“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Disember 08, 2010

Pelaku musahaqah boleh dikenakan hukum sebat


Nafsu songsang pasangan lesbian jika tidak dibendung mampu runtuhkan institusi perkahwinan

AHAD 6/12 yang lalu , Harian Metro melaporkan golongan lesbian menggunakan laman sosial Facebook untuk mencari kenalan baru, mengadakan parti liar di kelab malam atau di rumah. Lesbian dalam Islam disebut sebagai musahaqah, iaitu melakukan perbuatan seks antara perempuan dengan perempuan dengan menggeselkan kemaluan sehingga mendatangkan berahi.

Islam jelas mengharamkan musahaqah. Dari Abu Musa katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Bila lelaki menyetubuhi lelaki maka keduanya berzina, dan bila wanita menyetubuhi wanita maka kedua-duanya juga berzina.” (HR Al-Baihaqi dalam Syu’abil Iman)

Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni berpendapat, jika bergesel dua wanita maka kedua-duanya melakukan zina berdasarkan apa diriwayatkan daripada Nabi yang bersabda bermaksud, “Apabila seorang wanita mendatangi (menyetubuhi) seorang wanita maka keduanya berzina.”

Imam Al-Alusi dalam kitab Ruhul Ma’ani, berpendapat Sihaq (lesbian) termasuk dalam kategori liwat seperti yang terjadi pada kaum Luth, iaitu seorang wanita menyetubuhi wanita. Dalam hadith Hudzaifah r.a. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya benarlah ucapan (Allah SWT) atas kaum Luth tatkala kaum wanita (daripada mereka) merasa cukup dengan wanita dan kaum lelaki merasa cukup dengan lelaki.”

Para Fuqaha sepakat musahaqah tidak dikenakan hukuman hudud. Ia dikategorikan kesalahan ta’zir, kerana ia perbuatan maksiat yang tidak menepati takrif atau maksud zina secara tepat dan sempurna yang membolehkan pelakunya dikenakan hudud. Ia adalah zina secara umum, seperti zina mata, zina tangan, zina kaki, dan zina mulut serta boleh dikenakan hukuman ta’zir.

Musahaqah berlaku disebabkan terpengaruh dengan budaya liar, berpunca daripada tindakan membaca atau menonton bahan lucah, akhirnya melahirkan perasaan ingin mencuba dan terjerumus. Mereka tidak mahu memikul tanggungjawab dan komitmen suami isteri. Saya pernah menemubual pelaku musahaqah. Mereka suka berpasangan sesama wanita kerana tiada risiko mengandung. Mereka juga menyukai pasangan wanita pasangan yang memahami dan menghargai berbanding lelaki.

Apa pun alasan, ia lahir daripada pemikiran pelaku musahaqah yang sebenarnya terpedaya dengan tipu daya syaitan. Pelaku musahaqah juga Muslim yang kufur terhadap nikmat dijadikan Allah dan mereka ini akan diazab Allah di akhirat kelak, jika tidak bertaubat. Firman Allah bermaksud, “Dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras.” (Surah Ar-Ra’d [13]: 34)

Pelaku musahaqah boleh dikenakan hukuman sebatan menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Seksyen 26 Akta itu memperuntukkan ‘Mana-mana wanita yang melakukan musahaqah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.’

Pelaku musahaqah yang berpelukan atau berciuman sesama wanita di tempat awam juga boleh dibendung dengan diambil tindakan undang-undang. Menurut Seksyen 29 akta sama, diperuntukkan ‘Mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syarak di tempat awam adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.’

Pihak yang mengadakan aktiviti dengan tujuan menganjurkan, mendorong atau menggalakkan aktiviti maksiat juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Pengendali laman maya yang dikatakan memudahkan golongan musahaqah mencari kenalan dan bertukar-tukar pasangan dalam tempoh singkat, dan kemudian membawa kepada aktiviti seperti parti seks lesbian boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 35 akta itu yang memperuntukkan, ‘Mana-mana orang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain melakukan maksiat adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.’

Perlakuan musahaqah jika tidak dibendung akan meruntuhkan institusi perkahwinan kerana pelaku musahaqah tidak berminat dengan perkahwinan. Pelaku musahaqah juga terdedah dengan pelbagai pelbagai penyakit fizikal dan mental, serta akan mendapat balasan azab di dunia dan akhirat.

Sumber : Peguam Syarie Tuan Musa Awang di BHarian 08/10/2010


0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails