Setiap kali Ramadan akan melabuhkan tirainya, kita sering berdoa meminta Allah lanjutkan usia serta memberikan kesihatan yang baik, mudah-mudahan dapat bertemu Ramadan akan datang. Kita jarang memohon sedemikian rupa pada waktu-waktu yang lain, namun bulan Ramadan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk kita berbuat demikian. Tanyalah siapa saja, setiap individu merindui kedatangan Ramadan yang penuh keberkatan.
Itulah kemuliaan Ramadan, kehadirannya amat dinantikan setiap muslim mukmin yang faham erti kemuliaan Ramadan bagi memperoleh kebahagiaan hidup, duniawi dan ukhrawi. Bersama semangat kecerdasan emosi dan spritial serta pancaran hidayah Ilahi, Ramadan disambut dengan hati yang penuh kesyukuran dan perasaan gembira.
Ramadan memperlihatkan tanda kasih sayang Allah yang Maha Tinggi kepada umat manusia. Allah menciptakan Ramadan dengan segala kebaikannya khusus untuk manusia, para hamba yang amat dikasihi. Limpahan kasih sayang itu turut dirasai oleh seluruh makhluk-Nya di alam ini.
Kasih sayang Ilahi ini sering dilupai oleh kebanyakan manusia. Kesibukan duniawi menyebabkan mereka lupa kepada Allah dan segala perintah-Nya. Ingatan dan ketaatan kepada Allah hanya berlaku keitka diri dilanda derita dan sengsara. Maka pada saat kesusahan itu, nama-nama Allah yang mulia dan zikrullah menjadi basahan mulut demi meraih simpati di saat yang mmerlukan itu.
Namun begitu, kasih sayang Allah sentiasa datang mencurah-curah pada setiap waktu dan ketika. Semua makhluk dapat merasainya walaupun ada di kalangan mereka yang melanggar suruhan bahkah ada yang sanggup menentang-Nya.
Sempena kedatangan Ramadan yang hadir saban tahun, ada dua limpahan kasih sayang Allah kepada manusia yang perlu direbut sebaiknya. Alangkah rugi jika manusia terus leka dengan urusan duniawi demi meraih keuntungan yang sementara bahkan sering melalaikan manusia.
Sepanjang kehidupan manusia, setiap insan ada melakukan kesalahan dan kesilapan. Sempena kedatangan Ramadan, Allah menawarkan peluang pengampunan dosa kepada para hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mahukan segala kesalahan yang terdahulu diampunkan. Ini limpahan kasih sayang Allah yang pertama.
Peluang terbaik memohon ampun
Semua kita ada melakukan kesalahan, terkecuali para Nabi dan Rasul utusan Allah yang maksum. Kita pernah meninggalkan suruhan Allah, itu satu kesalahan. Tegahan Allah kita langgar, itu juga kesalahan. Kita menganiaya anak-anak dan pasangan hidup, itu juga satu kesalahan. Kita menzalimi sesama manusia demi kepentingan diri sendiri, maka itu pun kesalahan yang besar. Kita kejar habuan dunia dengan jalan yang salah, itu juga kesalahan besar.
Pendek kata, selagi kita bernama manusia, kita sering melakukan kesilapan. Sama ada sengaja ataupun tidak, semua kesalahan perlu diampunkan agar kita dapat kembali kepada Allah dengan jiwa yang tenang lagi diredhai-Nya.
Maka, tempoh sebulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk kita kembali membersihkan diri daripada segala dosa yang lalu dengan kembali bertaubat kepada Allah. Peluang ini wajib digunakan sepenuhnya kerana Allah memberi ruang pengampunan yang seluasnya untuk setiap insan yang ingin kembali kepada-Nya.
Rasulullah SAW pernah menyebut kesempatan terbaik ini, “Bulan Ramadan, awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah keselamatan daripada azab api neraka.”
Sabda Rasulullah SAW lagi, “Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
Justeru itu rebutlah peluang pertama ini dengan memperbanyakkan istighfar, memohon keampunan daripada Allah atas segala kesalahan dahulu. Segala kesalahan mohon Allah ampunkan, yang kecil, yang besar, yang dilakukan secara sengaja atau secara tidak sengaja, maka mohonlah keampunan dengan sepenuh keinsafan serta menanam keazaman untuk tidak mengulanginya lagi.
Seterusnya, peluang kedua yang Allah anugerahkan sebagai tanda kasih sayang-Nya ialah ganjaran pahala yang berlipat-ganda banyaknya bagi setiap amal soleh yang dikerjakan. Buat amal yang kecil tetapi balasan baiknya sangat besar. Ganjaran ini hanya ada pada bulan Ramadan.
Bila mengenangkan kehidupan di akhirat, setiap kita belum mengetahui apakah kesudahan kehidupan kita di sana nanti. Di sini kita bahagia dan berjaya, di sana belum tentu kita dapat nikmat yang sama. Sering terbayang, berapa banyak amalan kebaikan yang telah dilakukan sebagai bekalan di sana nanti. Sudah cukupkah bekalan disediakan untu melayakkan kita menghuni syurga Allah yang penuh kenikmatan. Bagaimana keadaan timbangan amal kita nanti, beratkah amal kebaikan atau sebaliknya...?
Muhasabah diri harus dilakukan kerana kita akan melalui suatu kehidupan yang pasti di sana nanti. Setiap insan tanpa terkecuali pasti akan merasai kehdiupan akhirat dengan segala prosedur yang telah dijanjikan.
