Assalamualaikum warahmatullah,
Islam ialah agama yang menggalak seseorang yang mampu kahwin dan bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga supaya berkahwin dan membina rumahtangga dan keluarga. Rasulullah SAW tidak menyukai orang yang membujang seumur hidup, kecuali ia mempunyai masalah yang tidak mengizinkannya untuk berkahwin.
Rasulullah SAW dan rasul-rasul terdahulu adalah terdiri daripada golongan orang yang berkahwin dan mempunyai zuriat keturunan. Kebanyakannya beristeri lebih dari satu. Hakikat ini dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami mengutus Rasul-Rasul sebelummu dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.” (Surah ar-Ra'd 013, ayat 38)
Hukum asal suatu perkahwinan adalah harus sahaja, bukanlah wajib seperti ibadah lain yang termaktub di dalam al-Quran. Walau bagaimanapun, mengikut sunnah Rasulullah SAW yang ini, terdapat kemungkinan hukumnya boleh berubah menjadi wajib, sunat, makruh dan haram di mana sesuai dengan keadaan seseorang yang akan menempuh perkahwinan.
Rasulullah SAW juga menjelaskan di dalam hadisnya yang bermaksudkan: “Sekiranya kamu mempunyai anak-anak perempuan yang sudah remaja, lalu datang seseorang yang datang meminang, jika kamu dapati laki-laki yang masuk meminang itu baik akhlaknya, agamanya dan sebagainya, maka segeralah kamu menikahkannya.”
Hadis tersebut membayangkan ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk menikahkan anak-anak perempuan mereka yang remaja, kerana untuk menjaga kebajikan anak-anak remaja itu dan melindunginya dengan perkahwinan itu agar ia terselamat dan terjerumus ke lembah perzinaan yang membawa kepada keruntuhan akhlak dan iman.
Dalam satu hadis yang lain pula, Rasulullah SAW mengecam segolongan sahabat yang pernah menyatakan hasrat mereka untuk terus membujang sepanjang hayat, bagi menumpukan sepenuh usia mereka kepada ibadat dan solat malam. Baginda menasihati mereka supaya berkahwin dengan wanita yang penyayang dan ramai anak. Sesungguhnya baginda berbangga dengan ramai bilangan umatnya pada hari Kiamat.
Hukum berkahwin itu ada empat iaitu :
1. Wajib - Orang yang diwajibkan berkahwin ialah orang yang sanggup untuk berkahwin yakni berkemampuan dari segi zahir dan batin, cukup belanjanya dan dia khuatir tidak dapat menahan nafsunya dan melakukan perbuatan zina.
2. Sunat - Orang yang disunatkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dari segi zahir dan batin, cukup belanjanya dan sanggup memelihara diri dari kemungkinan melakukan perbuatan yang terlarang.
3. Makruh - Orang yang yang tidak mempunyai kesanggupan untuk berkahwin (dibolehkan melakukan perkahwinan), cukup belanjanya tetapi tiada keinginan berkahwin dan dia dikhuatiri tidak dapat mencapai tujuan perkahwinan. Oleh itu dianjurkan sebaliknya ia tidak melakukan perkahwinan.
4. Haram – Orang yang diharamkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin tetapi dia yakin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab. Kalau dia berkahwin diduga akan menimbulkan kemudharatan terhadap pihak yang lain seperti orang gila, orang yang suka membunuh, orang yang mempunyai penyakit berjangkit yang berbahaya atau mempunyai sifat-sifat yang dapat membahayakan pihak yang lain, dan sebagainya.
Fadhilat berkahwin
Menurut Abbas r.a., bahawa tidak sempurna ibadat seseorang kecuali apabila ia sudah berkahwin. Persoalannya adakah kahwin itu suatu ibadat? Saidina Abbas lebih cenderung untuk meletakkan perkahwinan itu sendiri merupakan suatu ibadat, ataupun ia dikira sebagai suatu kesempurnaan bagi perlaksanaan ibadah.
