Oleh Abdurrahman Haqqi
Tokoh berfikiran tinggi, disertai akhlak terpuji bentuk kekuatan bangsa dan negara
SALAH satu ciri kepemimpinan ialah seseorang tidak akan terlepas daripada pengalaman hidup ketika zaman kanak-kanak, sedangkan kanak-kanak belajar daripada kehidupannya.
Seseorang yang tidak dikenali mencatatkan kata-kata hikmat yang berbunyi seperti ini:
Jika seorang anak hidup dengan bidasan, dia belajar untuk mengutuk;
Jika seorang anak hidup dengan permusuhan, dia belajar untuk bergaduh;
Jika seorang anak hidup dengan cemuhan, dia belajar untuk ragu;
Jika seorang anak hidup dengan aib, dia belajar untuk berasa bersalah;
Jika seorang anak hidup dengan toleransi, dia belajar untuk bersabar;
Jika seorang anak hidup dengan galakan, dia belajar untuk yakin;
Jika seorang anak hidup dengan pujian, dia belajar untuk menghargai;
Jika seorang anak hidup dengan kesaksamaan, dia belajar untuk adil;
Jika seorang anak hidup dengan keselamatan, dia belajar untuk percaya;
Jika seorang anak hidup dengan persetujuan, dia belajar untuk menyukai diri;
Pemimpin yang beragama dengan agama pemimpin adalah dua perkara yang berlainan. Ketika membincangkan masalah kufu' atau kafa'ah dalam perkahwinan, mazhab Hanafi mempunyai enam ciri kufu' antaranya 'beragama' di samping 'Islam'. Seorang calon suami mestilah 'beragama' jika calon isterinya juga 'beragama'. Beragama di sini dengan pengertian kuat memegang ajaran agamanya. Tapi Islam adalah syarat kufu' bagi calon suami seorang wanita Islam walaupun tidak kuat pegangan agamanya. (Lihat al-Ghandur, al-Ahwal al-Syakhsiyyah).
Agama seorang pemimpin tidak akan mempengaruhi secara signifikan corak kepemimpinannya, tetapi pemimpin yang beragama sebaliknya. Sepanjang sejarah Islam kita dapati ratusan pemimpin Islam yang sememang agamanya Islam tapi hanya beberapa orang yang terserlah kepemimpinannya kerana disebabkan kekuatan dalam berpegang teguh terhadap agama Islam. Pemimpin terbabit ialah baginda Rasulullah SAW, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Umar bin Abdul Aziz, Harun al-Rashid, Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih.
Dalam sejarah bangsa lain pun kita dapati kepemimpinan yang menonjol daripada pemimpin mereka yang beragama bukan kerana agama mereka. Sebut saja Raja Sejong Taewang dari Korea sebagai contoh, yang berkuasa dari 1418 hingga 1450. Beliau adalah raja keempat Korea dari dinasti Joseon dan salah satu daripada dua raja Korea yang diberi gelaran 'Agung', manakala raja yang lain adalah Raja Gwanggaeto.
Beliau seorang pakar bahasa yang mencipta aksara hangul untuk bahasa Korea, walaupun mendapat tentangan daripada cendekiawan yang dididik dalam cara hanja (China). Beliau juga seorang perencana ketenteraan yang berkesan dan juga penulis unggul. Karangan beliau mempunyai nilai yang tinggi antaranya buku rujukan Dongguk Jeong-un (Kamus Sebutan Tepat Cina-Korea).
Sejong menubuhkan sebuah dewan, Jiphyeonjeon pada 1420. Beliau mengumpul cendekiawan dari seluruh Korea untuk merakamkan sejarah Korea, membuat draf untuk dokumen penting dan menghasilkan buku pelbagai topik.
Sejong juga dipercayai mencipta penyukat hujan, jam air dan sundial, iaitu alat yang menunjukkan waktu dengan bayangan matahari. Beliau pernah mengisytiharkan bahawa seseorang yang bersalah mesti menjalani sekurang-kurangnya tiga kali pusingan perbicaraan di mahkamah sebelum hakim boleh membuat keputusan.
Keberhasilan Sejong dalam mencipta sendiri sejarah kepemimpinan yang berkesan dalam sejarah Korea tidak luput daripada pegangannya yang kuat terhadap prinsip konfusianisme bahkan dikatakan beliau seorang pakarnya.
