“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Mac 30, 2009

Q&A: Enggan pinang bakal madu

Soalan

Saya telah mendirikan rumah tangga bersama suami selama 10 tahun dan ada dua orang anak. Setelah suami saya berpangkat besar, dia ingin berpoligami dan meminta saya meminang wanita pilihannya. Manalah saya mahu berbuat begitu. Sudahlah mahu dimadukan, mahu saya pinangkan pula. Jiwa saya tertekan lalu keluar dari rumah. Lantas, suami memfailkan permohonan nusyuz di Mahkamah Syariah dan tarikh sebutannya pada Februari ini. Perlukah saya hadir? Apakah tindakan saya yang enggan meminang perempuan itu dianggap nusyuz? Saya khuatir sekiranya saya dikenakan tindakan nusyuz oleh mahkamah. Bolehkah suami saya membuktikan permohonannya itu? Apa yang patut saya lakukan?

Wasidah Umi,
Seberang Prai, P.Pinang


Jawapan

Apabila isu nusyuz ditimbulkan, sudah tentu tergambar dalam fikiran kita seorang isteri yang derhaka atau tidak mentaati suami. Gambaran tersebut seolah-olah seperti nusyuz ini hanya berlaku oleh isteri, sedangkan dalam al-Quran dan al-sunah jelas menunjukkan nusyuz tidak hanya berlaku pada pihak isteri bahkan ia juga berkemungkinan dilakukan oleh suami. Nusyuz dalam konteks perhubungan suami isteri memberi erti kebencian salah seorang isteri atau suami terhadap satu sama lain.

Pendalilan ayat al-Quran yang menyentuh tentang nusyuz ada terkandung dalam Surah al-Nisa', ayat 128 yang ditujukan kepada lelaki. Sebahagian ayat ini bermaksud, "Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya nusyuz, atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian antara mereka berdua…"

Berdasarkan pendalilan di atas dapat dinyatakan bahawa nusyuz tidaklah membawa pengertian tentang keengkaran isteri terhadap suaminya semata-mata, sebagaimana yang sering disangkakan. Merujuk kepada penulisan Syed Qutb dalam bukunya In the Shade of the Qur'an nusyuz bererti terganggunya kerukunan rumah tangga. Oleh yang demikian, suami dan isteri berkewajipan melaksanakan peranan masing-masing demi menjaga kerukunan rumah tangga.

Manakala, nusyuz isteri kepada suaminya merujuk kepada kelakuan yang dilakukan atas ketentuan-ketentuan yang diwajibkan Allah SWT dan hak-hak suami yang telah diberikan Allah kepadanya. Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 menyatakan bahawa perbuatan nusyuz isteri terhadap suaminya adalah seperti cuba menjauhkan diri daripada suaminya, meninggalkan rumah tanpa izin dan membuat perkara yang bertentangan dengan kemahuan suami atau enggan berpindah mengikut suami tanpa alasan munasabah dan boleh diterima syarak.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, suami puan kini cuba mendapatkan pengisytiharan daripada Mahkamah Syariah bahawa puan kini telah nusyuz. Prosedur untuk mensabitkan dan mengesahkan seorang isteri itu nusyuz serta mengenakan tindakan selanjutnya adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh itu, suami puan perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa puan telah berlaku nusyuz serta mendapatkan pengesahan ini terlebih dulu. Ini bermakna suami puan tidak boleh menuduh isteri nusyuz sehinggalah satu pengisytiharan dibuat di mahkamah.

Puan hendaklah hadir pada tarikh sebutan seperti yang telah ditetapkan. Puan mempunyai hak untuk mengemukakan pembelaan terhadap dakwaan suami yang menyatakan bahawa puan telah nusyuz. Di dalam penyata pembelaan tersebut, puan perlu menyatakan sebab atau bukti kepada mahkamah bahawa tindakan puan yang enggan meminang wanita tersebut untuk suami yang ingin berpoligami tidak boleh dianggap sebagai nusyuz kerana nyata ini adalah bukan salah satu tanggungjawab seorang isteri.

Permintaan itu juga tidak wajar kepada puan kerana sudah tentunya puan akan terasa jauh hati apabila diminta untuk meminang isteri baru. Apatah lagi apabila puan masih boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Puan boleh juga menunjukkan sebab mengapa puan telah memilih keluar rumah, adakah ini juga satu cara bagi puan untuk menjaga keharmonian rumah tangga?

Berkemungkinan puan telah memberitahu suami secara khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel atau telah pergi ke rumah ibu bapa puan untuk cuba meredakan keadaan.

Manakala, soalan seterusnya adalah berkenaan dengan kesan dakwaan nusyuz jika berlakunya penceraian. Pensabitan nusyuz isteri setelah disahkan oleh mahkamah memberi kesan terhadap tuntutan nafkah selepas penceraian. Seperti yang termaktub di bawah seksyen 60 (2) Enakmen tersebut iaitu isteri yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah suaminya.

Seperti yang dinyatakan di atas hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa dalam menentukan sama ada isteri tersebut disabitkan dengan nusyuz serta nafkah yang berkaitan.

Sebarang maklumat lanjut, puan boleh menghubungi pihak kami. Sekiranya puan masih tidak jelas berkenaan prosedur perceraian ini, dinasihatkan agar mendapatkan khidmat guaman sama ada Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie bagi mendapatkan nasihat berhubung dengan prosedur tersebut.

Sumber : Utusan 06/02/2009

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails