Umat Islam mesti urus kewangan dengan bijak hindar perbelanjaan melampaui pendapatan
ALIRAN dunia hari ini menyediakan hutang dalam pelbagai bentuk sedikit sebanyak mampu mengaburkan mata sesiapa saja yang mudah terpedaya. Tidak salah berhutang, tetapi sikap ambil mudah tanpa mengukur kemampuan sendiri adalah musuh utama.
Tujuan kita bekerja bagi mencari rezeki menampung kehidupan. Justeru, gaji yang diterima sama ada sikit atau banyak, adalah rezeki dikurniakan Allah. Tanpa membandingkan dengan orang lain, kita patut syukur dan bermuhasabah atas setiap kurniaan-Nya. Jika masih tidak cukup memenuhi keperluan dan kehendak, kita harus berusaha lebih keras bagi mencapainya. Jika berlebihan, sebaiknya berkongsi rezeki itu dengan golongan memerlukan.
Kita dibenarkan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan melalui zakat, galakan memberi sedekah dan hutang. Orang yang memberi lebih baik daripada yang menerima kerana rezeki yang dikongsi meringankan beban orang lain.
Malangnya ada segelintir umat Islam suka berhutang untuk bermewah-mewah. Ada juga yang tidak mampu melangsaikan hutang mengikut waktu ditetapkan, tetapi masih suka berhutang. Malah, hutang menjadikan seseorang itu malas bekerja kerana berasa cukup dengan apa yang dimiliki.
Ada pula berhutang untuk melakukan maksiat kepada Allah. Mereka taksub kepada harta dunia hingga berhutang melampaui kemampuan membeli rumah besar, kereta mewah dan melancong. Malah, ada yang berhutang untuk mendapatkan modal perniagaan skim cepat kaya, yang akhirnya memakan diri sendiri.
Memang benar keperluan hari ini melebihi pendapatan diperoleh. Justeru, perlu bekerja keras dan menguruskan kewangan dengan bijak. Menggunakan kad kredit bukan penyelesaian, malah menjadi perangkap menggalakkan berhutang walaupun tidak perlu. Jualan barangan menawarkan skim ‘guna dulu bayar kemudian’ juga strategi hutang yang akhirnya membebankan pembeli.
Sikap mengukur baju di badan sendiri perlu diamalkan bagi mengelak diri dibelenggu masalah kewangan yang akan membebankan apabila hutang dituntut kelak. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan adalah makhluk yang kufur kepada Tuhan-Nya.” (Surah al-Israa’, ayat 26-27)
Banyak masalah rumahtangga timbul disebabkan hutang sehingga menyebabkan perceraian dan pertelingkahan berpanjangan, menyukarkan pembahagian harta sepencarian serta membayar nafkah. Paling menyakitkan, bekas suami mewariskan bebanan hutang kepada bekas isteri.
Tidak salah berhutang kepada tiga golongan memerlukan iaitu orang menanggung beban dan hutang membolehkannya membayar tanggungan itu. Kedua, orang yang terbukti miskin dan hutang membolehkannya mendapatkan sumber untuk meneruskan kehidupan. Yang terakhir ialah orang ditimpa bencana sehingga harta bendanya musnah dan hutang membolehkannya mendapatkan sumber untuk memulihkan kehidupannya seperti sedia kala.
Walaupun hutang simbol penghinaan, ia dibenarkan tetapi perlu diingat hikmah hutang dalam Islam bagi membolehkan orang mengalami kesusahan mencukupkan keperluan hidup sehingga membolehkannya menunaikan ketaatan kepada Allah SWT.
Ramai lupa hakikat ini dan menjadikan hutang jalan keluar daripada kesempitan tanpa memikirkan hikmah Allah SWT membenarkan hutang sebagai peringatan supaya sentiasa berada di jalan-Nya.
Semoga menjadi renungan kita bersama...
Sumber : BHarian 16/12/2010
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, Disember 17, 2010
Ukur kemampuan elak perangkap hutang
Susunan :
Bawang Goreng
pada
12/17/2010 10:37:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...