“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Mac 08, 2009

Pendarahan abnormal

MASALAH ketumbuhan, mengandung, keguguran dan juga usia (kitaran haid remaja) mungkin menyebabkan pendarahan di luar kitaran haid biasa.

RAMAI wanita yang mengalami keganjilan pendarahan yang bukan berkaitan dengan darah haid bulanan. Ada yang serius dan ada juga yang sembuh tanpa memerlukan apa-apa rawatan. Walau apa pun cara persembahan pendarahan tersebut, puan haruslah mengetahui penyebab-penyebab pendarahan tersebut, bagaimana ia didiagnosis dan kaedah rawatan yang mungkin diberikan.

Kitaran haid

Ovari yang berada di kedua-dua belah rahim puan mengeluarkan dua jenis hormon yang penting untuk wanita iaitu estrogen dan progesteron.

Hormon-hormon tersebut berganding dalam fungsi menyediakan benih serta penebalan dinding dalaman rahim untuk kemungkinan penanaman selepas persenyawaan sperma dan telur. Ovulasi berlaku sekitar 12 hingga 14 hari sebelum datangnya kitaran haid yang berikutnya.

Benih yang dikeluarkan akan melalui tiub fallopian di mana persenyawaan mungkin (atau tidak) berlaku dengan sperma. Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, paras hormon akan jatuh dan memberi isyarat pada dinding dalaman rahim untuk gugur sebagai darah haid. Kebanyakan kitaran berlangsung selama 28 hari dan kitaran yang sedikit pendek atau panjang sehingga 35 hari adalah normal.

Pendarahan abnormal

Pendarahan abnormal mungkin melibatkan pendarahan di antara kitaran haid (iaitu di peringkat antara dua kitaran haid), pendarahan selepas hubungan kelamin, pendarahan tidak menentu harinya dalam kitaran haid, pendarahan yang banyak serta bilangan harinya panjang dari hari-hari sebelum ini, atau pendarahan yang berlaku selepas menopaus (putusnya haid secara fisiologi). Segeralah dapatkan rawatan sekiranya kitaran haid puan melebihi 35 hari ataupun pendek kurang dari 21 hari. Tidak hadirnya haid selama tiga hingga enam bulan juga abnormal dan memerlukan pemeriksaan kesihatan lanjut.

Jika keganjilan kitaran haid hanya berlaku sekali atau kadang kala, puan tidak perlu berasa cemas kerana mungkin itu adalah normal. Juga sesuatu yang normal jika jadual haid gadis yang baru akil baligh (antara sembilan hingga 16 tahun) tidak dapat diramalkan di awal kehadiran haid dalam hidup mereka. Apabila puan menghampiri umur 35 tahun, kitaran haid mungkin menjadi pendek dan makin pendek apabila menghampiri usia menopaus. Haid juga mungkin menjadi lebih sedikit (atau lebih banyak) dan kadangkala haid pada bulan tertentu tidak langsung tiada.

Punca

Pendarahan abnormal mempunyai banyak punca dan lazimnya doktor akan menumpukan pemeriksaan pada penyebab yang biasa mengikut umur. Sejarah kesihatan dan pengambilan ubat juga akan direkodkan. Untuk ramai wanita, ketidakseimbangan paras hormon mungkin menyebabkan keganjilan kitaran haid.

Di antara penyebab-penyebab yang akan disiasat termasuklah mengandung, keguguran, mengandung di luar rahim atau masalah berkaitan penggunaan alat dalam rahim dan pil perancang keluarga. Selain itu, jangkitan pada rahim atau pangkal rahim, fibroid, polip, masalah dengan sistem pembekuan darah, kanser wanita (rahim, ovari, pangkal rahim, faraj) atau masalah kesihatan kronik seperti penyakit tiroid dan kencing manis mungkin menjadi puncanya.

Semasa di klinik, doktor akan merekodkan sejarah kesihatan puan serta keluarga. Penggunaan ubat-ubatan, sama ada tradisional ataupun yang dipreskripsikan, penggunaan pil perancang keluarga, tabiat pemakanan, senaman, berat dan tinggi juga direkodkan. Ketegangan dan kestabilan emosi juga perlu diamati. Puan juga akan diberikan carta bagi menandakan hari-hari berlakunya keabnormalan kitaran haid.

Pemeriksaan lanjutan yang lazim disyorkan, berdasarkan pada simptom dan tanda- tanda yang dipersembahkan termasuklah;

  1. Pemeriksaan ultrasound untuk meneliti keadaan di dalam kawasan pinggul
  2. Biopsi dinding dalam rahim dengan menggunakan kaedah aspirasi vakum (ujian ini dilakukan di klinik)
  3. Sonohisterografi pula merupakan kaedah ultrasound di mana sebelum dijalankan, cecair steril dimasukkan ke dalam rahim melalui bukaan pangkal rahim untuk menjelaskan lagi pengimejan dalaman rahim apabila ultrasound digunakan.
  4. Histeroskopi pula seperti kaedah binokular untuk melihat secara langsung keadaan dalaman rahim
  5. Histerosalfingografi pula kaedah sinar-X, di mana bahan pewarna dimasukkan ke dalam rahim dan kedua-dua tiub falopian untuk tujuan visualisasi dengan kaedah sinar-X
  6. Dilatasi serta pengkuretan adalah kaedah pembedahan kecil di mana pensampelan tisu diambil dari bahagian dalam rahim untuk diperiksa di bawah mikroskop
  7. Laporoskopi adalah kaedah visualisasi langsung anatomi di bahagian pinggul, sejenis alat visual dimasukkan ke bahagian pusat dan rongga abdomen dikembangkan supaya visualisasi tidak terhalang (prosedur ini dijalankan di bawah bius keseluruhan)

Rawatan

Rawatan yang diberikan bergantung kepada apakah punca pendarahan yang dialami. Lazimnya terdapat tiga pilihan kaedah perawatan;

i) Rawatan menggunakan hormon. Ianya mengambil masa untuk menormalkan kembali kitaran haid. Hormon ini mungkin diberikan secara oral, suntikan, krim yang diletakkan di dalam faraj dan juga alat dalam rahim yang mengandungi hormon (IUS). Mungkin puan mengalami hiperplasia dinding rahim, keadaan ini boleh dirawat dengan hormon progesteron.

ii) Ubat-ubat lain seperti NSAID (NonSteroidal AntiInflammatory) dapat mengurangkan jumlah pendarahan. Ubat ini juga berkesan sekiranya puan mengalami senggugut. Antibiotik diberikan sekiranya puan mengalami jangkitan kuman. Pembedahan disyorkan apabila pendarahan berpunca daripada ketumbuhan seperti polip dan fibroid. Mungkin pembedahan ini dilakukan secara histeroskopi. Kaedah ablasi dinding dalam rahim juga digunakan untuk mengawal pendarahan. Lazimnya kaedah ini berbentuk kekal dan puan mungkin tidak dapat mengandung selepas menjalani prosedur ablasi ini. Pembedahan membuang rahim iaitu histerektomi disyorkan apabila kaedah lain mengalami kegagalan. Pembedahan ini merupakan satu pembedahan besar dan puan tidak lagi mengalami kitaran haid selepas itu.

Jangan takut serta segan untuk berbincang dengan doktor apabila puan mengalami masalah pendarahan. Berbincanglah dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang terbaik dan terkini untuk memulihkan keadaan.

Sumber : Utusan 08/03/2009

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails