Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera,
Bismillah. Entry kali ini diusahakan setelah memerhatikan perbincangan di egrup yang saya sertai, tajuknya, “Hinakah menjadi seorang surirumah?” Ish... apa punya soalan nih...? Tidak saya nafikan, ramai bukan sedikit isteri yang bergelar surirumah sepenuh masa berasa rendah diri dengan peranan mereka sendiri.
“KAMI tak kerja, hanya surirumah sepenuh masa,” itulah kata-kata wanita yang tiada kerjaya tetap di luar rumah. Pakar motivasi, Dr Rubiah K Hamzah, pernah menegur sikap rendah diri surirumah yang tidak mengaku urusan rumahtangga sebagai kerjaya. Menurutnya, memanglah tugas surirumah tidak diiktiraf sebagai kerjaya kerana ia tidak mendapat gaji tetap setiap bulan. Bagaimanapun, tanggungjawab golongan ini menguruskan rumahtangga, mendidik anak tidak harus diperkecilkan.
Bagi sesetengah surirumah, alangkah sempurnanya hidup bergelar wanita berkerjaya professional. Setiap hari tampil bergaya dan di samping punya orang bawahan yang sangat menghormati. Tak percaya? Cuba anda buat beberapa ‘kajian’ tentang hal ini dan lihat hasilnya.
Mengapa perlu merasa hina hanya kerana menjadi seorang surirumah? Bukankan surirumah juga menyumbang kepada keluarga dan masyarakat? Sebaik-baiknya, buangkan pemikiran sebegini dan hindarkan rasa rendah diri kerana suri rumahtangga itu sebenarnya satu kerjaya professional yang menuntut kemahiran. Bukan calang-calang wanita yang boleh menjadi surirumah.
Bukan senang jadi surirumah
Menurut Dr Rubiah lagi, seseorang suami patut membayar upah setimpal di atas pengorbanan isteri menguruskan keluarga dengan baik. Iyalah, jika kerja-kerja rumah ini diserahkan kepada pembantu rumah, tentu kita terpaksa membayar gaji pembantu rumah, bukan? Mengapa bila isteri sendiri yang melakukannya, kita sangat kedekut untuk menghargai kederatnya yang keluar, unutk kita juga?
Suka saya mengingatkan kepada para suami, tugas menguruskan rumah bukanlah tanggungjawab mutlak seorang isteri. Sila rujuk entry yang menyokong kenyataan ini di Q&A : Tanggungjawab suami uruskan rumah, Benarkah Tugas Istri Itu Mengurus Rumahtangga? dan Nafkah isteri - Kewajipan Suami Menyediakan Pembantu. Bagaimanapun, wanita yang menjadi surirumah perlu redha melakukan tugas diamanahkan itu walaupun tidak mendapat ganjaran sewajarnya.
Tugas surirumah bukan setakat melayan suami dan melahirkan zuriat, tetapi amanah yang dipikul amat berat kerana ia membabitkan usaha melahirkan generasi pewaris negara. Kerja di rumah tiada pengkhususan seperti dibuat oleh mereka yang bekerja secara formal di pejabat. Malah ada surirumah bekerja mengatakan, masa rehat sebenar ialah ketika berada di pejabat.
Apa tidaknya, celik saja mata, tanda bermulalah kerja surirumah dan hanya akan berakhir ketika masuk tidur. Malah sebelum tidur, seseorang surirumah sudah merancang apa yang hendak dibuat keesokannya. Perkara pertama yang difikirkan ialah menyediakan sarapan untuk anak dan suami supaya ceria sebelum memulakan tugas masing-masing, kemudian mengemas rumah, membasuh pakaian, ke pasar membeli keperluan untuk sajian tengah hari. Waktu senggang bergantung kepada keadaan anak. Kalau anak masih kecil memang tak menang tangan menyediakan keperluan mereka. Itu belum lagi berdepan masalah kesihatan keluarga. Anak yang sakit biasanya lebih memerlukan pemerhatian ibu berbanding bapa.
Laman-Seri kali ini cuba menyelami kerjaya surirumah. Peranan surirumah sebagai penggerak ekonomi keluarga penting. Jika suami ibarat ‘Perdana Menteri’ yang mengatur pentadbiran rumah tangga, peranan si isteri pula samalah seperti ‘Menteri Kewangan’ merangkap ‘Menteri Pembangunan Keluarga’. Jika pandai merancang perbelanjaan harian serta urusan rumahtangga lain seperti ada kepakaran menjahit pakaian, boleh membantu memantapkan ekonomi keluarga.
