PUTRAJAYA 30 Mac
Hanya 15 daripada 627 buah teksi di Lembah Klang bersih daripada sebarang kesalahan.
Statistik itu diperoleh melalui operasi penyamaran yang dilakukan oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari 16 Mac hingga semalam.
Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak menggunakan meter, enggan mengambil penumpang, mengenakan tambang lebih, melindungi/menutup/mengubah suai meter, tidak mempamerkan kad pemandu dan meninggalkan teksi.
Kesalahan lain ialah tidak menggunakan tali pinggang keledar, memandu secara bahaya, tidak mempunyai lesen memandu teksi (PSV) dan tamat tempoh cukai jalan.
Pengarah Penguatkuasa JPJ, Salim Parlan berkata, dalam tempoh operasi penyamaran itu pihaknya mengesan 1,428 kesalahan dilakukan oleh 612 pemandu teksi yang diperiksa.
‘‘Enam kesalahan yang sering kali dilakukan oleh pemandu teksi tidak menggunakan meter yang berjumlah 432 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran di sini hari ini.
Katanya, kesalahan enggan mengambil penumpang pula ialah 103 kes, mengenakan tambang lebih (144), melindungi/menutup/mengubah suai meter (34), tidak mempamerkan kad pemandu (192) dan meninggalkan teksi (21).
Menurutnya, JPJ pada masa sama menahan empat warganegara Pakistan yang menjadi pemandu teksi secara haram.
‘‘Semua pemandu yang melanggar peraturan akan dipanggil untuk ditemu siasat dan hasil siasatan akan diserahkan kepada LPKP untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ditanya sama ada hasil operasi itu menggambarkan keadaan sebenar di Lembah Klang, Salim berkata, keadaan di Pulau Pinang lebih serius.
‘‘Pemeriksaan kami di Pulau Pinang mendapati 100 peratus pemandu teksi di situ tidak menggunakan meter,” katanya.
Dalam pada itu, Markiman berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas pemandu yang bersalah termasuk membatalkan permit teksi mereka.
‘‘Sebanyak 238 kompaun telah dikeluarkan LPKP dalam tempoh Januari hingga Februari 2009, 57 permit pemandu digantung dan enam lagi permit dibatalkan.
‘‘Sebanyak 162 permit teksi telah digantung manakala 78 lagi dibatalkan sepanjang 2008,” katanya.
Beliau berkata, pemandu teksi yang melanggar peraturan didapati berleluasa di kawasan tumpuan orang ramai termasuk di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
‘‘Pihak LPKP ingin memperluaskan sistem kupon di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai untuk mengelakkan masalah teksi tidak menggunakan meter,” katanya.
Tambahnya, unit aduan LPKP telah diwujudkan dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk menyelesaikan aduan penumpang dengan lebih berkesan.
‘‘Kami pada masa yang sama meminta penumpang membuat aduan dengan menyediakan maklumat yang lengkap mengenai salah laku pemandu teksi,” katanya.
Sumber : Utusan
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...