus terang; juga mencari jalan agar membincangkan perkara lain yang tidak berkaitan dengan hubungan anda atau menukar tajuk perbincangan tentang hubungan anda yang telah anda mulakan malah dia juga boleh mendiamkan diri.
2. Memberi alasan
Individu yang tidak mahu berikan komitmen juga akan mudah memberi alasan bila diajukan persoalan atau perbincangan mengenai hubungan anda bersamanya. Sebagai contoh; jika anda merancang untuk berkahwin; si dia akan memberi alasan demi alasan untuk tidak mengusahakan rancangan perkahwinan anda itu. Sekiranya anda telah berkahwin pula dan si dia berusaha memberikan pelbagai alasan untuk tidak meluangkan masa bersama anda.
3. Mencari salah pasangan
Ada ketikanya pula; individu yang enggan berikan komitmen akan sengaja mencari malah mereka-reka salah pasangan. Mereka akan bersikap agresif; menyalahkan pasangan walau hanya atas alasan yang remeh dan dalam sesetengah keadaan akan memanipulasi keadaan persekitaran hingga mewujudkan rasa bersalah yang tinggi kepada pasangan dan pengakuan bersalah pasangan menjadi batu loncatan buat mereka bagi menamatkan perhubungan.
4. Tidak berikan kerjasama
Individu yang tidak mahukan komitmen juga akan bersikap tidak bekerjasama. Mereka mungkin mengaku akan lakukan sesuatu yang dihajati oleh pasangan tetapi akhirnya pengakuan hanya tinggal pengakuan dan hajat pasangan akan dibiarkan tanpa sebarang pelaksanaan. Individu ini juga akan bersikap tidak peduli dengan kehendak pasangan; biar dipujuk atau dirayu; mereka akan membatukan diri, bersikap selamba malah bersikap memekakkan telinga.
5. Sukar dihubungi
Individu yang tidak mahukan komitmen juga sukar untuk dihubungi. Malah selalunya mereka akan bersikap mendiamkan diri, tidak akan menghubungi anda kecuali dihubungi dan ada tikanya tidak melayani panggilan anda. Dalam perkahwinan pula, mereka akan bersikap menyendiri dan membiarkan pasangan bercakap sendiri.
6. Tiada komunikasi
Mereka yang tidak mahukan komitmen juga bersikap menafikan sebarang bentuk komunikasi dengan anda. Komunikasi bukan saja wujud dalam perbualan sebaliknya juga melalui bahasa tubuh iaitu sikap, perlakuan malah memek muka. Penampilan wajah yang tidak ceria atau masam tika bersama pasangan, tanpa apa-apa penjelasan atau alasan yang wajar; menjadi tanda dia tidak mahukan komitmen bersama anda.
Sumber : Suzana Ghazali di Kosmo! 21/05/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...