Memang tidak salah wanita berpendidikan tinggi bekerja di luar sana, tetapi mereka kena pandai memainkan peranan sebagai suri dan wanita berkerjaya. Dalam melaksanakan dua peranan inilah kadang-kadang ada pihak yang terabai. Golongan yang berpendidikan tinggi memang aset penting kepada negara. Ada sesetengah menganggap rugi golongan yang berpendidikan tinggi tidak bekerja.
Tetapi jika dilihat banyak kes penderaan kanak-kanak yang ditinggal di rumah pengasuh, gejala sosial membabitkan anak muda, peranan wanita perlu dilebihkan kepada rumahtangga. Tak guna kita memiliki kemewahan hidup dengan wang ringgit berkepuk, tetapi anak kehilangan kasih ibu sendiri. Anak yang sepatutnya disuap ibu, sebaliknya dilayan pembantu rumah atau diletakkan di pusat jagaan. Tidak hairanlah apabila dewasa, si anak tidak berasa bersalah membiarkan ibu bapa hidup sendirian kerana menganggap tuntutan tugas lebih penting daripada melayan kerenah orang tua. Jika dulu anak diletakkan di pusat jagaan, kini giliran ibu bapa pula menagih kasih di rumah orang tua. Untuk mengelak pusingan roda kehidupan itu menular kita, mengapa tidak kita kembalikan fungsi ‘rumahku syurgaku’ dengan membetulkan peranan setiap anggota dalam keluarga.
Bapa wajar bertanggungjawab memberikan rezeki kepada keluarga bukan menyerahkan tugas mencari rezeki kepada isteri. Jika kelebihan ada pada isteri untuk bekerja di luar rumah, tak salah juga bagi suami mengambil alih kerja mengurus rumahtangga. Bagaimanapun sudah fitrah, seorang suami ada ego yang menganggap kerja di rumah remeh. Jika mereka tidak mahu imej tercalar kerana mengambil alih tugas suri rumah, mereka patut menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Strategi jadi surirumah sukses
Urusan rumahtangga akan lancar dan terurus baik jika seorang surirumah itu cekap. Sama jugalah hal kewangan rumahtangga, jika tidak, takkanlah surirumah dikatakan ibarat menteri kewangan dalam sesebuah rumah.
Pun begitu, bagi mendapatkan ini semua, seseorang wanita itu harus menjadi surirumah yang sukses. Malah status ini haruslah diidamkan oleh semua ibu rumahtangga, tidak kiralah sama ada dia seorang surirumah sepenuh masa mahupun separuh masa.
Bagaimana hendak meraih anugerah surirumah sukses ini? Kali ini Laman-Seri kongsikan enam strategi membantu anda menjadi surirumah sukses.
1 – Maksimumkan kekuatan diri
Setiap orang memiliki potensi dan kemahiran yang berbeza. Oleh itu pergunakan potensi anda sebaiknya. Mungkin ada yang belum mengetahui potensi yang dimiliki, tetapi hal ini bukanlah bermakna anda tidak mempunyai potensi.
Ambil masa dan renungkanlah pencapaian anda dalam menguruskan rumahtangga kerana di sebaliknya, pasti akan tercatat potensi yang anda miliki. Sekiranya anda memiliki anak-anak yang berjaya dalam pelajaran, maka tentunya selain guru dan usaha anak itu sendiri, ia adalah berkat galakan dan didikan seorang ibu.
Setelah menyedari potensi dalam mendidik anak, maka anda boleh mula memanafaatkan potensi anda sepenuhnya. Pastikan anda teruskan usaha mendorong dan memberi sokongan kepada anak dalam usaha memastikan mereka mengecap kejayaan.
2 – Minimum kelemahan
Namanya juga manusia, pasti akan ada kekurangan dan kelemahan. Sama jugalah dengan surirumah. Walau saban hari melakukan urusan rumahtangga, namun pasti ada tugas atau urusan yang tidak betah dilakukan.
Jika anda merasakan satu-satu pekerjaan itu kurang mampu dilakukan, maka mintalah bantuan daripada anak ataupun suami. Meminta bantuan daripada anak merupakan sebahagian dari rumahtangga. Ia akan mencambahkan rasa tanggungjawab anak sebagai ahli keluarga. Namun, jika naka-anak masih kecil, mintalah bantuan suami. Ia sekaligus membangun semangat kerjasama dalam keluarga. Semakin kerap anda melibatkan suami dalam mengerjakan urusan rumahtangga, maka semakin kerap anda berkomunikasi dengan suami sehingga menjalinkan keakraban dan cinta akan tumbuh dengan subur.
Akan tetapi harus diingatkan jangan meminta bantuan daripada suami ketika dirinya dalam keadaan letih dan kurang semangat. Saat itu tindakan paling tepat yang harus anda lakukan adalah memberikan perhatian lebih kepada suami sehinggalah keadaannya pulih. Ketika segalanya sudah pulih, barulah anda meminta bantuannya dan selalunya suami pun akan membantu dengan penuh semangat.