Keberagamaan seorang pemimpin akan menyinarkan kewibawaan bukan agamanya. Secara umum terdapat tiga aspek utama, ciri-ciri pemimpin berwibawa, iaitu kelebihan dalam penggunaan pemikiran yang rasional; kelebihan dalam rohaniah (spiritual) dan kelebihan dalam badaniyyah (fizikal).
Menurut al-Farabi, bapa psikologi moden, pemimpin yang unggul adalah seorang yang berfikiran tinggi, memiliki sifat mulia serta akhlak terpuji dan fizikal yang sempurna. Beliau menyebutnya sebagai al-rais al-awwal (pemimpin ulung).
Terdapat 12 ciri pemimpin yang berwibawa diketengahkan oleh al-Farabi, iaitu:
- Kemampuan fizikal - Mempunyai tubuh badan yang sempurna, sihat dan bertenaga atau berkemampuan supaya dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.
- Daya ingatan yang kuat - baik hafalan (ingatan) mengenai sesuatu yang dia faham, lihat dan juga bukan seorang yang pelupa.
- Kecerdasan akal - Baik kefahamannya dan dapat menggambarkan setiap sesuatu yang dilafazkan atau diucapkan, serta mengetahui apa yang harus dibuat.
- Bijaksana - Bijaksana dan cerdik apabila mendengar sesuatu. Walaupun dengan reaksi saja, dia boleh memahami sesuatu perkara.
- Cintakan ilmu pengetahuan - Sangat suka atau berminat pada ilmu pengetahuan, senang menerima ilmu dan tidak berasa penat dalam menimba ilmu pengetahuan.
- Luas pengetahuan dan peka dengan sesuatu situasi semasa - Dapat membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu perkara yang berlaku secara cepat, jelas dan tepat.
- Bersederhana - Tidak bersikap buruk, lebih-lebih lagi dalam hal mengenai makan minum dan hubungan kelamin serta menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang hanya untuk bersuka-suka.
- Cintakan kebenaran - Memiliki sifat kebenaran dan mencintai kebenaran dan membenci sifat sebaliknya.
- Berhemah tinggi - Memiliki jiwa besar atau berhemah tinggi hingga dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara remeh-temeh.
- Tidak mencintai kekayaan dan tiada kepentingan diri - Tidak berminat untuk mengumpulkan wang ringgit dan segala bentuk kekayaan dunia yang lain.
- Adil kepada semua pihak - Bersikap prokeadilan dan antikezaliman dan penindasan, tidak mudah dipengaruhi oleh perkara yang buruk, sebaliknya mudah diseru kepada kebaikan, keadilan dan seumpamanya.
- Berani dan berazam tinggi - Mempunyai keazaman yang kuat dan berani menghadapi sesuatu perkara yang dirasakan perlu dilakukan dan tidak mudah lemah semangat atau jiwa.
Al-Mawardi pula menjelaskan beberapa kriteria seorang pemimpin yang berwibawa, iaitu :
- seseorang yang adil dengan erti kata yang sebenarnya dalam semua tindakan sama ada pada dirinya atau kepada orang lain;
- mempunyai ilmu agama (faqih) yang sempurna hingga melayakkan berijtihad dalam sesuatu perkara apabila dia perlu berbuat demikian;
- mempunyai anggota badan yang sempurna supaya dia dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lancar;
- memiliki pancaindera yang sempurna dari segi penglihatan atau pandangan dan pendengarannya kerana kecacatan dalam salah satu daripadanya boleh mengurangkan keupayaannya mengendalikan sesuatu urusan negara;
- mempunyai fikiran yang baik supaya dapat mengatasi segala masalah rakyat dan mengendalikan kebajikan mereka;
- bersikap berani berjihad memerangi musuh kerana mahu menjamin keselamatan rakyat.
Mungkin kita boleh menambah satu kata lagi dalam kata-kata hikmah pada permulaan tulisan ini dengan berkata: "Jika seorang anak hidup dengan agama, dia belajar untuk mencari kedamaian" atau dalam perkataan lain, pemimpin yang beragama akan membawa umat kepada kedamaian. Wallahu a'lam.
INFO: Pemimpin ideal pada pandangan Al-Mawardi
Sumber : BHarian 2009/03/28
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...