“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Disember 01, 2010

Tiada orang ketiga dalam kes cerai


Suami, isteri perlu elak konflik demi keharmonian rumahtangga

PERCERAIAN bukan satu perkara yang disukai Allah. Banyak kesan buruk timbul daripada perceraian. Antaranya, anak akan kehilangan kasih sayang penuh ibu atau bapa, masalah moral anak dan tekanan emosi pihak yang bercerai.

Oleh itu, tidak hairan walaupun diharuskan, perceraian tidak disukai Allah. Namun, bagi pihak yang mengalaminya, perceraian adalah jalan penyelesaian yang perlu diambil bagi menamatkan konflik rumahtangga. Antara faktor berlaku perceraian dikaitkan dengan pihak ketiga yang mungkin kekasih suami atau isteri, ibu bapa atau mentua, sahabat handai dan rakan sekerja. Disebabkan desakan pihak ketiga ini, secara tidak langsung menyumbang berlaku perceraian.

Apabila wujud pihak ketiga, timbul persoalan sama ada suami atau isteri boleh mengambil tindakan undang-undang mengheret pihak berkenaan ke Mahkamah Syariah. Undang-undang syariah negara tidak mempunyai peruntukan khusus mengaitkan pihak ketiga atas pembabitan secara langsung atau tidak langsung sehingga rumahtangga itu bergolak seterusnya berlaku perceraian.

Melihat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah yang terletak bawah bidang kuasa negeri hanya ada bidang kuasa dalam hal berkaitan agama Islam seperti diperuntukkan bawah Jadual Sembilan, Senarai 2, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam juga tidak terdapat sebarang peruntukan khusus yang membolehkan seorang isteri yang diceraikan disebabkan pihak ketiga menyaman pihak ketiga itu.

Namun, Enakmen Jenayah Syariah mempunyai peruntukan yang boleh mengaitkan pihak ketiga di bawah Kesalahan Pelbagai, Enakmen Jenayah Syariah, contohnya Enakmen No. 9 Tahun 1995, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bahagia V – Kesalahan Pelbagai.

Seksyen 32 enakmen itu memperuntukkan pihak yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya pergi atau dengan apa-apa cara lain mempengaruhinya supaya meninggalkan rumah tangga adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan bersuami itu kembali kepada suaminya.

Seksyen 33 enakmen itu memperuntukkan adalah menjadi satu kesalahan jika sesiapa yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami atau isteri dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau dipenjarakan selama dua tahun atau kedua-duanya sekali. Mahkamah juga hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang bernikah dengan sah.

Selain itu, adalah menjadi suatu kesalahan mengikut seksyen 34 enakmen sama jika sesiapa yang menghasut, memaksa atau memujuk suami atau isteri supaya bercerai, mengabaikan kewajipan atau tanggungjawabnya jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Melihat peruntukan berkenaan, jelas menunjukkan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa khusus berkaitan dengan apa-apa saman terhadap pihak ketiga yang dipercayai mengakibatkan perceraian.

Bagaimanapun, pihak yang merasa teraniaya disebabkan pihak ketiga boleh mengambil tindakan dengan mengadu ke bahagian penguat kuasa agama supaya mereka disiasat, seterusnya boleh didakwa oleh Bahagian Pendakwa Syarie jika terbukti terbabit dengan kesalahan dinyatakan. Namun, mereka tidak boleh menyaman pihak ketiga di bawah tindakan mal (sivil) ke Mahkamah Syariah disebabkan tiada sebarang peruntukan membenarkannya.

Justeru, apa yang penting bukan tindakan saman menyaman. Asas utama dalam rumahtangga adalah pembentukan keluarga yang harmoni. Pasangan suami dan isteri seharusnya berusaha mengelak timbulnya konflik dalam rumahtangga serta menghargai pasangan masing-masing. Walaupun orang ketiga dikatakan sebagai punca kepada perceraian, tetapi harus diingat kata pepatah, ‘bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi’.

Yang pastinya, keluarga adalah asas kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, institusi kekeluargaan harus ditadbir dengan baik kerana keluarga yang mantap dan stabil dapat menyumbang kepada keharmonian negara.

Sebarang tindakan atau perkara yang boleh mengundang kepada konflik wajar dielakkan supaya tidak menyumbang kepada kadar perceraian di negara kita.

Penulis artikel ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).



Rujukan : Peguan Syarie Mohamad Isa Abd Ralip di BHarian 01/12/2010

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails