Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Pernahkah anda membaca kisah seorang suami yang membenci isterinya disebabkan kecewa kerana wanita itu melahirkan bayi perempuan yang juga anak sulung hasil perkongsian hidup mereka? Suami itu bukan sahaja mengasari isterinya, malah turut menzalimi dan menganiaya bayi perempuannya. Rujuk entry Benci dapat bayi perempuan.
Saya pernah membaca kisah Maharaja China yang sangat-sangat mengasihi gundiknya yang melahirkan anak lelaki untuknya dan tidak mengendahkan gundik yang melahirkan anak perempuan. Saya juga diberitahu, dalam masyarakat Cina, zuriat lelaki adalah lebih 'dikehendaki' berbanding dengan perempuan. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan dianggap beban dan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya.
Saya pernah menonton video kelahiran seorang bayi perempuan yang rupa parasnya menyerupai ular. Kononnya ibu yang melahirkan bayi tersebut amat-amat berkehendakkan bayi lelaki kerana telah memiliki 2 atau 3 orang anak perempuan sebelum kelahiran anak yang ini. Semasa membuat pemeriksaan kandungan, doktor telah memaklumkan yang si ibu mengandungkan bayi perempuan dan berita itu sangat mengecewakannya. Bila rakan-rakan bertanya jantina bayi yang dikandung, si ibu terus menjawab yang dia sedang mengandungkan anak ular. Subhanallah! Bila tiba saat kelahiran, memang si ibu telah melahirkan seorang bayi perempuan yang menyerupai ular. Saya kurang pasti kesahihan berita ini, tetapi menurut video yang ditonton, peristiwa ini terjadi di negara Timur Tengah.
Apa salahnya dilahirkan perempuan? Bukankah Rasulullah SAW telah menjanjikan kelebihan memiliki anak perempuan?
"Anak lelaki ke perempuan?" Soalan yang paling kerap ditanya kepada 'mak buyung' atau wanita yang sedang sarat mengandung. Soalan itu juga kerap diajukan kepada doktor yang membuat imbasan ultrasound terhadap bayi di dalam kandungan mereka yang sedang mengandung. Pada zaman sekarang, soalan tersebut mungkin tidak susah untuk dijawab kerana jantina anak biasanya sudah dapat diketahui dengan membuat imbasan ultrasound semasa tempoh kehamilan.
Saya pernah membaca kisah seorang bapa yang kelihatan tidak berapa gembira meskipun isterinya telah selamat melahirkan anak sulungnya. Anaknya selamat, cukup sempurna dan tidak mengalami sebarang komplikasi.
"Tak tau apa dia buat sampai dapat anak perempuan. Saya mau anak lelaki. Masa mengandung saya suruh dia jaga betul-betul tapi dia talak mau," keluh bapa berkenaan. Isterinya dipersalahkan. Ibunya juga kelihatan agak muram, seolah-olah susah untuk memerima kedatangan seorang puteri dalam keluarga mereka. Bapa berkenaan kemudiannya mengungkit lagi beberapa pantang larang yang dilanggar oleh isterinya yang kononnya menyebabkan jantina anaknya tidak seperti yang dikehendakinya.
Pelik sungguh, masih ada lelaki yang berfikiran begini. Kenyataan bapa ini bukan saja tidak berlandaskan akidah, malah juga dari segi saintifik.
Hakikat sebenar
Sejak sekian lama, kebanyakan masyarakat beranggapan bahawa jantina anak ditentukan oleh ibu yang mengandungkannya. Hampir tiada orang yang membuat anggapan bahawa ia ditentukan oleh benih daripada si bapa. Bagi sesetengah masyarakat yang begitu mengagungkan anak lelaki, mereka akan menyalahkan wanita jika melahirkan seorang anak perempuan. Hakikatnya, Allah SWT lebih mengetahui yang mana lebih sesuai untuk mereka yang Dia-lah yang berhak untuk mengurniakan sama ada anak lelaki atau anak perempuan.
Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa jantina seseorang anak itu ditentukan oleh air mani yang ditumpahkan. Jika jantina seseorang anak itu ditentukan oleh air mani yang ditumpahkan, maka sudah tentulah jantina seseorang bayi tidak ditentukan oleh ibunya, tetapi ditentukan oleh bapanya. Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan bahawasanya Dia-lah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan. Daripada air mani apabila ia dipancarkan." (Surah al-Najm 53:45-46)
Allah SWT juga berfirman yang bermaksud, "Bukankah dia dahulu (daripada) setitis air mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim). Kemudian mani itu menjadi segumpal darah, lalu Allah menciptakannya dan menyempurnakannya." (Surah al-Qiyamah 75:37-39)
Mengikut tafsiran yang sahih, nutfah bermaksud air mani yang sedikit. Menurut Imam al-Qurtubi dalam al-Jami'li Ahkam al Quran : "Nutfah bermaksud air mani lelaki. Ia dinamakan nutfah kerana jumlahnya yang sedikit iaitu airnya sedikit."
Kromosom penentu
Perkembangan bidang genetik dan biologi molekul secara saintifiknya membuktikan kebenaran maklumat-maklumat yang diberikan oleh al-Quran. Teknologi genetik telah membuktikan jantina seseorang anak itu ditentukan oleh sperma dalam air mani seseorang lelaki dan ia tidak ditentukan oleh ibunya.
Untuk memahami penentuan jantina pada anak, kita perlu memahami tentang kromosom terutamanya kromosom-X dan kromosom-Y. Kromosom ialah inti pati dalam nukleus setiap sel pada badan kita yang mengandungi maklumat-maklumat genetik yang disebut sebagai DNA. Maklumat-maklumat genetik itu boleh diwariskan kepada generasi berikutnya. Kromosom merupakan elemen utama yang menentukan jantina. [Rujuk : Boy or girl? It's in the father's genes]
Di dalam setiap sel badan manusia, terdapat 46 kromosom atau 23 pasang. Salah satu pasang daripada jumlah tersebut berfungsi untuk menentukan struktur badan manusia mengikut jantina. Ia dikenali senagai sex chromosomes. Pasangan kromosom tersebut dikenali sebagai XY untuk lelaki dan XX untuk perempuan. Mereka dipanggil kromosom X atau kromosom Y kerana bentuknya menyerupai huruf X atau Y, jika dilihat di bawah mikroskop yang canggih.
Kromosom-Y membawa genetik yang akan memberikan ciri-ciri lelaki, manakala kromosom-X membawa genetik yang akan memberikan ciri-ciri wanita untuk seseorang anak. Di dalam benih ibu, setiap sel ovum akan membahagi dua untuk mereima kehadiran sperma daripada baoa. Maka sel yang mempunyai kromosom XX akan masing-masing membawa kromosom X setiap satu. Manakala benih lelaki yang asalnya XY akan berpecah menjadi X dan Y.
Maka jantina seseorang anak bergantung kepada kromosom lelaki, sama ada sperma yang membawa kromosom-X atau kromosom-Y. Jika ovum itu disenyawakan oleh sperma yang membawa kromosom-Y, maka akan terhasillah genetik XY yang menjadikan jantina seseorang anak itu lelaki. Jika ovum disenyawakan oleh sperma yang membawa kromosom-X, maka akan terhasil genetik XX dan anak tersebut ialah perempuan.
Semua proses-proses ini tidak diketahui sehinggalah manusia mula mengkaji sel-sel dan menemui kromosom dalam bidang genetik pada abad ke-20. Namun, empat belas abad sebelum bidang genetik dikaji dan diketahui umum, al-Quran telahpun memberikan kita satu informasi yang hebat mengenai ilmu genetik ini.
Gambarajah di atas menunjukkan bagaimana proses penentuan jantina berlaku. Sel-sel sperma yang asalnya mempunyai 46 kromosom iaitu 44XY membahagi kepada 22X dan 22Y. Manakala ovum membahagi menjadi 22X untuk disenyawakan oleh sperma yang sama ada 22X atau 22Y. Maka jantina anak ditentukan oleh sperma, yang mensenyawakan ovum tersebut, sama ada 22X atau 22Y.
Ovum tidak berkuasa untuk memilih. Ia hanyalah 'tuan rumah' yang mana nanti anak akan ditentukan oleh 'tetamu' yang datang kepadanya. Jika sperma yang mempunyai genetik 22X mensenyawakan ovum, maka hasilnya ialah benih yang mempunyai genentik 44XX dan anak itu perempuan. Manakala jika sperma itu adalah 22Y, maka genetik anak ialah 44XY dan jantinanya ialah lelaki.
Semoga penjelasan ini dapat membetulkan tanggapan salah terhadap penentu jantina anak dalam kandungan.
Sumber rujukan : Dr Farhan Hadi Taib di Solusi ISU#26 dan Boy or girl? It's in the father's genes.
Capaian entry berkaitan :
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...