"GAGAH, besar dan perkasa. Sekali kena, mesti nak lagi." Ini bukanlah iklan bangunan mercu tanda, projek bernilai berjuta-juta ringgit atau makanan kesihatan sebaliknya kata-kata tarikan iklan ubat atau produk perangsang tenaga batin bagi lelaki.
Ubat yang sebaliknya menjerat dan mengundang padah lebih besar - semakin ramai lelaki negara ini kemaruk ubat kuat, seperti diakui pakar perubatan.
Katakan saja di mana, baik di kaki lima, di muka pintu, di corong radio, televisyen, warung kopi di kampung, pasar gelap serta di internet, semuanya sudah mampu dibolosi iklan produk seperti pil, kapsul, minuman didakwa mengandungi Tongkat Ali, serbuk, minyak sapu dan krim. Iklan dari mulut ke mulut pula lazimnya membabitkan rawatan tradisional seperti urut, susuk dan memasukkan bebola besi pada kulit zakar itu atas alasan menjadikannya kuat.
Ketika kita tersenyum lebar mendengar iklan kopi yang namanya menggambarkan kejantanan, tidak ramai yang menyedari padah akibat 'penaklukan' ubat kuat yang berlambak di pasaran ini. Padah yang menunjukkan semakin ramai lelaki termasuk intelektual serta yang masih bergelar penuntut universiti sanggup berbelanja bagi memastikan kekuatan tenaga batin biarpun ada produk yang berisiko menjejaskan kesihatan, termasuk menyebabkan mereka mengalami mati pucuk atau Disfungsi Erektil (ED).
Data Kementerian Kesihatan menunjukkan rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM27 juta untuk membeli ubat perangsang seks seperti Viagra dalam tempoh Mac 2007 hingga Mac 2008.
SEBAHAGIAN produk atau ubat kuat yang dirampas pihak berkuasa. Kawasan kaki lima turut jadi tumpuan peniaga produk ini. |
Malah, ini menjadi antara faktor semakin banyak syarikat pengeluar makanan dan minuman berlumba-lumba menghasilkan produk didakwa mengandungi herba penguat tenaga batin itu selain kebanjiran produk dari India, Indonesia dan China termasuk yang diharamkan.
Namun, sejurus diharamkan, sepantas kilat ia dengan mudahnya dijual di pasaran gelap menerusi ejen atau 'kaki' yang tanpa segan silu mengiklankannya menerusi internet. Pengaruh ubat kuat ini bukan lagi soal tepuk dada tanya selera, tetapi sebegitu mudah diperoleh menerusi sentuhan di hujung jari mendail nombor telefon terpampang di kaki lima hinggalah di internet.
Selamat atau tidak produk itu, haram atau halal, mahal atau murah serta sakit atau tidak kaedahnya bukan lagi keutamaan lelaki ini yang mengutamakan nafsu daripada segala-galanya.
Persoalannya, mengapakah lelaki tempatan sebegitu kemaruk dengan produk ini? Pakar Perubatan Sakit Tuan, Dr Ismail Tambi, mengakui sikap kemaruk itu bukan saja dihidapi mereka sudah berusia yang lebih sinonim dengan masalah mati pucuk, sebaliknya lebih membimbangkan apabila ia turut membabitkan lelaki muda, termasuk remaja.
HERBA tradisional didakwa boleh menguatkan tenaga batin. |
"Semakin ramai lelaki sebegitu kemaruk dengan apa saja produk penguat tenaga batin. Inilah hakikat berdasarkan pengalaman saya sejak bertahun-tahun lamanya mengendalikan kes ini yang bukannya semakin berkurangan tetapi meningkat.
"Mereka ini sanggup berbuat apa saja demi kepuasan diri. Hubungan kelamin bukan lagi rahsia suami isteri, sebaliknya menjadi lambang kebanggaan kekuatan atau kuasa si lelaki. Ini diburukkan lagi dengan kegiatan seks rambang pasangan belum berkahwin dan turut berlumba-lumba mendapatkan produk ini," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Apa menyedihkan, kata Dr Ismail, beliau merawat pesakit yang pada akhirnya berdepan masalah mati pucuk akibat tindakan mengambil produk ubat kuat ini.