3 – Mengagihkan tugas
Surirumah juga memang layak digelar pengurs keluarga. Salah satu fungsi pengurus ini adalah mendeligasikan atau mengagihkan tugas. Sebagai pengurus keluarga, anda sudah tentu perlu keluar ke pasar, mengambil anak, membayar bil-bil utiliti, berkunjung ke rumah saudara dan sebagainya. Kegiatan keluar rumah ini tentu akan mempengaruhi tugas anda di dalam rumah. Apabila ini terjadi, anda harus mampu mendelegasikan tugas kepada anggota keluarga yang lain.
4 – Tentukan keutamaan anda
Anda, suami dan anak-anak pastinya akan berasa senang melihat keadaan rumah yang kemas dan sempurna. Perabot diatur rapi, buku dan kain tersusun, dapur bersih, anak-anak terurus dan membesar dengan sihat dan cerdas malah kewangan keluarga juga seimbang tanpa masalah.
Sebenarnya semua perkara ini mampu diraih bila anda sebagai surirumah mampu membahagikan waktu untuk melakukan tugasan dengan tepat. Anda mampu membezakan mana pekerjaan yang dirasakan mendesak untuk diselesaikan dan penting untuk dikerjakan dahulu dan mana pekerjaan yang tidak mendesak dan tidak penting untuk dilakukan kemudian.
Kesalahan anda menetapkan keutamaan akan memberi kesan buruk kepada keluarga. Sebagai contoh, antara keperluan menghantar anak kek kelas tambahan pastinya lebih penting daripada menonton sinetron di petang hari. Setiap pilihan yang anda ambil selalunya memberikan risiko yang berbeza-beza.
5 – Bekerja lebih bijak, bukan lebih berat
Jangan sesekali terdetik dalam hati anda bahawa kerja-kerja yang dilakukan di rumah adalah sesuatu yang berat.jika ini yang ada salam fikiran anda, maka ia akan mempengaruhi psikologi anda yang akhirnya menyebabkan setiap pekerjaan yang anda lakukan, dirasakan begitu berat dan memenatkan.
Mulalah bekerja dengan lebih bijak, yakni bekerja dengan perancangan. Bagi mencapai tujuan dan hasil yang maksimum, anda harus memahami tujuan pekerjaan anda, tindakan yang tepat dalam melakukan pekerjaan, belajar dari kesalahan yang pernah anda lakukan dan tidak kaku dalam mencari alternatif pilihan untuk sebuah keputusan yang tepat. Misalannya, ketika anak anda sakit di malam hari dan memaksa anda untuk mencari ubat di farmasi, maka langkah bijak yang anda lakukan adalah senantiasa menyediakan ubat-ubatan di rumah sebagai ‘stand by’ atau persediaan.
Atau jika selalu anda berbelanja memberi barangan dapur pada hujung minggu hingga mengambil masa yang lama kerana kesesakan. Apa kata anda ambil langkah keluar membeli belah pada hari bekerja. Tentunya orang tidak ramai di pasaraya dan anda tidak perlu beratur panjang untuk membuat pembayaran.
6 – Mahir atur perbelanjaan keluarga
Surirumah harus mahir menyusun anggaran perbelanjaan keluarga. Jangan biarkan perbelanjaan melebihi wangn yang ditetapkan oleh suami setiap bulan atau setiap minggu. Jika ini terjadi, ia akan mempengaruhi kewangan keluarga secara keseluruhan.
Oleh itu anda harus merancang setiap perbelanjaan yang hendak dibuat. Selain itu, biasakan berbelanja mengikut keperluan dan bukan mengikut keinginan. Di samping itu, jangan lupa membuat tabungan, sebaiknya di awal bulan dan bukan di akhir bulan. Ikuti tips jimat cermat agar kewangan keluarga stabil dalam entry akan datang, insya Allah.
Akhir kata, jangan lupa bersedekah dan mengajarkan anak-anak untuk berkongsi dengan golongan kurang bernasib baik.
Rujukan asal diubah-suai dari : BHarian 27/06/2010 dan MW#1384
Capaian entry berkaitan :
- Suami dengar nasihat isteri
- Awas, suami perdaya isteri!
- Nasib isteri tak pegang duit
- Memperkasakan pelajar lelaki
- Jadilah suami idaman
- Benarkah Tugas Istri Itu Mengurus Rumahtangga?
- Nafkah isteri - Kewajipan Suami Menyediakan Pembantu
- Batas-batas taat seorang isteri kepada suami
- Ramai suami tak berilmu?
As salam tuan rumah,
BalasPadamcatatan yg sungguh memanfaatkan. t k.