PAGE

Selasa, Ogos 10, 2010

Gelora lelaki lalui Ramadan - Ramai tak bersungguh-sungguh hayati bulan puasa

~ gambar hiasan ~

Assalamualaikum warahmatullah,

BULAN penuh keberkatan, Ramadan datang lagi. Sebagai seorang Muslim, tentunya kita mempersiapkan diri melaksanakan amal ibadat dengan penuh keimanan dan keazaman untuk menjadikan Ramadan kali ini lebih baik berbanding tahun lalu.

Namun, lumrah manusia, kadang kala ibadat puasa dijadikan alasan segelintir individu untuk tidak melakukan amalan harian dengan penuh semangat, persis hari-hari biasa sebelum Ramadan. Faktor letih, tidak bermaya hinggalah kononnya tidak cukup tidur - semuanya menjadi alasan melepaskan diri daripada melakukan pelbagai tanggungjawab hakiki termasuk ketika bertugas.

Tidak hairanlah, ada antara lelaki sanggup ‘curi tulang’, datang lewat ke pejabat atau mengambil kesempatan tidur pada waktu rehat tengah hari hingga melepasi jangka masa ditetapkan. Pahit diakui, begitulah hakikat yang dialami segelintir lelaki yang bagaikan ‘terseksa’ setiap kali tibanya Ramadan.

Mata tidak lagi bebas memandang, mulut dan telinga perlu dijaga
. Bagi perokok pula, aduh azabnya menanti detik berbuka! Selain perlu menahan lapar dan dahaga, lelaki juga mesti bijak mengawal pergerakan diri, menjaga tingkah laku dan paling mustahak, mengawal minda daripada memikirkan perkara bukan-bukan.

Gelodak rasa lelaki kadang kala sukar dikawal. Amalan berpuasa menguji kesabaran lelaki daripada melakukan perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa, atau dalam keadaan lebih teruk, membatalkan puasa. Cabaran inilah yang menuntut kesabaran lelaki sepanjang bulan ini. Bagi yang terdidik daripada kecil, kesedaran hikmah berpuasa itu sendiri memudahkan diri menempuh Ramadan.

Mengulas sikap lelaki menjalani ibadat puasa, Pakar Motivasi dan Kaunseling, Dr HM Tuah Iskandar, berkata dalam senario kehidupan hari ini, wujud beberapa sikap lelaki termasuk individu yang suka mengambil kesempatan di bulan Ramadan. Sambil menyimpulkan dua golongan lelaki secara rambang, menurut Dr HM Tuah, mereka terdiri daripada :
  1. golongan pertama ialah individu cukup sifat dan imannya
  2. golongan kedua yang merangkumi lelaki yang lalai dan tidak bersungguh-sungguh menghayati bulan penuh bermakna itu.
Lelaki bermasalah sentiasa mencari peluang tibanya Ramadan untuk bekerja sambil lewa selain ada juga golongan lain yang sanggup meninggalkan ibadat puasa atas alasan terlalu sibuk bekerja.

“Adakah lelaki seperti ini kita boleh banggakan? Tidak kiralah si bujang atau yang sudah berkahwin, sikap dan perangai mereka cukup memalukan kerana seolah-olah bukan lelaki sejati untuk berdepan dengan amalan puasa. Tidak malukah mereka kepada wanita dan kanak-kanak yang berpuasa? Mereka pula mengambil kesempatan untuk tidak bekerja keras hingga ada yang ponteng berpuasa disebabkan alasan yang tidak kukuh,” katanya.

Menceritakan pengalaman dirinya berdepan dengan golongan lelaki bermasalah setiap kali tibanya Ramadan, Dr HM Tuah yang banyak menerbitkan buku motivasi berkata, beliau pernah bertemu seorang penjual biskut raya yang dipercayai tidak berpuasa.

