PAGE

Ahad, Ogos 08, 2010

Kaunselor Anda : Elak cari bukti suami curang


SOALAN :


Saya berusia 49 tahun, memiliki kerjaya terjamin dan anak-anak yang baik. Suami juga berjawatan tinggi seperti saya dan kami sememangnya kelihatan seperti sebuah keluarga yang sempurna. Namun, sedari dulu lagi saya mencurigai kejujuran suami sebab sikapnya yang suka berbohong. Tetapi kami berjaya juga melayari rumah tangga selama 23 tahun.

Sejak dua tahun lalu, dia berpindah ke Kuala Lumpur mulai berubah. Dia sudah pandai marah-marah termasuk hal kecil. Ada saja yang tidak kena dengan perangai anak-anak dan dia mudah lupa serta tidak lagi prihatin soal keluarga.

Satu hari, sebelum suami berkursus ke luar negara saya terdengar perbualan telefonnya dengan seorang wanita. Saya mula syak dan terkejut melihat 46 panggilan telefon dibuat pada nombor yang sama dalam satu bulan. Apabila ditanya, suami mengakui dia melakukan kesilapan tetapi tidaklah sehingga berzina. Namun, saya tidak percaya. Sejak itu saya tidak tenang, hati saya terluka. Kata suami, dia bukan berniat hendak mencari kasih wanita lain cuma ingin menjadi seperti kawan-kawan di pejabat yang punyai kawan di laman siber.

Kata suami juga dia masih sayangkan saya dan anak-anak tetapi saya sebagai isteri tidak boleh menerima dengan mudah pengakuan suami. Saya menyelidik tentang perempuan itu walaupun saya tahu tindakan itu tidak membantu menenangkan hati sebaliknya menjadi perasaan bertambah geram dan marah. Saya tidak dapat mengelak untuk memikirkan kemungkinan suami sudah berzina. Sedangkan pada masa yang sama, saya masih sayangkan dia, anak-anak dan rumahtangga yang dilayari selama 23 tahun. Puan, bantulah saya mengatasi kemelut ini.

Aliyah

JAWAPAN:

Puan yang dilanda ribut perasaan. Ribut yang tidak dapat dipastikan dari mana puncanya dan ke mana arah matlamat serta paling sulit untuk menentukan bila tamat musimnya. Inilah namanya kemelut cinta yang menyeksa.

Persoalan yang puan kemukakan sebenarnya adalah persoalan biasa yang dilakukan oleh lelaki bernama suami. Mungkin berhasrat menguji harga diri (masih ‘macho’ lagi atau tidak) atau mahu suka-suka sebagai perintang waktu dan sebagai selingan dengan pasangan yang ada, atau dia berasa bebas kerana sudah berada di luar kawasan, lalu berasa tidak ada yang kenal dia di Kuala Lumpur. Jadi dia terasa kebebasan itu miliknya atau sememangnya dia mahu menambah lagi satu secara dirancang, di kota ini atau tidak direncana.

Ini disebabkan saya pernah menangani kisah yang hampir serupa. Pengakuan seorang suami yang secara tiba-tiba dia digoda dan atas alasan mahu membantu atau lain-lain alasan yang difikirkan sesuai bagi mereka akhirnya bernikah secara berahsia. Sehinggalah isteri mendapat bukti yang tidak dapat disangkal lagi oleh suami, maka akhirnya suami mengaku yang dia sudah nikah. Alasan dia berahsia dari isteri ‘tidak mahu melukakan hati isteri pertama’ walaupun itu sememangnya sangat melukakan isteri.

Jadi puan, berhubung dengan kes puan, perkara ini berlaku mungkin atas salah satu alasan tersebut yang kita tak dapat meramalkan kecuali dengan pengakuan suami sendiri nanti. Maka nasihat saya pada puan, pertama jangan mencari-cari bukti lain jika puan mahu terus bersamanya. Kerana jika puan cari bukti, Allah pasti ketemukan kerana Allah Maha Pengasih.

Apa yang membimbangkan, bila terkumpul bukti-bukti itu, puan yang sememangnya mahu mengekalkan hubungan perkahwinan dengan suami dan masih sayang dengan anak-anak akan bertukar menjadi timbul kebencian, kekecewaan dan kesedihan yang boleh mengheret puan ke kancah pergaduhan dan mungkin juga perceraian yang puan cuba elakkan seperti dinyatakan.

