PAGE

Jumaat, September 03, 2010

Puasa dan matlamat takwa


Assalamualaikum warahmatullah,

Setiap kali berkunjung ke premis perniagaan, mata akan tercari-cari di mana letaknya poster ‘Ayat Seribu Dinar’. Bila diamati, pasti kita akn temui poster ini dengan pelbagai corak dan bentuk di sudut ruang tertentu. Pesan guru-guru kita, ayat ini harus dibaca, difahami dan dihayati, barulah janji Allah di dalam ayat tersebut akan terlaksana.

Ayat 2 dan 3 dari surah at-Talaq ini bermaksud, “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

Dalam ayat ini, tekandung janji Allah kepada para hamba-Nya. Janji itu bukan calang-calang janji. Janji yang amat dinanti-nanti oleh setiap insan iaitu Allah akan memberi jalan keluar bagi setiap kesukaran yang dihadapi serta Dia akan memberi rezeki dari sumber yang tidak ia jangka-jangkakan.

Namun begitu, ada syarat khas yang ditetapkan dan perlu dipenuhi oleh para hamba-Nya sebelum mereka dikurniakan pemberian Allah yang besar itu. Setiap hamba harus memiliki sifat takwa kepada Allah serta sentiasa menghayati sifat bertawakal kepada-Nya. Tanpa ketakwaan serta bertawakal kepada-Nya, maka akan jauh nikmat tersebut daripada kehidupan seseorang insan.

Bila melihat ayat ini diletakkan di mana-mana sudut, maka tidak sukar untuk kita membuat andaian tentang tujuan pemilik premis berbuat demikian. Sejauh mana matlamat tersebut terlaksana, maka terserah kepada Allah yang lebih mengetahui tahap ketakwaan dan sifat tawakal yang ada pada diri mereka. Takwa dan tawakal bersifat dalaman yang hanya diketahui oleh Allah SWT.

Sempena kedatangan Ramadan dan perintah berpuasa di dalamnya, kalimah ‘takwa’ kembali bergema di telinga setaiap umat Islam. Suruhan berpuasa Ramadan disandarkan dengan matlamat melahirkan insan-insan bertakwa benar-benar mengusik kecerdasan emosi dan spiritual kita untuk kembali menghayati tuntutan takwa yang hakiki.

Suruhan berpuasa disandarkan kepada suatu matlamat yang mulia dan hakiki. Allah memerintahkan, “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183)

Hiasan hati

Matlamat puasa menuntut pengamalnya menghiasi hati mereka dengan kualiti takwa yang sebenar. Rasulullah SAW ketika ditanya, “Di manakah letaknya takwa?”, lantas Baginda bersabda, “Takwa itu di sini (Baginda terus menunjukkan kepada dadanya).”

Takwa merupakan kekuatan dalaman yang cukup hebat dan luar biasa. Seorang sahabat bernama Abdullah ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa, “Takwa bermaksud melaksana ketaatan kepada Allah, jangan lakukan maksiat kepada-Nya, sentiasa mengingati-Nya, jangan lupa kepada-Nya, dan sentiasa bersyukur dan jangan kufur.”

“Kemuncak takwa ialah berhati-hati pada perkara yang harus, kerana ada kalanya apabila individu tenggelam dalam keseronokan yang diharuskan, dia boleh lupa daratan. Pada saat itu, individu terbabit berkemungkinan boleh terjebak dalam maksiat.”

Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya kepada sahabat Ubai bin Kaab tentang maksud takwa. Ubai bin Kaab bertanya, “Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi duri?” Umar menjawab, “Ya, pernah.” Ubai bertanya lagi, “Apa yang kamu lakukan ketika itu?” Jawab Umar, “Aku berjalan berhati-hati dan bersungguh-sungguh.” Ubai menjelaskan, “Itulah takwa.”

Maksudnya, takwa bererti kita berhati-hati dalam kehidupan agar tidak melakukan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh dalam setiap kebajikan yang dilakukan.

Allah menerangkan ciri-ciri orang yang bertakwa, antaranya, “Mereka beriman dengan perkara-perkara ghaib, mendirikan sembahyang serta menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepada kamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum kamu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan di) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah al-Baqarah ayat 3~5)

Bekalan takwa menjadi modal bagi seseorang muslim dalam menempuh cabaran hidup. Kekuatan takwa menjadikan individu itu memiliki daya pengawasan diri yang tinggi, mengawal diri daripada kemungkaran dan pengaruh negatif lagi merosakkan serta membawanya mencapai kehidupan yang diredai.

