PAGE

Khamis, November 25, 2010

Penyakit mudah marah perlu dirawat


Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera,

Membaca kisah jenayah di Mati disyaki dikelar suami mengingatkan saya betapa pentingnya pengurusan emosi. Emosi yang tidak terkawal boleh mencetuskan stres yang melampau boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan hingga tergamak melakukan sesuatu yang di luar kewarasannya.

Dari sumber HMetro 25/11/2010, individu yang mudah marah seharusnya berusaha mencari rawatan bersesuaian sama ada dari sudut agama atau perubatan moden, kerana amarah yang tidak terkawal sejenis penyakit yang perlu dipulihkan segera sebelum ia membawa kesan buruk kepada diri sendiri atau orang sekeliling.

Perunding motivasi yang juga penceramah bebas, Profesor Madya Md Izuddin Ali berkata, dalam melayari alam berumahtangga, perasaan marah boleh membawa masalah, tetapi pasangan perlu bijak bersama-sama mengawalnya.

Bagi pihak isteri, mereka digalakkan supaya tidak menaikkan kemarahan suami yang sedia baran iaitu dengan tidak melakukan perkara membangkitkan amarah, namun suami juga perlu banyak bersabar serta tidak mudah melenting.

Namun, ada juga suami memang jenis baran sehingga apa saja dilakukan isteri tidak kena pada matanya dan di sinilah suami perlu mendapatkan rawatan iaitu sama ada pengetahuan dari segi agama atau moden bagaimana untuk menangani rasa marah. Dari sudut agama, seseorang yang marah itu digalakkan mengambil air sembahyang, atau duduk jika sedang berdiri atau baring jika duduk dan digalakkan mengaji, berzikir ataupun bersembahyang bagi menghilangkan rasa marah.

Dari segi perubatan moden pula, jangan malu untuk mendapatkan rawatan contohnya dengan bertemu pakar psikiatri atau kaunselor bagi mendapat nasihat.

Berikut disenaraikan beberapa tips menangani tekanan (stress) :

1) Biasakan diri dalam keadaan berwuduk

Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang-kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.

2) Perbanyakkan membaca al-Quran

Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab sepanjang waktu. Membaca Al-Quran juga mampu membuatkan kita tenang sekaligus melupakan masalah yang sedang dihadapi.

3) Banyakkan solat sunat

Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh memperbanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat rawatib, solat sunat tahajjud, solat sunat witir adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

4) Selalu berdoa kepada Allah

Allah selalu berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan perlulah dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika sewaktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha bersunguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu disamping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

5) Bersangka baik dengan Allah

Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah SWT yang berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik kepada Allah dan janganlah menyalahkan DIA jika terjadi sesuatu pada diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik satu-satu kejadian itu.

Dari Jabir bin Abdullah Al Anshari r.a. katanya tiga hari sebelum Rasulullah SAW wafat, baginda bersabda: "Janganlah kamu mati melainkan baik sangka terhadap Allah Azza wa Jalla. Setiap orang akan dibangkitkan kelak (hari kiamat) menurut keadaan (akidah atau imannya) ketika dia mati." (Hadis sahih riwayat Muslim)

6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan dan beriadah

Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh seperti bersukan. Situasi ini akan menjadi lebih mengembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

7) Aamal diet dengan disiplin yang kuat

Pengambian makanan berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik lain seperti lemah jantung, darah tinggi mahupun kencing manis.

8) Menangis dengan sepuas hati

Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain, hati lain” - ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama-sama rakan-rakan, mereka ‘cool’ sahaja, seolah-olah mereka sentiasa gembira, tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Menangis dan berkongsi masalah bersama sahabat yang boleh dipercayai adalah salah satu cara kita dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja. Menangislah sepuas-puas hati hingga anda berasakan sedikit kelegaaan.

9) Hargai kebolehan diri sendiri

Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masaalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masaalah. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

10) Cintai diri sendiri

“Cintailah diri kamu sebelum kamu mencintai diri orang lain.” Kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.

Kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya.

Semoga kita semua terlindung daripada musibah sebegini. Amiin.




Capaian entry berkaitan :
  1. Kenali ciri-ciri lelaki pendera
  2. Tips menangani tekanan (stress)
  3. Pengurusan stress (Stress Management)
  4. Luahkan perasaan anda
  5. Ilmu mengendalikan stres kurang ditekankan
  6. Tekanan melawan atau lari
  7. Tip menguruskan sendiri tekanan anda

1 ulasan:

  1. sory2...bukan lawak...tpi sebenar nya berguna....saya ada juga amalkan sikit..ok alhamdulilah..

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...