PAGE

Jumaat, Ogos 06, 2010

ISU : Kahwin muda (bawah umur)

~ gambor hiasan ~

Assalamualaikum warahmatullah,

Selepas mengesyurkan idea pelik [Rujuk : Melaka syor sekolah khas remaja hamil], Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam membuat satu lagi kejutan, MAIM benar remaja kahwin elak bayi luar nikah. Menurut berita, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membenarkan remaja lelaki termasuk pelajar, di bawah umur 18 tahun dan 16 tahun bagi pelajar perempuan di negeri ini untuk bernikah.

Keputusan itu diambil bertujuan :
  1. mengurangkan kes kelahiran bayi luar nikah,
  2. membendung kes zina yang semakin menular,
  3. mengurangkan kes remaja melarikan diri dari rumah.

Dikatakan cara ini lebih praktikal untuk membendung masalah crisis sosial yang melanda remaja di negeri itu. Kelonggaran itu bagaimanapun hanya akan diberikan selepas mendapat keizinan daripada Mahkamah Syariah, selain restu keluarga. Bagi kes pelajar yang sudah hamil pula, kebenaran bernikah tetap diberikan namun kos denda akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Kelonggaran pernikahan itu diberikan selepas mengambil kira 391 kes gejala hamil dan melahirkan anak luar nikah dicatatkan di negeri ini pada tahun lalu selain 174 kes bagi tempoh enam bulan tahun ini.

Keputusan ini dicapai hasil resolusi yang dihantar perwakilan pada persidangan menangani gejala sosial yang dilangsungkan, baru-baru ini. Kerajaan negeri berpendirian adalah lebih baik ibu bapa memberi kebenaran kepada anak remaja mereka berkahwin pada usia muda.

“Semua kes kehamilan luar nikah itu membabitkan pelajar berusia bawah 20 tahun. Ini harus dicegah bagi mengelak kes berkenaan meningkat,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Ali berjanji memberikan bantuan sebanyak RM500 kepada pasangan muda yang ingin mendirikan rumahtangga, disusuli dengan penubuhan sebuah sekolah khusus kendalian Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk menempatkan remaja hamil meneruskan persekolahan.

Bagaimanapun, idea menubuhkan sekolah berkenaan mendapat reaksi negatif banyak pihak termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang beranggapan penubuhannya kurang sesuai.


Dalam berita yang dipetik hari ini, WAO bantah remaja bawah 16 tahun dibenar kahwin di BH 2010/08/06 , cadangan untuk membenarkan remaja wanita di bawah umur 16 tahun berkahwin dibantah sebuah pertubuhan wanita yang menganggap langkah itu merendahkan martabat wanita dan menganiayai kanak-kanak.

Beberapa petikan ulasan tentang kahwin muda (bawah umur) :

Ivy Josiah

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah mempertikai cadangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) walaupun objektifnya menggalakkan ibu bapa memberi kebenaran kepada anak mereka berkahwin awal bagi mengekang gejala hamil luar nikah.

Menurut Ivy, cadangan itu adalah tidak wajar sama sekali dan pihaknya membantah sekeras-kerasnya kerana ia merendahkan martabat wanita.

“Mereka ini masih kanak-kanak, mengikut Akta Kanak-Kanak usia di bawah 18 tahun adalah kanak-kanak. Mereka sepatutnya diberikan pendidikan dan bukannya digalakkan berkahwin,” katanya, ketika mengulas cadangan MAIM membenarkan remaja lelaki termasuk pelajar di bawah umur 18 tahun dan 16 tahun bagi pelajar perempuan di negeri itu bernikah.

Dr Harlina Haliza Siraj

Naib Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj berkata, jika kerajaan Melaka mahu melaksanakan cadangan itu, ia perlu diikuti dengan pemantauan yang teliti. Ini kerana remaja bawah umur masih belum matang dan perlu dibimbing supaya kehidupan mereka tidak tersilap langkah.

“Kita tidak mahu mereka dianiayai selepas kebenaran diberi untuk berkahwin. Kita mahu mereka ini dilindungi,” katanya.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri sedia mengkaji kesesuaian pelaksanaan undang-undang perkahwinan di awal usia seperti yang mahu dilaksanakan oleh Melaka. Bagaimanapun pihaknya juga merasa bimbang jika membenarkan pelajar sekolah berkahwin awal, mereka tidak mampu mengurus rumahtangga dengan baik sehingga boleh menyebabkan berlaku perceraian.