"Produk ini pula ada yang bukannya buatan tempatan, sebaliknya dibawa masuk dari negara jiran. Produk diharamkan di Indonesia, China dan India ini turut mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan. Malah, saya sendiri terpaksa membuat laporan polis apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama saya untuk mengiktiraf produk tertentu."
Dr Ismail berkata, beliau tidak segan mendedahkan masalah ini kerana menyedari tanggungjawabnya menyampaikan bahaya akibat pengambilan ubat kuat ini.
"Mereka mengambilnya tanpa mengira risiko kesihatan. Saya yakin tidak ramai menyedari bahana pengambilan produk ini. Anak muda yang mengambilnya boleh berdepan risiko mati pucuk walaupun pada usia 20-an. Malah ada satu kes itu, mangsa mengalami ereksi selama dua hari dan selepas itu alat sulitnya tidak berfungsi langsung. Bayangkan apa akan jadi pada generasi kita yang berdepan masalah seperti kesukaran mendapat anak akibat tindak tanduk sendiri."
Katanya, tidak kurang yang sanggup menderita apabila memilih memasukkan bebola besi yang menyakitkan ke dalam kulit zakar lelaki.
"Bagi mereka, kekuatan tenaga batin menjadi kunci kebahagiaan. Kaedah tradisional seperti susuk dan bebola besi ini memang menyakitkan bukan saja kepada lelaki itu tetapi isterinya juga. Tetapi beliau tidak peduli kerana apa yang penting, nafsu dirinya diutamakan.
"Banyak kes yang dirujuk kepada saya membabitkan masalah yang mana kulit zakar lelaki itu rosak. Sakit memang sakit, tetapi lelaki jenis ini sanggup menderita. Ini yang menyedihkan kita," katanya.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah, menyalahkan sikap pengguna yang terlalu mengutamakan produk penguat tenaga batin ini sebagai punca barangan itu berlambak di pasaran.
"Ramai pengguna tidak sedar mereka sebenarnya terpedaya dengan pelbagai dakwaan palsu syarikat pengeluar produk herba dan ubat kuat yang mahu melariskan jualan mereka. Berapa ramaikah pengguna bertanyakan apakah produk itu benar-benar mengandungi bahan Tongkat Ali dan Kacip Fatimah seperti diakui pada label produk itu?
"Apakah produk dan syarikat itu boleh dipercayai dan benarkah ia mampu memberi hasil seperti didakwa? Jawapannya, tiada siapa pun boleh memberi jaminan keaslian mahu pun kemujaraban produk itu. Akhirnya, pengguna menjadi mangsa ketika pengeluar mencatat keuntungan berlipat ganda di atas produk yang tidak mengandungi sebarang keajaiban itu," katanya.
Shaani yang berpengalaman luas dalam bidang penghasilan produk herba sebelum menyertai Fomca berkata, berdasarkan pengalamannya sendiri, tidak banyak produk di pasaran yang mengandungi bahan didakwa penguat tenaga batin itu.
"Permintaan terhadap Tongkat Ali memang besar. Tetapi pengeluarannya dalam negara ini juga amat terhad dan tidak mungkin dapat memenuhi permintaan tinggi. Berikutan itu, tidak mungkin ada syarikat yang boleh mencampurkan kandungan tinggi Tongkat Ali dalam produk mereka. Saya berani jamin," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya peka dan mengutamakan hak sebagai pengguna apabila membuat pilihan bagi mana-mana produk, terutama yang membabitkan makanan.
Tiada kajian saintifik kandungan herba kuat
SEJAUH manakah produk ubat kuat ini benar-benar mengandungi bahan perangsang seks seperti herba popular Tongkat Ali?
