PAGE

Jumaat, Disember 03, 2010

Aktiviti anak pada cuti sekolah wajar dipantau



CUTI sekolah masa paling seronok buat anak melarikan diri sementara daripada alam persekolahan. Jika anak melalui tempoh itu dengan kegiatan bermanfaat seperti membaca, memperdalamkan ilmu fardu ain, melazimkan diri ke masjid dan surau, mereka berpotensi menjadi generasi cemerlang.

Sebaliknya, jika mereka menghabiskan tempoh itu dengan aktiviti tidak berfaedah seperti menonton program hiburan melampau, menyalahgunakan internet dan membaca majalah hiburan, maka tergugat masa depannya.

Kita perlu ingat, anak lazimnya bersifat kurang matang apabila berdepan cabaran. Mereka mudah terpedaya dengan apa juga cabaran di keliling. Oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab membimbing anak supaya tidak terpedaya dengan anasir buruk yang akan merosakkan masa depan mereka.

Firman Allah bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah at-Tahrim: 6)

Anak sekarang berdepan dengan cabaran dan pengaruh hiburan yang terlalu banyak. Bukalah saluran televisyen manapun, pasti ada program hiburan tersedia. Sesetengah program hiburan itu amat diminati oleh anak kita.

Ini menyebabkan mereka sanggup menghabiskan masa cuti persekolahan menonton pelbagai program hiburan di televisyen dan internet. Implikasinya, anak bukan saja lemah pencapaian dalam pelajaran, malah berdepan masalah keruntuhan akhlak berpunca daripada pengaruh hiburan melampau.

Apa yang perlu dilakukan ialah memantau serta membimbing secara serius dan berterusan anak kita supaya tidak menghabiskan masa menonton program hiburan semata-mata. Ibu bapa perlu setiap hari bertanyakan anak apa yang mereka lakukan sepanjang hari. Apakah mereka sudah bersolat dan mengulangkaji pelajaran supaya tugas mereka sebagai pelajar tidak dipersiakan.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu sentiasa mengawasi anak dengan memerhati laman web yang dilayari dan memantau sistem pesanan ringkas (SMS).

Satu lagi cabaran dihadapi ibu bapa ialah mengawal pengaruh kawan dalam kehidupan anak dan bagi tujuan itu, ibu bapa perlu tahu siapa kawan anak mereka. Dengan cara itu mudah-mudahan ibu bapa dapat mengawal anak daripada terjerumus ke lembah kehancuran.

Hayatilah pesanan Nabi yang bermaksud: Sesungguhnya perumpamaan teman yang baik dan teman yang jahat adalah seperti saudagar minyak wangi dan tukang besi. Peniaga minyak wangi akan memercikkan minyak wanginya atau dapat membeli daripadanya atau mencium bau wanginya. Manakala tukang besi pula mungkin akan membakar badan kamu atau bajumu atau engkau mencium bau busuk daripadanya. (Hadis riwayat Bukhari & Muslim).

Sempena cuti persekolahan ini, ibu bapa dicadangkan memantapkan akidah anak dengan menghantar mereka mengikuti kursus, kelas pengajian, seminar, bengkel, khemah ibadah anjuran Jabatan Agama, masjid, surau atau pertubuhan dakwah.

Mudah-mudahan mereka mendapat manfaat dan menjadi anak yang mempunyai jati diri mukmin, berwawasan dan berketrampilan, sekali gus dapat menghadapi pelbagai cabaran yang mengelilingi mereka.




Sumber : Khutbah online JAKIM di BHarian 03/12/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...