Oleh Lokman Ismail
DALAM negara atau organisasi yang mengamalkan dasar demokrasi, pemimpin dipilih sendiri oleh rakyat atau ahli. Bakal pemimpin menawarkan diri untuk dipilih dan berkhidmat. Mana-mana calon yang mendapat undi majoriti, maka dialah yang dilantik menjadi pemimpin. Untuk memilih pemimpin, perlulah dilakukan dengan cara betul supaya pemimpin yang dipilih itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik. Pemimpin yang baik sentiasa dikasihi rakyat kerana dia sentiasa mengambil berat soal kebajikan rakyat iaitu pemimpin yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Kepemimpinan adalah amanah yang cukup berat dan sarat dengan tanggungjawab. Tanggungjawab dan kewajipan yang terpikul di bahu setiap pemimpin berbeza-beza bergantung kepada kedudukan atau kuasa yang diamanahkan kepadanya. Sebenarnya, sebahagian besar kita adalah pemimpin. Suami menjadi pemimpin dalam keluarga. Malah dijelaskan bahawa jika dua orang melakukan urusan bersama, maka salah seorang perlu dilantik menjadi pemimpin. Apa pun tahap kepemimpinan, kita tidak boleh memandang mudah dengan amanah yang diberikan itu. Sebaliknya jadilah seorang pemimpin yang sentiasa ingin melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.
Sebagai pemimpin, mereka mempunyai tanggungjawab yang amat berat, lalu sebahagian mereka tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik. Sesungguhnya hanya mereka yang bertakwa dan ikhlas saja yang dapat menjalankan tugas sebagai pemimpin yang baik. Hal ini kerana mereka yakin akan berdepan dengan persoalan Allah mengenai urusan yang diamanahkan kepadanya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu merupakan pemimpin yang kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu. Seorang pemerintah ialah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami ialah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya. Seorang isteri ialah pemimpin dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap orang di bawah tanggungannya. Soal khadam ialah penjaga harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap apa di bawah jagaannya. Jadi, setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap perkara yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebenarnya, pemimpin yang bertanggungjawab tidak meminta sebarang keistimewaan untuk dirinya. Malah dia tidak menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain. Apa yang lebih bagi seorang pemimpin adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Mereka perlu adil dalam melaksanakan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya melaksanakan amanah terhadap ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum mereka dengan adil.” (Surah an-Nisa, ayat 58)
Pemimpin yang benar-benar memegang amanah akan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan mengikut keutamaan. Apabila dia menyelesaikan masalah, diteliti fakta dan bukti yang benar. Pada masa sama, individu yang bergelar pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan janji dusta. Perbuatan itu wajib dijauhi kerana amalan ini boleh melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur kebenaran.
Pemimpin yang melakukan pembohongan hanya akan mendapat kemuliaan selagi perkara sebenar tidak terdedah. Namun, perkara yang buruk lambat-laun akan terdedah juga. Pembohongan akan merendahkan martabat pemimpin di mata rakyat. Jadi, jika ini lama berkuasa dan dapat menjalankan amanah dengan sempurna, pemimpin perlu menjauhkan sikap berbohong. Ada pepatah mengatakan, ‘bercakap benarlah kamu, walaupun benar itu pahit, kerana kepahitan itu adalah penawar mujarab.’
Perlu diingat, sesiapa yang dipilih menjadi pemimpin bukan bermakna dirinya semua tahu. Seseorang dipilih menjadi pemimpin pada zaman ini mungkin hanya kerana kelebihan tertentu saja. Jadi, mereka perlu tawaduk dan merendah diri dalam semua tindakan.
Maka, untuk melengkapkan kepemimpinannya, pemimpin itu perlu melantik pakar dalam pelbagai bidang untuk menasihatinya. Pembantu atau penasihat yang dilantik sudah tentu boleh memberi khidmat terbaik dalam bidangnya. Penasihat yang dilantik itu hendaklah berdasarkan kelayakan, bukan kenalan atau pertalian saudara. Islam melarang seseorang pemimpin melantik penasihatnya atau pegawainya berdasarkan kenalan rapat atau saudara mara sedangkan mereka tidak berkelayakan. Seseorang yang diberi jawatan kerana saudara atau kenalan jarang mengambil kira kemahiran yang diperlukan. Mereka dilantik kerana untuk menjaga kepentingan peribadi atau individu tertentu.
Sumber: BHarian 2009/03/17
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...