Generasi muda perlu digalak meraikan kedatangan Awal Muharam dengan azam baru
KALENDAR Masihi berganjak ke tahun 2011 dalam tempoh kira-kira tiga minggu lagi. Kedatangan tahun baru itu pasti disambut meriah di segenap pelosok negara. Kanak-kanak antara yang tidak ketinggalan meraikan kedatangan tahun baru ini. Ada ibu bapa membawa anak ke lokasi tertentu untuk mengira detik waktu tepat jam 12 malam atau menonton siaran langsung di televisyen. Ini disusuli tembakan bunga api, konsert dan sebagainya.
Namun, berapa ramai ibu bapa Islam menggalakkan anak untuk meraikan kedatangan tahun baru Hijrah atau Maal Hijrah?
Jika anak begitu lancar menghafal nama bulan dalam kalendar Masihi, apakah mereka mampu mengingati nama dan susunan bulan dalam kalendar Hijrah? Adakah anak kita diajarkan mengenai sejarah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat daripada sambutan awal Muharam ini? Kebetulan pula sambutan Awal Muharam (1 Muharam 1432H) kali ini jatuh pada 7 Disember lalu iaitu hanya berselang beberapa minggu lebih awal daripada sambutan tahun baru 2011. Maka wajar umat Islam menerapkan dan mengajak anak menghayati kesyumulan dan kesempurnaan ajaran Islam, termasuk dalam menyambut kedatangan Muharam dan inti pati sambutannya.
Hijrah dalam konteks bahasa bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat lain. Secara konsepnya ia usaha mengubah nasib atau keadaan sedia ada kepada keadaan lebih baik lagi. Hijrah seseorang jika disertakan dengan usaha, kesungguhan dan penyerahan kepada Allah maka dirinya dijanjikan kejayaan dan ganjaran pahala. Ia selaras firman Allah bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’: 100).
Anak perlu didedahkan bahawa berdasarkan lipatan sejarah Islam, sahabat Nabi iaitu Saidina Umar al-Khattab ialah orang bertanggungjawab mengasaskan penggunaan kalendar Islam berdasarkan peristiwa penghijrahan Rasulullah dari Makkah ke Madinah. Peristiwa hijrah diiktiraf sebagai permulaan bulan dalam kalendar Islam. Peristiwa itu berlaku pada tahun 622 mengikut kalendar Masihi. Anak perlu diberitahu, peristiwa penghijrahan Rasulullah adalah bertunjangkan kepada ketaatan terhadap perintah Allah di mana sebagai umat Islam yang beriman, seseorang perlu melaksanakan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa dilarang-Nya.
Selain itu, ada banyak prinsip mulia yang perlu dididik kepada anak di sebalik konsep hijrah. Menjadi kelaziman apabila masuk saja tahun baru, kebanyakan orang akan mewujudkan azam baru untuk menjadi lebih baik dan sempurna dalam serba-serbi berbanding tahun sebelumnya. Begitu juga, perlu diterapkan dalam diri anak bahawa dalam mendasari anjakan tahun baru Hijrah, membentuk azam baru biar berpaksi kepada perubahan atau penghijrahan ke arah kebaikan.
Misalnya, jika anak kurang berjaya dalam peperiksaan maka mereka perlu membentuk azam memperbaiki kualiti pembelajaran dengan belajar lebih tekun dan gigih. Hijrah mengajar anak memperbaiki kesilapan diri dan tidak cepat berputus asa untuk menuntut ilmu.
Anak perlu difahamkan bahawa hijrah mengajar manusia membentuk perpaduan, tolong-menolong dan hormat-menghormati sesama insan tidak kira usia, bangsa mahupun agama. Dengan cara itu, anak akan terasuh menjadi modal insan yang mempunyai akhlak terpuji seiring dengan ketinggian martabat dan ilmu pengetahuan yang dimiliki. Konsep hijrah juga berkesan mendidik anak untuk sabar dan tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan diri akibat kecewa dengan sebarang kegagalan, misalnya terjebak dengan gejala ponteng sekolah, merempit atau mengagih dadah.
Akhirnya, konsep hijrah berupaya membentuk peribadi anak menjadi insan yang sentiasa yakin dengan ketentuan Allah dan bertawakal selepas gigih melakukan sesuatu usaha ke arah kebaikan. Ini selaras dengan konsep tawakal Rasulullah ketika berhijrah ke Madinah dan berusaha mengelakkan ancaman bunuh kaum Musyrikin Makkah.
Allah menjanjikan ganjaran lumayan buat hamba-Nya yang berserah dan bertawakal.
Segala pengajaran dan prinsip diserlahkan melalui peristiwa hijrah Rasulullah perlu dibudayakan secara istiqamah atau berterusan dalam kehidupan anak. Sempena Maal Hijrah 1432 ini, marilah kita mengajak anak meraikannya dengan melakukan muhasabah diri, perbetulkan kesilapan, perbanyakan amalan mulia dan berusaha bersungguh-sungguh meraih keredaan Allah.
Renung-renungkan....
Artikel dari pensyarah Khairunneezam Mohd Noor di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, sumber : BHarian 11/12/2010
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Sabtu, Disember 11, 2010
Mendidik anak hayati peristiwa hijrah Rasulullah
Susunan :
Bawang Goreng
pada
12/11/2010 04:40:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...