PAGE

Isnin, Disember 13, 2010

Lelaki atau wanita, siapa menang siapa kalah?


Assalamualaikum warahmatullah,

Isu gender semakin hari semakin hangat saja diperdebatkan. Lelaki dan wanita saling menonjolkan kehebatan dengan cara mengalahkan satu sama lain. Kalau keadaan ini berlaku di dalam rumah, habislah rumahtangga yang dibina.

Mengapa untuk membuktikan anda hebat hingga mesti menjatuhkan air muka pasangan anda? Mengapa hati anda baru puas jika pasangan tunduk menyerah kalah? Jika anda boleh mengawal suami, apakah pulangan yang anda dapat? Begitu pula, benarkah Islam memberi kuasa 100% kepada suami untuk menggenggam isteri dengan kuku besi?

Sudah tentu Islam menegakkan keadilan ke atas lelaki dan wanita, sama rata, sama rasa, sesuai dengan fitrah kejadian masing-masing. Boleh jadi, suatu masa nanti bukan lelaki yang suka berlagak kuasa lagi, bahkan wanita pula akan mengungguli lelaki melebihi batasan.

Jika wanita menjadi minoriti dan dipinggirkan, mereka tentu memberontak, tetapi seandainya lelaki terpinggir seperti isu rendahnya peratusan lelaki masuk institusi pengajian tinggi berbanding wanita atau isu penjawat awam yang dijuarai wanita baru-baru ini, adakah wanita mahu menyedari bahawa perkara ini juga tidak patut berlaku dan membawa suasana tidak seimbang?

Keadilan mesti ditegakkan untuk wanita dan juga lelaki, tiada yang mengungguli sesiapa, mereka mesti berdiri sama tegak, duduk pun sama tinggi. Jika ia boleh diamalkan dalam rumahtangga kita hari ini, sudah tentu dalam masyarakat dan di pelbagai bidang pekerjaan pun mereka boleh hidup secara harmoni.

Kehidupan sebagai seorang isteri sungguh mencabar, tidak kurang peritnya berperanan sebagai suami. Jika keduanya saling bertolong-menolong, tiada sesiapa akan dirugikan dan dimanipulasi, bukankah hidup akan lebih bermakna? Suami bekerja, isteri pun bekerja, jadi bukankah adil membahagi sama kerja-kerja rumahtangga? Duit suami adalah hak keluarga dan isteri, duit isteri walaupun bukan hak suami tetapi bukankah tidak rugi bersedekah membantu suami dengan gaji yang isteri perolehi?

Bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda kepada sahabiyah yang bernama Ummu Salamah bahawa jika dia memberi bantuan kepada suami dan anak-anaknya, maka dia memperolehi pahala? (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Akan tetapi suami pula hendaklah berlaku adil, apa yang dipakai atau dimakannya atau dibelanjakannya sama harga dengan apa yang dibelanjakan untuk isteri. Hal ini juga disebut di dalam hadis Rasulullah SAW :

Daripada Muawiyah bin Haidah r.a. beliau berkata : “Wahai Rasulullah, apakah hak seorang isteri yang wajib kita penuhi?” Rasulullah SAW bersabda : “Kalian wajib memberi makan apa yang engkau makan dan memberi pakaian apa yang engkau pakai, jangan sekali-kali menampar wajahnya, jangan memburuk-burukannya dan jangan dimakannya kecuali di dalam rumah.” (Hadis sahih riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Taat itu amal soleh

Isteri yang sama taraf dengan suami, ilmu dan kerjayanya, pangkat dan kewibawaannya agak sukar untuk tunduk dalam hal-hal yang dianjurkan agama sebagai satu amal soleh. Taat seorang isteri memberi kelebihan pahala kepadanya, malah bukan merendah-rendahkannya, menjatuhkan maruah dan menghambakannya. Perasaan sebegitu mesti dibuang jauh-jauh dari kesucian hati seorang isteri.

Taat adalah ibadat yang tinggi nilaiannya, apatah lagi sampai suami redha dan jatuh cinta kerana ketaatan isteri. Jangan sesekali memandang kepada suami dengan pandangan merendahkan, walaupun anda berstatus bos di pejabat sedangkan suami hanyalah seorang pegawai rendah.

Walau bagaimanapun, naluri seorang wanita sebenarnya lebih mencintai suami dibandingkan naluri lelaki. Kerana wanita fitrahnya lembut dan mudah jatuh hati, kasihan dan amat kuat ‘insting’ terhadap suami kerana kasihnya itu. Suami pula bersifat lebih rasional, emosi bukan tiada tetapi kurang sedikit dibandingkan wanita. Ia tidak sesekali akan menjadikan mereka kurang nilaiannya, bahkan itulah kelebihan yang diciptakan Allah SWT, sesuai fitrah kejadian.

Tiada siapa yang menang dan kalah, masing-masing ada kekuatan dan kelemahan. Saling menyempurnakan satu sama lain. Pernahkah suami berfikir jika dia berada di tempat isteri?

Dengan naluri sebagai lelaki tetapi harus berperanan sebagai ibu yang sabar menjaga dan mendidik anak-anak? Menyuapkan nasi ke dalam mulut anak terlebih dahulu walaupun anda kelaparan dan membancuh susu di tengah malam di saat anda amat mengantuk? Tidak tidur ketika anak demam, sabar membahagi tugas di pejabat dan di rumah?

Isteri pula pernahkan anda berfikir berada di tempat suami dengan naluri seorang wanita? Dituntut harus sentiasa kuat hati tidak mudah gagal menghadapi kesusahan mencari nafkah, menghitung kira-kira masa depan keluarga, menjadi tulang belakang yang sentiasa tegak, tidak manja melampau dan tabah. Melayan isteri dengan penuh sabar, memenuhi tuntutan keluarga walaupun dirinya terabai?

Jadi, kita semua sama saja, masing-masing dengan tugas dan peranan yang berbeza tetapi hati tetap memerlukan cinta, ikhlas dan murni kepada belahan jiwa.

Renung-renungkan!




Sumber : Dr Juanda Jaya

Capaian entry berkaitan :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...