“Kita tidak mahu orang kahwin kerana suka-suka sahaja, ia benda besar. Tetapi bagi saya benda ini di kampung sudah lama berlaku dan tidak banyak pasangan yang bermasalah sepertimana di bandar. Namun kita akan kaji benda ini,” katanya.

Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah kerajaan negeri Melaka itu meskipun bermatlamat mencegah gejala hamil luar nikah. Ini kerana, kebanyakan kes hamil luar nikah bukan melibatkan pasangan yang serius hendak berkahwin tetapi hanya untuk berseronok sehingga terlanjur.

“Puteri UMNO yakin gejala tidak bermoral itu hanya boleh diselesaikan menerusi 'akarnya' iaitu setiap ibu bapa menjalankan tanggungjawab mendidik anak-anak tentang dosa dan pahala,” katanya.

Latifah Hussain

Presiden Persatuan Ibu Tunggal Negeri Pulau Pinang, Latifah Hussain berkata, kemungkinan untuk bercerai bagi pasangan yang berkahwin muda adalah tinggi kerana masing-masing tidak memahami tanggungjawab sebagai suami isteri.

“Daripada membenarkan pelajar berkahwin, lebih baik usaha dilakukan untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang tanggungjawab dalam membina sebuah keluarga yang harmoni,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Osman Abu Bakar

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula mempunyai pandangan berbeza apabila bersetuju dengan langkah kerajaan negeri Melaka itu. Jelasnya, tindakan tersebut akan membantu mengelakkan zina berleluasa di negara ini.

“Ia merupakan langkah yang baik untuk mengatasi masalah kehamilan luar nikah di negara ini,” katanya.


Hemmm... haaaaairannya... seorang pemimpin [Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam] masih boleh bermain ‘cuba-cubalah dulu, tengok apa hasilnya’... dalam menangani masalah gejala krisis sosial yang melanda remaja kita hari ini. Mula-mula menjanjikan bantuan RM500 [NB: sampai bila RM500 boleh bertahan? Berapa lama MAIM hendak bantu?!], kemudian sekolah mengandung dan terkini kelonggaran berkahwin muda bawah umur pula. Kesemua jalan penyelesaian yang dicadangkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam merupakan jalan penyelesaian singkat (jangkamasa pendek) terhadap masalah berkenaan.

Secara peribadi, keputusan membenarkan anak yang masih bersekolah berkahwin hanya akan menimbulkan masalah lain termasuk meningkatnya jumlah penceraian pada masa akan datang. Pemikiran mereka masih keanak-anakan dan jika sudah terlanjur dan disuruh berkahwin, maka ia menyebabkan mereka membina rumahtangga pada usia yang tidak matang.

Saya sendiri pernah ditanya pendapat tentang berkahwin semasa masih belajar menuntut. Jawapan saya : kalau boleh, ‘TAK PAYAHLAH’ kahwin awal, tumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Lagipun, waktu di alam kampus adalah waktu yang sangat seronok untuk kita menimba ilmu dan pengalaman. Jadi, seharusnya ia digunakan sebaik mungkin. Lepas graduate, cari kerja dan pastikan ada duit sendiri, kemudian barulah fikir fasal kahwin. Jika masih belajar, masih di bawah tanggungan ibu bapa, itu maknanya masih tak mampu berdikari…

Apa rasionalnya berkahwin dalam usia tidak boleh mandiri? Jika yang perempuan tak adalah apa sangat yang hendak difikirkan, sebab yang bertanggungjawab menyediakan nafkah adalah suami. Suami itu pula, hendak suap isteri dengan apa? Duit ibu bapakah? Oh.. tak mengapa, bukankah ada duit biasiswa....? [NB: Menyalah-gunakan duit biasiswa adalah tidak amanah... salah tu!]