Hakikat ini sukar dibuktikan berikutan tiada satu kajian saintifik yang benar-benar menyeluruh mengenai kebenaran dakwaan itu atau pun kaedah penyediaan serta cara ekstrak bahan itu diperoleh.
Mengikut kajian saintifik, setiap pengambilan kopi didakwa mengandungi Tongkat Ali perlu mengandungi sekurang-kurangnya 1 mg ekstrak herba itu dan daripada kandungan itu, hanya lima peratus ekstrak dapat diserap oleh badan.
Namun, kenyataan dua institusi penyelidikan tempatan sebelum ini sedikit sebanyak boleh memberi gambaran persoalan ini.
Kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) membabitkan 10 jenama kopi Tongkat Ali popular di pasaran pada 2007, mendapati tujuh daripadanya mengandungi hanya 0.25 peratus hingga 1.6 peratus ekstrak herba itu yang didakwa tidak cukup untuk memberi manfaat kesihatan atau faedah seperti digembar gemburkan.
Penyelidikan itu mendapati kandungan bahan aktif herba itu di dalam minuman berkenaan pula hanya antara 0.0039 peratus hingga 0.0246 peratus atau 7.8 nanogram (ng) hingga 49.3ng, jauh daripada paras yang dapat memberi manfaat kesihatan.
Manusia normal yang berhasrat memperoleh khasiat herba itu perlu mengambil sekurang-kurangnya satu miligram (mg) bahan aktif Tongkat Ali bagi setiap kilogram (kg) berat badannya atau tidak lebih 3 mg bagi setiap kg berat badan, sehari. Atau lebih tepat lagi, individu yang mempunyai berat badan 80kg memerlukan minimum 80 mg ekstrak herba itu sehari jika mahu memperoleh faedah herba itu.
Satu lagi kenyataan memetik institusi penyelidikan, Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) Universiti Teknologi Malaysia yang mendakwa pengambilan kopi kuat yang mengandungi kurang 0.05 mg bahan aktif Tongkat Ali atau Kacip Fatimah, tidak mendatangkan kesan dari sudut kesihatan.
Malah jika benar mengandungi ekstrak Tongkat Ali, kopi yang diminum berasa pahit. Ada yang meminumnya mengakui lebih bertenaga tanpa menyedari ia disebabkan kandungan gula yang tinggi dalam paket dan boleh mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan lain seperti kencing manis jika diambil berterusan dalam tempoh beberapa tahun.
INFO: Ubat kuat
- Data Kementerian Kesihatan menunjukkan rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM27 juta untuk membeli ubat perangsang seks seperti Viagra dalam tempoh Mac 2007 hingga Mac 2008. Selain Viagra, ubat perangsang seks paling laris adalah Cialis dan Levitra.
- Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu, RM1.4 juta ubat perangsang seks berjaya dirampas dan Selangor mencatat nilai rampasan tertinggi iaitu RM1.1 juta.
- Sekurang-kurangnya 90 ubat tradisional penguat tenaga lelaki dan wanita, makanan tambahan dan kosmetik keluaran syarikat di Indonesia dilabelkan kerajaan negara itu tidak selamat.
- Antara kes padah ubat kuat termasuk seorang lelaki Singapura maut akibat pengambilan ubat kuat 'Urat Madu' ketika melanggan pelacur di Batam, awal tahun ini. Pada 2007, tiga lelaki dari Pulau Pinang yang membeli ubat kononnya dihasilkan daripada zakar buaya di Chow Kit pada harga RM50 bagi 20 kapsul. Seorang daripada mangsa mendakwa mengalami kebas dan kejang badan selepas memakan dua kapsul sebelum melakukan hubungan intim dengan isterinya. Alat kelaminnya juga gagal berfungsi menyebabkannya terpaksa merujuk nasihat pakar. Seorang lagi terpaksa dirawat di hospital selama dua hari selepas memakan ubat itu.
Sumber :
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...