“Lelaki itu nampak bersungguh-sungguh mahu menjual biskut raya sedangkan saya dapat menghidu bau rokok dari mulutnya. Bagi saya, lelaki seperti itu cukup memalukan. Sudahlah tidak berpuasa akhirnya membuka pekung sendiri dengan mulutnya yang berbau rokok. Sayang sekali di sebalik kesungguhan dirinya berniaga dan membantu keluarga menjual biskut raya, tetapi apabila bab berpuasa jati dirinya lemah,” katanya kesal.


Juadah berbuka yang memikat nafsu

Ditanya sikap lelaki yang suka membazir ketika membeli juadah berbuka, Dr HM Tuah percaya lelaki yang suka membazir tergolong kepada kumpulan lelaki bermasalah.

“Umpama kanak-kanak yang baru belajar berpuasa, lelaki terbabit tampak cukup berselera apabila tiba waktu berbuka. Seharusnya, lelaki yang matang dan beriman tidak terlalu mengikut hawa nafsu apabila tiba waktu berbuka puasa. Cukup sekadar makan apa yang patut dan lebih baik jika berbuka dengan buah kurma dan manisan lain sebelum mengerjakan solat Maghrib,” katanya.

Dr HM Tuah berkata, lelaki tidak perlulah berbuka berlebihan hingga membelakangkan solat Maghrib. Apabila perut sudah penuh, makin malaslah lelaki untuk mengerjakan solat apatah lagi solat sunat terawih.

“Amalan berpuasa ini sebenarnya membuatkan kita menjadi lebih sihat. Tetapi ia boleh bertukar menjadi penyakit apabila perut yang kosong tiba-tiba dikejutkan dengan menjamu selera keterlaluan. Apabila perut sudah penuh ketika berbuka puasa, maka malaslah untuk bangun sahur kerana masih rasa kenyang. Tetapi, orang ini tentu akan berasa lapar pula pada tengah hari membuatkan rasa malas dan lesu makin ketara,” katanya.

Menyentuh soal peluang terbaik yang harus direbut lelaki tatkala Ramadan, Dr HM Tuah berkata, lelaki seharusnya memperbanyakkan amalan termasuk mengerjakan solat terawih yang tidak dinikmati di bulan lain. Namun, beliau berkata, ada juga lelaki yang sekadar terikut-ikut mengerjakan solat terawih tanpa menghayati ibadat itu.

“Cukup sekadar melakukan 8 rakaat kerana yang lebih utama adalah niat sebenar kita. Adalah lebih baik baki yang lebih itu kita qada sembahyang untuk menambahkan lagi pahala di bulan mulia ini. Saya percaya, seorang lelaki yang mampu menonjolkan sifat keimanan mereka lebih dikagumi wanita berbanding paras rupa mereka sendiri,” katanya.

Cergas sepanjang Ramadan

BIARPUN dalam mood berpuasa, tidak bermakna tubuh kita juga harus dibiarkan berehat. Seharusnya, bulan puasa dijadikan peluang untuk meningkatkan kecergasan serta menjaga pemakanan. Mengapa tidak, jika rutin kecergasan dipatuhi, lelaki pasti mendapat bentuk badan ideal untuk melaram di Aidilfitri!

Lelaki harus cergas di bulan puasa dengan melakukan pelbagai aktiviti fizikal dan senaman ringan. Ini bagi menghindarkan badan daripada lesu tatkala menunggu waktu berbuka. Janganlah pula menjadikan puasa sebagai alasan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal. Apabila menyentuh soal aktiviti kecergasan, tidak bermakna yang seseorang itu harus bersukan semata-mata. Banyak lagi aktiviti lain boleh dilakukan termasuk berkebun, membersihkan rumah dan mencuci kereta. Sebahagian daripada rutin yang kita lakukan sehari-hari itupun sudah dianggap rutin aktiviti bersenam.

Laman-Seri kali ini berkongsi tip kekal cergas sepanjang Ramadan... Selamat mencuba!

1. Waktu ideal bersenam

Tidak kiralah bila anda selesa bersenam. Namun, petang atau beberapa jam sebelum berbuka adalah masa paling sesuai untuk bersenam secara ringkas. Kekurangan air dalam badan boleh diganti semula selepas waktu berbuka.