Justeru maka layaklah mereka memperoleh kedudukan terbaik di sisi Allah, “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.” (Surah al-Hujuraat, ayat 13)

Salah satu keunikan nilai takwa di bulan Ramadan ini ialan hubungan personal antara seorang hamba dengan Allah. Hubungan ini tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali dirinya dan Allah sahaja. Dalam hubungan personal ini, ketulusan hati dan sifat amanah hamba ini menjadi pertaruhan dalam menentukan kualiti ibadah itu diterima atau ditolak. Maka di saat inilah akan menimbulkan satu kesedaran ketakwaan yang tulus dalam diri seseorang hamba terhadap Penciptanya.

Ada yang sanggup menipu

Agar lebih memahami perkara ini, berikut diberikan contoh. Ketika keseorangan di siang hari di bulan Ramadan, seseorang boleh terus berpuasa atau membatalkan puasanya. Tidak siapa akan tahu kalau dia membatalkan puasanya kerana tidak ada sesiapa yang melihatnya.

Ada segelintir manusia yang sanggup menipu di bulan ramadan. Bila berseorangan ada yang sanggup tidak berpuasa. Makan secara sorok-sorok. Siapa yang tahu dia tidak berpuasa. Mana ada orang melihatnya makan dan minum di tempat sunyi.

Namun bagi insan-insan bertakwa, mereka sedar dan yakin bahawa Allah melihat dan memerhatikan gerak-gerinya. Maka demi kepatuhan kepada perintah Allah serta demi keikhlasan menyemburnakan ibadah puasa, segala kesusahan rela ditanggung demi mencari keredhaan-Nya. Walau tiada siapa yang menilai tetapi dia yakin Allah menilai dirinya.

Hakikat ketakwaan seperti ini mendapat perhatian khusus daripada Allah. Rasulullah bersabda, “Demi yang diri aku di dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada minyak atar. Allah berfirman, “Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, makanannya dan minumannya dengan tujuan untuk Aku. Maka sebab itu, puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya.””

Sesungguhnya di sinilah peranan iman dan takwa dalam mengawal diri daripada hasutan nafsu. Setiap gerak-geri, zahir dan batin, semua mendapat perhatian Allah. Rasulullah SAW ketika ditanya tentang al-ihsan, Baginda menjelaskan, “Ihsan ialah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya. Jika itu tidak dapat kamu rasai, yakinlah bahawa Allah sentiasa melihat kamu.”

Dalam situasi berpuasa, dugaan besar bagi individu ialah bagaiman menjaga kesucian hati. Hati yang kotor mudah diperdaya oleh tuntutan nafsu. Hanya kebersihan hati akan dapat merasai kehadiran Allah dalam seluruh gerak-geri, walau di mana berada, secara keseorangan mahu pun bersama orang lain.

Maka inilah cabaran kita di dalam bulan Ramadan ini. Bagaimana untuk mempertingkatkan ketakwaan harus diusahakan secara bersungguh-sungguh dan istiqamah. Kita perlu sabar dan tabah mengharunginya.

Sebenarnya takwa mempunyai baha dan apabila ramuan yang sesuai digunakan maka takwa akan hidup dengan subur dalam diri. Antara baja yang diperlukan bagi menyuburkan takwa ialah muhasabah dan taubat.

Dalam surah ali-Imran ayat 135, Allah memuji golongan yang sanggup kembali ke pangkal jalan selepas melakukan kesalahan. Allah iktiraf mereka sebagai golongan bertakwa. Firman Allah, “Mereka (yang bertakwa) adalah golongan yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah, lalu memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”

Muhasabah yang dilakukan dengan ikhlas melahirkan rasa insaf di hati. Keinsafan melahirkan taubat. Taubat yang hakiki dikenali sebagai taubat nasuha.

Umumnya kita sudah ketahui bahawa sebaik-baik bekalan hidup adalah bekalan takwa. Bulan Ramadan bulan keberkatan. Allah menjanjikan martabat takwa bagi insan yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mencari keredaan-Nya.

Ayuh, mari kita sama-sama rebut peluang ini!




Rujuk : MW#1395

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...