Yang dimaksudkan oleh Abbas r.a. iaitu tidak tenang hati seorang hendak beribadat kepada Allah SWT kerana dorongan syahwat yang telah ditakdirkan kepada keturunan Adam, kecuali setelah ia berkahwin. Walaupun seseorang itu kuat melakukan ibadat, seorang tok lebai yang baik budi pekertinya dan berakhlak mulia, namun ia terpaksa mengakui keperluan yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT dari segi nafsu syahwat, maka kedudukannya sebagai tok lebai itu belum boleh menjadi suatu jaminan melainkan ia kembali ke fitrahnya yang semulajadi, iaitu berkahwin.
Lebih-lebih lagi di zaman yang penuh pancaroba; buka jendela di pagi hari, sudah lihat perkara-perkara yang boleh mengoda perasaannya. Sedangkan di zaman Saidina Abbas r.a itu pun beliau telah merasakan tidak selamat tanpa berkahwin, betapa pula di zaman sekarang yang begitu banyak pendedahan perkara-perkara yang membangkitkan keinginan seseorang terhadap syahwat. Oleh yang demikian perkahwinan menjadi suatu perkara yang sangat mustahak kerana ia akan menjadi perisai kepada keimanan.
Tidak sempurna suatu ibadat kecuali ia dilakukan dengan kelapangan hati. Kelapangan dan ketenangan hati akan lebih mudah dicapai setelah Seseorang itu menempuh perkahwinan. Jika seseorang itu memerlukan makan minum dan pakaian serta tempat tinggal bagi menjaga kepentingan fizikal, demikian juga nafsu syahwat yang Allah kurniakan itu juga memerlukan penyelesaian. Jika itu tidak dilakukan maka pastilah ketenangan hati sukar dicapai.
Pernah Saidina Abbas r.a menghimpunkan anak-anak lelakinya yang masing-masing telah remaja, lalu beliau berkata kepada anak-anak remajanya itu: “Wahai anak-anakku, jika kamu semua telah mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka beritahulah kepada ku, Insya Allah aku akan berusaha untuk mengahwinkan kamu, kerana apabila seseorang manusia telah melakukan zina maka ketika itu Allah SWT cabut iman mereka dari hatinya.”
Keimanan adalah suatu hidayah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya. Sekiranya iman itu telah dicabut lantaran hamba tersebut melakukan zina maka tidak mudah Ia hendak dibina kembali atau diperolehi semula. Kerana perbuatan zina itu adalah perbuatan orang yang fasik dan zalim yang tidak mendapat hidayah dari Allah SWT.
Inilah beberapa pendapat dan pandangan seorang sahabat Rasulullah SAW tentang perkahwinan dan keperluannya. Sesungguhnya banyak keterangan di dalam al-Quran tentang adab-adab nikah, dengan adanya ayat-ayat yang mendorong ke arah perkahwinan itu. Begitu banyak kisah para nabi-nabi yang menjelaskan kehidupan mereka bersama isteri-isteri serta mempunyai anak dan cucu. Terdapat di dalam ungkapan dan doa para nabi yang bermohon kepada Allah SWT semoga Allah SWT mengurniakan kepada mereka anak-anak dan cucu sebagai sesuatu yang menjadi tenang mata memandang (Qurrota Aaayun). Doa-doa tersebut membuktikan bahawa nabi-nabi atau orang yang soleh melakukan perkahwinan.
Demikian huraian hukum-hukum perkahwinan dan fadhilatnya yang boleh dijadikan panduan dan juga pengajaran yang baik kepada sesiapa yang bercadang untuk berkahwin.
Selamat menempuh alam perkahwinan.
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, Mac 13, 2009
Hukum berkahwin dan fadhilatnya
Susunan :
Bawang Goreng
pada
3/13/2009 10:47:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...