Oleh Nazri Hussein
MELALUI program perarakan yang diatur penuh hikmat dan tertib merentas lorong serta jalan menunjukkan umat Islam tetap bersatu. - Gambar hiasan |
Anjur aktiviti berfaedah untuk remaja sempena ulang tahun kelahiran Rasulullah
SAMBUTAN Maulidur Rasul sudah disambut umat Islam sejak tahun 300 Hijrah lagi di beberapa daerah di Iraq dan Syria. Di negara kita, sambutan Maulidur Rasul secara tidak rasmi diadakan sejak ratusan tahun lampau khususnya di kampung yang mendukung kuat ajaran Islam.
Selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sambutan Maulidur Rasul mula menjadi upacara rasmi yang dihadiri pemimpin dan orang kenamaan melalui perarakan sambil membawa sepanduk di jalan raya sebagai acara kemuncak dan paling ditunggu-tunggu.
Hari ini, sambutan Maulidur Rasul terus mendapat tempat di hati masyarakat Islam dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti perarakan, ceramah, dialog agama, pertandingan selawat dan berzanji oleh agensi kerajaan mahupun swasta.
Walaupun, tiada satu nas yang memetik mengenai keperluan mengadakan peringatan hari lahir Rasulullah SAW, ramai ulama muktabar menganggap sambutan Maulidur Rasul tidak bertentangan syariat mahupun akidah malah diharuskan kerana mempunyai pelbagai hikmah dan iktibar kepada umat Islam sejagat.
Banyak kitab menjadi rujukan umat Islam sejak dulu menganggap perayaan Maulidur Rasul tidak akan membawa masyarakat kepada kesesatan atau bidaah seperti mana tuduhan sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan sambutan itu.
Antara kitab tersohor ialah Kitab Maidat al-Fikri karangan Imam Mutawalli yang jelas memperakukan bahawa kegembiraan umat Islam mengingati ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW menunjukkan manifestasi tanda cinta dan kasih kepada manusia agung itu melalui selawat, zikir, marhaban dan ucapan pujian buat kekasih Allah yang tiada tolak bandingnya.
Ini sesuai dengan hadis riwayat Alkatib daripada Umar yang menyebut: "Janganlah kamu mengagung-agungkan diriku sebagaimana orang Nasara mengagungkan Isa. Aku ini hamba Allah. Oleh itu, selalulah menyebut namaku sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya."
Senario yang berlaku dewasa ini, ketika Islam dan umatnya diserang secara mental dan fizikal daripada segenap penjuru, penghayatan terhadap kecintaan kepada Rasulullah SAW serta ajaran dibawanya diharap dapat memulihkan kembali wajah sebenar Islam yang syumul dan saling melengkapi.
Justeru, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun bukan sekadar satu upacara santai atau berseronok-seronok tetapi mempunyai agenda besar demi meletakkan Islam sebagai panduan hidup.
Tiada gunanya kita mengambil bahagian dalam setiap program diadakan jika sekadar untuk mengambil hati majikan atau menonjolkan populariti diri semata-mata.
Melihat konsep sebenar sambutan Maulidur Rasul yang jelas menggambarkan perasaan harmoni, tenang dan rasa syukur kepada Pencipta melalui kalimah zikrullah, selawat dan Thayibbah yang diucapkan, akan lahirkan perasaan rendah diri serta tawaduk sebagai insan kerdil di atas muka bumi ini yang tidak kekal abadi.
Melalui program perarakan yang diatur penuh hikmat dan tertib merentas lorong serta jalan menunjukkan bahawa umat Islam tetap bersatu dalam perpaduan ummah menuju matlamat satu iaitu garis takwa yang menjadi ukuran sebenar menilai kecemerlangan peribadi.
Sekurang-kurangnya ia menjadi cermin yang jelas kepada bukan Islam bahawa umat Islam walau berbeza warna kulit, bangsa dan keturunan serta fahaman politik tetap berganding bahu bersatu merealisasikan cinta serta kasih buat junjungan Rasulullah SAW.
Bagaimanapun, saban tahun perayaan Maulidur Rasul yang disambut dengan penuh meriah melalui pelbagai program, gagal menarik minat golongan muda untuk turut serta menzahirkan rasa cinta kepada pemimpin besar Rasulullah SAW.
Golongan yang bakal menentukan masa depan negara pada hari esok, seolah-olah dibiarkan terpinggir tanpa dibabitkan sama dengan aktiviti bermanfaat untuk mereka. Sudah tiba masanya, guru dan institusi pendidikan meletakkan sambutan Maulidur Rasul sebagai takwim utama dalam kalendar perayaan yang wajar disambut.
Di rumah, ibu bapa sebagai mentor kepada anak wajar mendidik mereka supaya mengenal sahsiah dan peribadi Baginda SAW yang boleh dijadikan contoh ikutan dalam kehidupan seharian.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik...."
Senario yang berlaku pada hari ini, di mana anak-anak remaja Islam dilanda krisis identiti yang teruk dengan pelbagai kebejatan sosial yang mula mewarnai hidup mereka, sudah sewajarnya sambutan Maulidur Rasul segenap tahun perlu direformasikan selaras dengan minat dan kecenderungan mereka.
Sehubungan itu kita tidak boleh terlalu streotaip dengan mengadakan aktiviti atau program yang sama setiap tahun bagi mengelakkan rasa jemu dan bosan. Apa salahnya, sempena sambutan Maulidur Rasul di sesetengah tempat, diadakan program yang lebih menghiburkan seperti sukaneka, pertandingan busana muslimah, peraduan mencari harta karun, deklamasi sajak atau pentomen serta aktiviti bercorak kebudayaan di mana nilai pembangunan jiwa diterapkan sama.
Ketika masyarakat berdepan dengan gejala lumba haram oleh anak-anak remaja yang ditonjolkan sebagai mat rempit di jalan raya, mengapa tidak sempena ulang tahun memperingati kelahiran Rasulullah ini, diadakan konvoi bermotosikal membabitkan anak muda dengan iringan selawat dan marhaban serta program kebajikan lain sebagai usaha menyemai benih kasih remaja kepada baginda Rasulullah SAW.
Ringkasnya, sempena kedatangan bulan Rabiul Awal yang mulia ini, kita dituntut untuk membanyakkan amalan ibadat sebagai bekalan untuk hari akhirat. Pada masa sama, segala urusan keduniaan perlu diberi perhatian demi kelangsungan umat sejagat agar mengembalikan semula maruah umat yang sedikit tercalar angkara beberapa insiden yang berlaku disebabkan oleh salah faham golongan tertentu memahami ajaran Islam dalam konteks sempit dan jumud.
Segala kekeliruan dan perbezaan pendapat hendaklah dipadamkan dalam usaha mengembalikan kekuatan serta perpaduan ummah sebagai umat terbaik yang mampu membina kesejahteraan alam sejagat ini dan seluruh penghuni di dalamnya.
Kesimpulan terbaik sempena Maulidur Rasul tahun ini ialah bukan sekadar jasad daripada lidah yang bergema kuat bermarhaban dan berselawat memuji Rasulullah SAW tetapi jiwa dan rohani ikut sama membuat perubahan peribadi menjadi Muslim yang serba serbi cemerlang.
Sumber : BHarian 2009/03/06
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...