PAGE

Selasa, Julai 06, 2010

Wawasan mahasiswa lelaki perlu berubah


~ DTC ~ gambar hiasan dari sumber
kastatelier



KEHANGATAN minggu orientasi di institusi pengajian tinggi awam dan swasta mula dan masih dirasakan pada minggu ini. Ibu bapa yang menghantar anak dengan penuh harapan agar tiga atau empat tahun lagi, mereka membawa pulang segulung ijazah sebagai definisi kepada segunung kejayaan. Di institusi itulah diletakkan masa yang paling berharga dalam kehidupan, usia belia yang paling produktif dari segi menjana potensi diri dalam kerangka memenuhkan kemahiran di dada dalam suatu persaingan sihat mengejar ilmu untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Sesungguhnya mereka yang terpilih menjadi lambang suatu strata masyarakat yang dibahu mereka disandarkan harapan menjadi pemimpin dan penggerak negara yang akan melestarikan agenda pembangunan negara pada masa mendatang.

Seperti biasa juga kita melihat pada tahun ini perkumpulan pelajar di dewan utama universiti baik sewaktu pendaftaran mahupun program lain sepanjang minggu orientasi dipenuhi dengan insan berbaju kurung dan bertudung mendominasi kebanyakan tempat duduk. Hanya sepertiga ruangan saja yang diduduki oleh mahasiswa lelaki. Tidak perlulah kita berbincang ke mana perginya beliawan ini kerana sudah banyak platform yang menghukum sebahagian dari mereka yang terperuk di tempat yang tidak sepatutnya. Bahkan suatu usaha perlu digerakkan agar mahasiswa lelaki yang berbaki ini dapat menonjolkan diri menjadi duta dan perwakilan kepada khalayak yang ramai di luar sana. Bagi menzahirkan matlamat melahirkan mahasiswa berjiwa pahlawan ini, satu sikap yang selama ini diperhatikan menjadi minat mahasiswa lelaki perlu segera dilupuskan, iaitu menjadi ‘backbenchers’.

‘Backbenchers’ yang dimaksudkan di sini ialah pelajar yang amat menggemari kerusi belakang dalam sesebuah kelas atau dewan kuliah. Mereka ini jika datang ke kelas awal pun, akan sentiasa duduk di barisan belakang, paling belakang yang boleh. Tidak pastilah apa sebenar motif mereka berkelakuan sedemikian namun golongan paling sinonim dengan barisan paling belakang ini ialah mahasiswa lelaki.

Setiap kali musim kemasukan pelajar baru ke Institusi Pengajian Tinggi Awam, statistik yang sama akan terus berulang yang menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi tempat di bangku universiti, termasuklah angka 64.8 peratus bagi sesi pengajian 2010/2011. Lebih parah lagi, daripada baki yang tertinggal ini, kebanyakannya pula terlalu gemar untuk berada di posisi pilihan iaitu yang paling belakang.

Sama ada kerusi paling belakang ialah kerusi paling selamat daripada diajukan soalan, atau kerusi paling cepat untuk mereka keluar kelas, atau lokasi paling sesuai untuk melelapkan mata, segalanya hanya yang duduk di kerusi itulah saja yang tahu.

Tidak dinafikan bahawa penggemar kerusi belakang ini ada juga yang bijak dan berjaya dalam pelajaran, namun majoritinya ialah pencapai cukup makan jika tidak lebih parah daripada itu. Adakalanya ilmu yang ingin disampaikan oleh pensyarah tidak kesampaian, bahkan ada juga yang tidak dapat didengar dengan jelas akibat jarak yang terlalu jauh lebih-lebih lagi dalam dewan kuliah yang besar. Jauh sekali untuk bertanya soalan, kelompok ini biasanya akan tertinggal dan ditinggal oleh arus pemahaman pelajar di hadapan yang sering memperoleh peluang untuk bertanya mahupun menjawab soalan di dalam kelas.

Sebagai sebuah agama yang menjadi panduan sepanjang hayat, Islam mengajar perkara yang sebaliknya. Dalam sesebuah majlis ilmu, penuntut sekalian digalakkan berada di ruangan paling hadapan yang boleh. Semakin hampir seorang murid dengan seorang gurunya, maka semakin berkatlah ilmu yang diperolehnya.

Ayuh mahasiswa lelaki, sahutlah cabaran ini dengan membuktikan bahawa anda tidak termasuk dalam golongan ini. Kuantiti yang kecil bukan cerminan kualiti yang boleh diperkecil. Kembalikan kebenaran kata-kata hikmat negarawan bahawa pemuda sememangnya harapan bangsa, akan mendepani apa jua cabaran mendatang dengan semangat yang waja, akan menjawab apa jua soalan mengikut kemampuan dan bukan hanya berdiam diri di barisan belakang.

Dr Irfan Mohamad,
Pensyarah Kanan ORL,

Pusat Pengajian Sains Perubatan,

Universiti Sains Malaysia Kota Bharu,

Kelantan.


Sumber : BH 16/07/2010

Capaian entry berkaitan :

3 ulasan:

  1. alamak kaum lekeki dah kureng, malu aku sebagai mahasiswa... tak ramai yang nak berani kehadapan untuk menjadi pemimpin....

    BalasPadam
  2. Berani sahut cabaran? Heh heh...

    Kuantiti sedikit bermakna saham tinggi. Piwiiit!!!

    BalasPadam
  3. it okla.. dah final year... cukupla semester 5-6... diploma pun dulu ada gak.. janji merasa.. :-)

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...