Apa yang puan lakukan ialah berhenti mencari bukti dan jalani hidup ini seadanya bersama suami dan dalam keadaan akrab dan santai. Puan lebih mudah membuat suami bercerita duduk perkara sebenarnya. Mohon dia ceritakan secara ikhlas tanpa tekanan dari pihak puan dan puan pula harus menerima ceritanya dalam keadaan yang tenteram dan terbuka. Setelah mendengar ceritanya puan berilah komen secara ikhlas dan tenang terhadap cerita berkenaan. Nyatakan perasaan puan yang sebenar terhadap sikap suami dengan baik, tenang dan bersahaja.

Elakkan daripada bercakap untuk meluahkan rasa marah, untuk mendapat simpati atau untuk mempertahankan hak atau untuk merayu agar tidak ditinggalkan atau sebagainya yang menggambarkan kita takut kehilangannya atau kita menahan hubungannya dalam bentuk cemburu dan sebagainya.

Sikap ini akan membuat suami bersikap ‘protective’ dan cuba membela diri sendiri dan mengeluarkan alasan bahawa bukan dia yang mencari dan memulakan. Sebaliknya, dia dirayu, diburu dan digoda, ditagih simpatinya, terpaksa dan lain-lain alasan yang munasabah.

Kedua, belajar membangun kekuatan diri dengan berpegang pada peringatan Allah SWT bahawa jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan peta hidup kita ditentukan oleh sebahagian kecil usaha kita, tapi sebahagian besarnya adalah di bawah ketentuan Tuhan. Percayalah bahawa hidup kita ini tidak akan kekal bahagia selamanya kerana kita ini hamba Allah SWT dan oleh kerana itu kita tidak dapat terlepas daripada ujian-Nya.

Maka ini adalah ujian kepada hubungan perkahwinan puan yang selama ini berjalan baik, lalu kurang berterima kasih kepada Allah SWT dan mungkin puan menggantungkan rasa bahagia itu kepada suami terlalu tinggi dan rendah sikap bergantung pada Allah SWT. Maka Allah SWT ‘menegur’ anda sekarang bahawa yang membuat anda bahagia selama ini bukan suami tapi Allah SWT.

Lalu Allah SWT mahu kita dekat balik kepada-Nya dan menggantungkan harapan bahagia seterusnya kepada-Nya juga, bukan manusia. Maka jika ini terjadi bermakna kita sudah lebih mendekat pada Allah SWT dan mohon pertolongan Allah SWT dalam usaha menghadapi ujiannya ini. Jika ini berlaku maka puan tidak panik lagi, kerana Allah SWT sudah di sisi.

Jika hilang suami, Allah SWT sudah di sisi, mana lebih untung dapat cinta suami atau cinta Allah. Mana cinta yang dapat mententeramkan hati dan mana cinta yang melukakan hati. Hasilnya kita akan pasrah untuk terus hidup bahagia bersama atau pun tidak bersama lagi dengan suami kerana Allah.

Jika Allah yang ketemukan kita maka Allah SWT juga boleh pisahkan kita, maka kalau itu mahunya Allah SWT, mana mungkin kita menentangnya. Kalau mahunya Allah SWT, kita bersama mana ada kuasa yang mampu memisahkannya. Oleh itu tingkatkan penyerahan kepada Allah sebagai penentu kehidupan kita. Bukan pilihan mahunya kita semata-mata.

Sebab itu Ibnu Qayyim menyebut “nilai manusia itu boleh diukur dengan semangat dan apa yang dia inginkan.” Jika anda inginkan hidup bahagia maka bermohon dan bersandarlah kepada Allah SWT bukan kepada manusia dengan cara selalu memberi maaf dan berlapang dada dengan apa yang ditemui dalam hidup kerana orang yang selalu berlapang dada maka dia telah dijanjikan oleh Allah akan memperoleh kemuliaan di dunia dan di akhirat.

Juga suka saya memperingatkan jika anda terus menyerang dan mencari-cari alasan untuk mencari sebab berasa sedih dan menderita, bermakna anda sudah menjatuhkan diri sendiri dalam kesibukan yang sebenarnya. Dari hadis menyatakan kemarahan itu adalah sebuah bara api dari neraka dan di saat itulah syaitan dapat mengalahkan kita kerana kita lalai dengan Allah dan kita sedang marah. Mudah-mudahan semua perkara ini dapat dikendalikan dengan baik dan hasilnya diserahkan kepada Allah juga.

Bersama : Dr Rubiah K Hamzah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...