Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Tentu ada yang masih ingat entry ISU : Melayu Pulau Pinang bakal hidup melarat. Berita sebegini tidaklah menghairankan kerana jika kita melangkah ke mana-mana sahaja, kita akan dapat lihat jurang perbezaan sebegini.
Baru-baru ini, saya berkesempatan menunjungi ke Cameraon Highlands dan senario yang sama juga terdapat di sana. Yang pasti, jurangnya saaaangat ketara. Mujur kerajaan Datuk Seri Najib menyedari hal ini, walaupun secara peribadi, saya menganggapnya sudah agak terlambat.
AHB tingkat aset hartanah Bumiputera
Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menubuhkan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) adalah berapa tidak berapa tepat pada masanya. Seharusnya hal ini dijaga sebaik saja Tanah Melayu bebas daripada cengkaman jajahan negara asing. Umum mengetahui pemilikan hartanah Bumiputera khususnya untuk hartanah komersial dan perindustrian amat rendah.
Menurut Ketua Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara, Dr Noor Azlan Ghazali, pada 2007, Bumiputera hanya menguasai kira-kira 16% pemilikan untuk hartanah komersial dan 4% untuk hartanah perindustrian. Angka ini adalah amat KECIL jika dibandingkan dengan bilangan Bumiputera yang mewakili 67% penduduk Malaysia.
Walaupun sukar untuk diterima, hakikatnya Bumiputera di negara ini masih jauh ketinggalan dalam banyak bidang, termasuk pemilikan aset hartanah. Lebih merisaukan, hartanah Bumiputera sedia ada juga semakin susut berikutan kesan pembangunan yang menyebabkan mereka terpaksa melepaskannya atas pelbagai alasan. Usaha meningkatkan pemilikan aset hartanah Bumiputera perlu dilakukan secara sistematik bagi memastikan Bumiputera turut menikmati kesan kemajuan dan pembangunan dilaksanakan. Tidak ada gunanya jika negara maju dengan pelbagai infrastruktur hebat, tetapi pada masa sama Bumiputera hanya menjadi pemerhati.
Pengagihan kekayaan dengan seadil-adilnya bagi setiap kaum dapat memastikan negara terus berada dalam keadaan aman dan makmur. Wujudnya kestabilan politik berterusan akan berupaya memperkembangkan lagi ‘kek ekonomi’ negara untuk diagihkan dengan lebih adil dan saksama. Kita tentunya tidak mahu ada kaum yang akan berasa cemburu kepada kaum lain disebabkan pengagihan kekayaan yang tidak adil, seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), kelmarin. Pelancaran AHB adalah langkah tepat bagi memastikan jurang kekayaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera tidak terus melebar.
Penubuhan AHB pastikan pemilikan aset hartanah antara kaum seimbang
Jurang pemilikan kekayaan yang tidak terkawal antara kaum akan menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dan keadaan itu bukanlah sesuatu yang baik untuk negara dan rakyatnya. Menerusi AHB bersaiz RM1 bilion itu membolehkan pelabur Bumiputera menyertai pemilikan aset hartanah dengan lebih cekap dan berkesan. Malah, melalui skim itu juga akan membolehkan Bumiputera memiliki aset komersial bernilai tinggi di lokasi strategik dan lebih penting ia menjadi milik kekal Bumiputera.
Apapun, langkah kerajaan membantu Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah atau meningkatkan pendapatan mereka tidak wajar dilihat oleh pihak tertentu sebagai berunsur perkauman atau memberi tumpuan kepada Bumiputera semata-mata. Pada masa sama, bukan Bumiputera turut menikmati kesan pembangunan dan kemajuan negara. Kerajaan tidak pernah menafikan hak bukan Bumiputera dalam meraih keuntungan dalam pelaburan hartanah di negara ini.
Berdasarkan fakta, adalah jelas bukan Bumiputera memilik aset hartanah lebih tinggi berbanding Bumiputera. Kita memuji langkah berani Perdana Menteri yang juga Pengerusi Yayasan AHB memperkenalkan skim berkenaan. Kita yakin seluruh masyarakat Bumiputera di negara ini menyambut baik langkah itu, di samping mempertahankan pemilikan hartanah sedia ada.
Ketika era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada 1990, ia turut memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada ekonomi negara. Walaupun ada pihak mencemuh usaha Dr Mahathir, pengenalan ASB serta beberapa skim amanah saham lain berjaya meningkatkan pendapatan Bumiputera.
Pengenalan ASB berjaya meningkatkan tabungan Bumiputera serta memperkenalkan mereka kepada pelbagai produk saham amanah yang ketika itu masih terlalu baru kepada Bumiputera. Keadaan itu juga meningkatkan kuasa membeli Bumiputera yang secara tidak langsung berupaya membeli pelbagai produk dan perkhidmatan ditawarkan syarikat bukan Bumiputera. Justeru, pengenalan AHB harus bersandarkan kepada situasi menang-menang untuk kelangsungan kemakmuran jangka panjang negara dan ia tidak wajar dipolitikkan.
Pemilikan aset hartanah Bumiputera diharap meningkat melalui penubuhan AHB. Pihak Pentadbir AHB hendaklah memenuhi aspirasi masyarakat Bumiputera yang mahu hak mereka di negara ini dipelihara. Diharapkan agar pihak pentadbir AHB dapat meningkatkan pemilikan Bumiputera khususnya di kawasan bandar.
Mungkin satu projek khas dapat dilakukan oleh AHB untuk meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera dalam daerah Timur Laut di Pulau Pinang yang khabarnya pemilikan Bumiputra hanya sekitar 1% seperti dalam entry ISU : Melayu Pulau Pinang bakal hidup melarat.
Mudah-mudahan AHB dapat memenuhi aspirasi ini.
Rujukan dari : BHarian 01/12/2010
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...