Atas maksud itu, selaku insan biasa, kita harus berusaha memperbanyakkan amalan soleh sebagai bekalan di sana nanti. Ambil peluang yang Allah tawarkan pada bulan Ramadan ini dengan ganjaran kebaikan yang digandakan kelebihannya.
Pintu syurga terbuka luas
Sempena Ramadan, Allah kurniakan malam Lailatulqadar di mana kelebihannya lebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah memotivasikan para sahabat dengan menyebut bahawa pahala ibadah digandakan sehingga seribu kali ganda, pahala amalan sunat digandakan menjadi pahala wajib. Pintu syurga dibuka luas dan pintu neraka ditutup rapat. Semua iblis dan syaitan yang menjadi musuh manusia dibelenggu supaya tidak dapat mengganggu manusia.
Sehubungan itu, nilai kehidupan yang kita pegang harus betul. Matlamat sebenar yang kita ingin capai adalah kehidupan akhirat yang hakiki dan kekal abadi. Awasi diri agar tidak tertipu oleh kehidupan duniawi yang sementara dan penuh tipu-aya yang mengasyikkan.
Bila Ramadan tiba, Allah memberi peluang kepada setiap muslim untuk mengecap segala kemuliaan dan keberkatan yang disediakan khusus pada bulan Ramadan. Berbekalkan keimanan dalam diri, kita berusaha secara bersungguh-sungguh serta niat yang ikhlas untuk memperbanyakkan amalan di sepanjang Ramadan ini. Begitulah kasih sayang Allah dengan nikmat keberkatan Ramadan untuk dijadikan rebutan demi mencari kehidupan yang diberkati, duniawi dan ukhrawi.
Hayati Ramadan secara berkualiti
Kedatangan Ramadan perlu disambut dengan perasaan riang gembira. Kegembiraan hati ini merupakan lambang keyakinan dan keikhlasan kita kepada bulan yang dimuliakan Allah dan Rasul-Nya.
Apabila kembali kepada sirah, Ramadan merupakan waktu yang amat ditunggu-tunggu oleh Rasulullah dan para sahabat. Kedatangan Ramadan menjadikan mereka ceria dan semakin sibuk dengan amal ibadah. Bagi memuliakan dan menghormati Ramadan, amalan Rasulullah SAW dan para sahabat harus dicontohi supaya sapat membina jati diri cemerlang lagi diredhai Allah. Kita perlu memuliakan Ramadan dengan amalan-amalan yang disukai lagi diredhai-Nya.
Antara amalan-amalan yang perlu menjadi keutamaan di sepanjang Ramadan ialah :
- Berpuasa dengan ikhlas, hanya inginkan keredhaan Allah.
- Jauhi sama sekali dari percubaan merosakkan puasa dengan berbuka tanpa keuzuran kerana amalan itu termasuk antara dosa besar yang dilaknati Allah.
- Usaha seberapa boleh untuk hidupkan malam-malam Ramadan dengan ibadah seperti solat tarawih dan tahajud, terutama pada malam Lailatul Qadar.
- Pastikan sumber makanan dan minuman di sepanjang bulan ini jauh dari sumber haram atau yang meragukan supaya puasa dan doa kita dimakbulkan.
- Berusaha untuk berbuka puasa secara beramai-ramai kerana pahalanya lebih besar dari berbuka sendirian.
- Sentiasa lakukan solat lima waktu secara berjemaah.
- Perbanyakkan bersedekah kerana sedekah pada bulan ini lebih afdal berbanding bulan-bulan yang lain.
- Awasilah diri kita dari menghabiskan waktu tanpa faedah kerana Ramadan merupakan bulan ibadah.
- Jika berupaya, kerjakan umrah pada bulan Ramadan bersamaan dengan sekali ibadah haji.
- Laksanakan ibadah puasa dengan bersahur pada akhir malamnya kerana bersahur itu sunnah Rasulullah.
- Segera berbuka setelah masuk waktunya.
- Sempurnakan mandi wajib sebelum naik fajar supaya dapat meneruskan ibadah puasa dalam keadaan bersih dan suci dari hadas besar.
- Banyakkan zikir terutamanya membaca al-Quran yang merupakan sebaik-baik cara berzikir, supaya kita beroleh syafaat al-Quran pada hari akhirat.
- Pelihara lidah dari berdusta, mengumpat, maki hamun dan sebagainya, kerana amalan-amalan ini pada bulan Ramadan lebih besar dosanya.
- Segala gerak-geri dan tindakan kita hendaklah tenang, tidak mudah beremosi dan tidak terkeluar dari batas-batas kesederhanaan.
- Pastikan kita dalam bulan Ramadan ini tidak melakukan sesuatu yang dilarang Allah dan mentaati segala suruhan-Nya.
- Banyakkan zikir dan istighfar dan memohon rahmat daripada-Nya terutama ketika berbuka dan bersahur.
- Banyakkan doa untuk diri sendiri, ibu bapa, anak-anak dan seluruh umat Islam supaya sama-sama dikurniakan kesejahteraan.
- Bertaubat kepada Allah dengan taubat yang bersungguh-sungguh, dengan meninggalkan maksiat, menyesali segala dosa-dosa yang lalu dan tidak akan mengulanginya lagi pada masa akan datang.
- Setelah selesai puasa Ramadan, teruskan berpuasa enam hari pada bulan Syawal kerana ganjarannya seumpama berpuasa sepanjang tahun.
Sumber : MW#1394
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...