DI surau di Kampung Lanjut Manis, Kuala Pilah inilah Mohd. Nazimi ditemui selepas ditinggalkan bersendirian oleh bapanya Jumaat lalu. Gambar dari sumber Kosmo!
Suspek guna senjata tajam cedera mangsa
SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera pada kemaluannya akibat ditoreh dengan senjata tajam oleh bapanya sendiri di rumah mereka di Taman Desa Dahlia, Senawang di sini, Jumaat lalu. Entah apa yang merasuk fikirannya, bapa itu sanggup bertindak di luar batasan kemanusiaan.
Difahamkan, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang juga anak sulung tinggal berseorangan bersama suspek kerana ibunya berpantang di kampung di Jempol selepas melahirkan anak ketiga, manakala adiknya pula berada di rumah saudara. Selepas menoreh kemaluan anaknya, dia kemudian bertindak membawanya dengan menaiki motosikal ke rumah saudara perempuannya di kawasan berhampiran. Wanita itu dipercayai pengasuh kepada kanak-kanak itu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata perbuatan suspek yang bekerja sebagai tukang kebun itu terbongkar selepas dia menghantar kanak-kanak berkenaan ke rumah saudaranya di sini.
Dia meninggalkan mangsa di rumah itu sambil meminta saudara terbabit menjaganya dan pada masa sama mengambil adik lelaki mangsa, Mohd. Nazimi Norazmi, yang berusia setahun di rumah itu dipercayai dibawa ke kampungnya di Kuala Pilah. Jarak antara dua lokasi itu sejauh 22 kilometer.
“Saudaranya mengesyaki sesuatu tidak kena terhadap mangsa lalu memeriksa seluarnya dan terkejut apabila mendapati kemaluan mangsa luka akibat ditoreh,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, kanak-kanak malang itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban di sini untuk menerima rawatan. Adik mangsa pula ditemui ditinggalkan di sebuah surau di Kuala Pilah pada petang hari yang sama, tetapi tidak dicederakan.
Suspek kini ditahan di rumah keluarganya di Kuala Pilah dan polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Sumber : BHarian 13/12/2010 dan Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...