PAGE
▼
Isnin, Disember 27, 2010
Tips jimat cermat agar kewangan keluarga stabil
Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Seperti yang telah dijanjikan dalam entry Strategi menjadi surirumah sukses, hari ini Laman-Seri akan memberikan tips berjimat cermat agar kewangan keluarga setabil. Tips ini bukan sahaja untuk surirumah, malah boleh diaplikasi oleh sesiapa sahaja.
Sebaik memasuki alam rumahtangga dan punya keluarga sendiri, maka sikap boros seharusnya dibuang. Ini kerana sikap tersebut bukan saja boleh mendatangkan kesusahan pada diri sendiri, malah turut memberi kesan kepada pasangan dan juga anak-anak. Bayangkan jika anda sanggup berhabisan wang untuk hobi sehingga tidak memberi wang belanja pada isteri dan anak. Bukankah tindakan ini sesuatu yang kurang waras?
Perkara yang sepatutnya dilakukan adalah berjimat cermat dan juga memulakan amalan menabung. Berikut adalah beberapa panduan yang boleh anda mulakan dalam memastikan kewangan keluarga lebih stabil.
1 – Sediakan bajet
Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal dengan mudah. Utamakanlah yang perlu sahaja bagi keperluan keluarga.
2 – Amalkan peraturan 10%
Peraturan 10% bermakna anda perlu menyimpan 10% daripada wang yang anda miliki setiap bulan. Contohnya, jika anda menjana RM3,000 setiap bulan, ketepikanlah sebanyak RM300 untuk simpanan anda. Wang ini boleh dijadikan pelaburan dan simpanan untuk hari tua anda nanti. Amalan menyimpan sedikit sebulan ini akan mendidik anda menjadi lebih konsisten dan berdisiplin dalam menyimpan wang untuk masa akan datang.
3 – Merancang untuk masa depan
Sediakan payung sebelum hujan. Selain simpanan 10% seperti yang disebutkan di atas, wujudkan juga simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim insurans yang memberikan manafaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.
4 – Masak sendiri
Kurangkan makan di warung atau kedai atau restoran, sebaliknya masaklah sendiri di rumah. Ini lebih menjimatkan, terutamanya bagi keluarga yang ramai bilangan ahlinya. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tidak langsung, keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.
5– Bawa bekal ke pejabat atau sekolah
Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM3.00 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa depan dan kecemasan.
6 – Elakkan memandu kenderaan sendiri
Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Atau boleh juga berkongsi kereta dengan rakan sepejabat.
7 – Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas
Keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan daripada melakukan pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.
8 – Tanam sendiri sayur-sayuran
Serai, kunyit, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang, masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli. Sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.
9 – Elakkan membawa anak-anak ketika membeli belah
Ini satu langkah yang baik, kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barang-barang yang tidak sepatutnya kita beli. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan juga mengelakkan tabiat boros berbelanja.
10 – Beli secara pukal
Barangan yang dibeli secara pukal jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang-barang sama ada untuk stok seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.
11 – Lakukan perbandingan harga
Amalan ini adalah penting kerana kadang kala terdapat perbezaan harga di antara kedai, lain temapt lain harganya walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat.
12 – Kurangkan pembelian barangan berjenama
Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik, setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya.
Diharapkan agar panduan di atas dapat memberikan sedikit sebanyak informasi berguna kepada kita sebagai pengguna dalam menghadapi situasi ekomoni yang tidak menentu kini, seterusnya menjadikan kita sebagai pengguna yang bijak.
Rujukan asal MW#1403 yang telah diubah-suai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...