2. Jenis senaman

Apabila bersenam, tidak usahlah keterlaluan hingga boleh menjejaskan kesihatan. Sebaliknya, mungkin anda boleh praktikkan aktiviti senaman ringan seperti berjalan dan berbasikal untuk mengekalkan stamina serta membantu proses membakar lemak dalam badan.

3. Aktiviti sukan

Tentu ghairah untuk bersukan selepas asyik melakukan rutin sama setiap hari. Apa kata sesekali turun ke gelanggang untuk bermain badminton, tenis ataupun bola tampar. Itupun bagi yang berkemampuan dan mempunyai tenaga tambahan.

4. Berkebun

Aktiviti berkebun memang baik untuk kesihatan kerana aktiviti itu membabitkan pergerakan tubuh badan. Selain seronok, anda juga lebih mesra dengan alam.
5. Mencuci kereta

Apa kata cuci kereta anda sendiri di bulan puasa. Tidak sesukar manapun mencuci kereta, malah mungkin cucian anda lebih bersih daripada khidmat pusat cuci kereta.

6. Cat rumah

Aktiviti ini paling ideal untuk dilakukan saat menjelang Aidilfitri. Keseronokan berganda apabila berjaya mengecat rumah mengikut kehendak hati. Lebih-lebih lagi aktiviti sebegitu boleh merangsang peluh dan otot menjadi lebih cergas.

7. Aktiviti di pejabat

Jangan leka bekerja sepanjang masa. Ambil peluang merenggangkan tangan dan kaki untuk mengelak daripada berasa lesu. Aktiviti merenggangkan diri boleh menyegarkan minda.

8. Memasak

Inilah waktu sesuai untuk menguji kepakaran memasak. Bagi lelaki, tidak salah menggembirakan pasangan dengan mempamerkan bakat memasak. Bukan saja menambah aktiviti sepanjang hari, pujian kasih sayang turut dihulur orang tersayang.



Tip kawal nafsu ketika berpuasa
  • Berzikir dan mengingati Allah.
  • Fokus dan jangan fikir perkara-perkara yang boleh melalaikan minda.
  • Penuhkan masa dengan beribadat atau lakukan aktiviti berfaedah seperti membaca dan bersenam ringan.
  • Jaga tangan, kaki, mata dan telinga daripada melakukan perkara tidak baik atau mengurangkan pahala puasa.
  • Hindar diri daripada tertekan, marah atau naik angin kerana ini mungkin boleh membawa kepada perlakuan lebih buruk.
  • Pastikan agenda harian yang diatur bersebab atau ada alasan konkrit. Kurangnya fokus menjadi punca kita lalai.

Amalan yang digalakkan di bulan Ramadan

  1. Mengerjakan solat Terawih dan solat sunat yang lain.
  2. Melakukan ibadah Qiamullail terutama pada sepuluh malam terakhir.
  3. Bersedekah.
  4. Bertadarus Al-Quran.
  5. Mengerjakan umrah.
  6. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar pada waktu-waktu mustajab.
  7. Melaksanakan kewajipan mengeluarkan zakat.
  8. Mengeratkan silaturahim.
  9. Menjaga pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, pertuturan serta perbuatan daripada melakukan perkara yang sia-sia.
  10. Memperbanyakkan doa dan istighfar.

Perkara yang boleh membatalkan puasa

  1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja.
  2. Memasukkan sesuatu ke dalam dubur atau qubur.
  3. Muntah dengan sengaja.
  4. Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak keluar mani.
  5. Mengeluarkan mani dengan sengaja (onani).
  6. Datang haid (wanita).
  7. Gila.
  8. Mabuk atau pengsan sepanjang hari dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
  9. Bersalin (wanita).
  10. Murtad.

Laman-Seri mengucapkan selamat menjalani ibadat puasa kepada pengunjung belog.




Rujuk : Fairuz Zaidan di BH 07/08/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...