Tidak saya nafikan, zaman sekitar 50-an dan 60-an dulu, berkahwin pada usia muda bukanlah sesuatu yang ganjil pelik. Malah ada sesetengahnya, terutama anak gadis menamatkan zaman bujang ketika usia masih terlalu mentah antara 15 atau 16 tahun. Jika anak dara sudah masuk usia 20 tahun, dikatakan anak dara tua pada masa itu. Itu cerita dahulu, di mana pada masa itu, remaja lelaki seawal usia 15 tahun (tamat MCE) sudahpun mula bekerja dan menjana pendapatan sendiri.

Kita lihat hari ini, remaja lelaki yang berumur bawah 18 tahun belum cukup matang dalam berfikir dan bertindak. Hendak memikul tanggungjawab sebagai anak dan pelajar pun tidak lepas, bagaimana hendak memikul tanggungjawab sebagai seorang suami? Jangan-jangan solat subuhpun asyik terbabas! Itu belum sentuh bab tanggungjawab sebagai seorang bapa pula… Beratnya tanggungjawab, jika tiada ilmu munakahat (ilmu perkahwinan) dan ilmu keibubapaan, bagaimanakah pembentukan keluarga Muslim yang dituntut syarak?

Perkahwinan BUKAN sekadar untuk melepaskan nafsu atau menikmati hubungan suami isteri atau atas desakan cinta semata-mata! Sebaliknya, matlamat perkahwinan MESTI jelas agar mengundang keredhaan Allah SWT. Kedua-dua bakal suami isteri perlu bersiap sedia dari segi mental, fizikal dan kewangan bagi menjamin keutuhan hidup berumahtangga. Rujuk entry Perkahwinan, tujuan dan falsafahnya dan Kahwin : Jangan berlandaskan seks! untuk maklumat lanjut.

Sedikit revision dari entry Hukum berkahwin dan fadhilatnya :

Hukum berkahwin itu ada empat iaitu :

1. Wajib - Orang yang diwajibkan berkahwin ialah orang yang sanggup untuk berkahwin yakni berkemampuan dari segi zahir dan batin, cukup belanjanya dan dia khuatir tidak dapat menahan nafsunya dan melakukan perbuatan zina.

2. Sunat - Orang yang disunatkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dari segi zahir dan batin, cukup belanjanya dan sanggup memelihara diri dari kemungkinan melakukan perbuatan yang terlarang.

3. Makruh - Orang yang yang tidak mempunyai kesanggupan untuk berkahwin (dibolehkan melakukan perkahwinan), cukup belanjanya tetapi tiada keinginan berkahwin dan dia dikhuatiri tidak dapat mencapai tujuan perkahwinan. Oleh itu dianjurkan sebaliknya ia tidak melakukan perkahwinan.

4. Haram – Orang yang diharamkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin tetapi dia yakin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab. Kalau dia berkahwin diduga akan menimbulkan kemudharatan terhadap pihak yang lain seperti orang gila, orang yang suka membunuh, orang yang mempunyai penyakit berjangkit yang berbahaya atau mempunyai sifat-sifat yang dapat membahayakan pihak yang lain, dan sebagainya.

Lihat perkataan yang ditebalkan, cukup belanjanya. Bermakna, bakal suami yang bertanggungjawab menyediakan nafkah untuk isteri dan anak-anak wajib mempunyai kemampuan dari segi kewangan. Mengapa ia dianggap penting?? FIKIRLAH sendiri...

Perkahwinan di usia muda boleh dipertimbangkan sekiranya :
  • Ia memberi lebih kebaikan dan boleh menghalang daripada berlaku maksiat. Itu lebih mendatangkan keberkatan.
  • Sudah berkemampuan dari segi MENTAL, iaitu kefahaman tentang tanggungjawab sebagai suami, isteri dan juga pelajar (dan mungkin juga nanti sebagai ibu dan bapa).
  • Berkemampuan dari segi kewangan tentu sahaja boleh berkahwin. Kemampuan dari segi kewangan bermaksud, ada sumber pendapatan sendiri (bekerja) atau ada bantuan kewangan. Ini tentu sahaja memerlukan sokongan daripada ibu bapa kedua belah pihak.
Jika ketiga-tiga syarat tersebut boleh dipenuhi, maka tidak salah berkahwin muda atau ketika masih bergelar pelajar.

Apa pula pendapat anda??




Capaian entry berkaitan :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...