“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Disember 08, 2010

Darjat peniaga jujur diangkat sebaris orang soleh



BIDANG perniagaan adalah lapangan ekonomi yang digalakkan Islam. Sejarah Islam memaparkan Nabi Muhammad terbabit dalam aktiviti perdagangan sebelum Baginda diangkat sebagai Rasul. Ini menunjukkan bidang perniagaan mendatangkan keuntungan.

Bagaimanapun, peniaga mesti melaksanakan urusan niaganya mengikut lunas dibenarkan agama. Namun begitu, ada segelintir peniaga tidak mengambil berat mengenai halal haram dalam perniagaan. Meskipun barangan atau perkhidmatan yang diurusniagakan itu halal, tetapi jika bertentangan etika niaga, peniaga tetap dipersoalkan Allah kelak. Satu bentuk pelanggaran etika niaga yang sering dilakukan ialah menipu pengguna dengan menutup keburukan sesuatu barangan. Kita sering berdepan situasi begini tatkala membeli buah-buahan yang dijual secara lambak. Buah-buahan itu dicampur antara yang elok dengan rosak. Keadaan ini bertentangan dengan aturan sebenar berniaga dan ditegah Islam.

Bayangkan bagaimana kecewanya pembeli apabila buah dibeli rosak dan tidak sesuai dimakan. Maka pembeli merungut kerana tidak puas hati dengan penjual itu. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang Muslim menjual jualan yang mempunyai aib, kecuali ia menjelaskan aibnya.” (Hadis riwayat Imam al-Quzwani).

Oleh itu, sikap menyembunyikan aib sesuatu produk atau perkhidmatan akan menyebabkan timbul kebencian pelanggan dan ini mendatangkan kemurkaan Allah. Sikap buruk begini mesti dihindari peniaga demi mengharapkan reda Allah dalam perniagaan.

Sabda Rasulullah SAW dalam sabdanya yang lain: “Adalah tidak halal seorang Islam menjual barang cacat kepada pengguna dengan tidak menyatakan kecacatan itu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah).

Kalau cara berniaga sudah haram maka hasil pendapatan yang diperoleh juga haram. Apakah kita suka menggunakan sumber pendapatan haram kemudian hasil itu diberi kepada ahli keluarga? Rangkaian haram itu terus berlarutan bukan setakat dalam urusan niaga yang dilakukan malah perbuatan memberikan nafkah haram itu juga akan memberi kesan buruk kepada seseorang. Jelas perbuatan menipu keadaan sesuatu barangan atau perkhidmatan yang dijadikan perniagaan adalah haram.

Peniaga mesti menjauhi perbuatan terlarang ini supaya segala usaha niaga yang dilakukan mendapat berkat dan hasil pendapatan diredai Allah. Biarlah keuntungan yang diperoleh itu tidak banyak tetapi penuh berkat berbanding mendapat banyak tetapi dilaknat. Janganlah kerana terlalu ingin laba berganda atau mengikut perbuatan peniaga lain, maka kita turut sama melakukan penipuan seperti itu. Peniaga yang jujur dalam menjalankan perniagaan pasti akan mendapat keuntungan yang lumayan.

Jika sebelum ini kita pernah melakukan perbuatan itu, segeralah bertaubat dan kembali kepada kaedah berniaga yang jujur. Berniaga secara jujur melambangkan ketakwaan. Elak melakukan penipuan kerana itu melambangkan kurangnya iman. Jadilah peniaga yang jujur, amanah, menghormati hak pelanggan dan berakhlak. Etika berniaga secara Islam akan mengangkat darjat peniaga sebaris dengan Rasulullah dan orang soleh lain.




Sumber : Wan Mohd Ruzlan Wan Omar di BHarian 08/12/2010

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails