Sebenarnya mencari atau mendapatkan seorang suami idaman itu lebih penting daripada mendapatkan isteri idaman. Ini kerana suami yang akan menjadi pemimpin kepada isteri, yang akan membimbing dan menentukan hala tuju kehidupan mereka sebagai suami isteri. Hal ini Allah jelaskan dalam firman-Nya, "Kaum lelaki adalah pemimpin atas kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka daripada sebahagian yang lain." (Surah an-Nisaa', ayat 34)
“Beruntung kamu Liza, dapat suami macam Zul. Sabar, ringan tulang membantu kerja-kerja rumah, boleh tolong menjaga anak, boleh diharap memasak, romantik pulak tu. Tak macam suami aku, langsung tak mahu ambil tahu semua tu.”
Hemmm... keluhan sebegini mungkin kerap didengar tatkala para isteri berkumpul bersama teman. Ia bukan cerita baru, sebaliknya diungkit berulang kali. Ketika bersama teman, mulalah masing-masing membandingkan suami. Ada yang merasa suami kurang prihatin, ego, berat tulang dan macam-macam lagi kekurangan. Apakah ukuran suami yang idaman? Ukuran suami idaman menurut kata mata Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis Rasullullah SAW.
Suami sebagaimana yang sebenarnya dimahukan oleh seorang isteri? Kali ini disenaraikan ciri-ciri suami yang amat didambakan oleh isteri di luar sana.
1 – Sedia mendengar
Ada telinga tapi tidak semestinya kita mendengar. Sama juga dengan lelaki bergelar suami. Walaupun isteri berbicara di sebelah, tapi belum tentu dia mengambil perhatian tentang apa yang diperkatakan oleh si isteri. Seorang isteri sebenarnya mahukan suami yang sedia mendengar cerita dan keluhannya. Ramai isteri merungut bahawa suami sering kali mahu isterinya mendengar kata-katanya, sebaliknya suami pula tidak pernah mahu mendengar perasaan dan keluh kesah isterinya. Lebih malang, isteri baru saja mahu membuka mulut sudah dijawab, “Jangan membebel.”
Walaupun isteri hanya sebagai seorang suri rumah, namun mereka juga berhadapan dengan masalah yan gmahu dikongsi bersama suami tercinta setiap hari. Tentang anak yang nakal, ataupun cerita ketandusan ideanya untuk memasak. Bagi isteri yang bekerjaya apatah lagi. Sudah tentu lagi banyak perkara yang hendak diceritakan bersama suami. Dari rakan sekerja yang suka bergosip hinggalah tentang bos yang cerewet di pejabat.
Mendengar keluahan dan rintihan isteri, akan mengurangkan tekanan yang dialami isteri. Wanita yang dijadikan Allah lebih kuat emosinya berbanding kaum lelaki, memerlukan sokongan suami untuk meredakan ketegangan perasaan yang dialaminya. Kesediaan suami mendengar luahan hatinya akan menjadikan hatinya terhibur dan kembali ceria.
Tetapi kadang-kadang bagi suami, masalah isteri sebegini dilihat tidak penting sehingga mereka malas mendengarnya. Pada hal yang diinginkan oleh si isteri hanyalah cerita mereka didengari dan difahami. Tidak selalupun mereka mahukan buah fikiran daripada suami.
2 – Sentiasa menambah ilmu rumahtangga
Selalunya isterilah yang lebih gemar mencari info-info tentang ilmu rumahtangga, namun sebenarnya adalah lebih elok jika ia dilakukan oleh ketua keluarga itu sendiri yakni suami. Ilmu ini sudah tentu berguna dalam membimbing isteri dan keluarga, sekaligus mencetuskan rasa hormat yang lebih tinggi di hati isteri terhadap suaminya.
Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: ‘Berlapang-lapanglah dalam majlis’, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: ‘Berdirilah kamu, maka berdirilah’, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Mujaadalah [058], ayat 11)
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Hadis riwayat al-Bazzar)
Bukankah suami itu pemimpin bagi isterinya? Sebagai seorang pemimpin, suami wajib memberi bimbingan dan memberi pendidikan kepada isteri dan seluruh ahli keluarganya agar tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Dalam usaha membimbing dan mendidik ahli kelaurga, maka sewajarnya seorang suami memperlengkapkan dirinya dengan ilmu yang mantap, terutamanya ilmu agama, tanpa ilmu, seorang suami akan gagal dalam tugasnya sebagai pemimpin dan gagal memelihara diri dan ahli keluarganya daripada bakaran api neraka.
3 – Menghargai
Setiap manusia pasti ingin dihargai. Tidak hanya suami ingin dihargai isterinya, wanita yang bergelar isteri juga ingin dihargai suami mereka. Bentuk penghargaan yang diminta pula bukannya besar atau mahal. Mulakan dengan perkara kecil seperti ucapan terima kasih semasa isteri menyediakan kopi di waktu petang hari atau memuji masakan isteri yang sememangnya sedap. Suami juga dapat menunjukkan penghargaannya dengan cara memberikan privasi buat isteri. Misalnya suami memahami dan tidak keberatan memberi keizinan sewaktu isteri meminta waktu bertemu rakan, ahli keluarga mahupun ke spa.
4 – Tidak sentiasa menyalahkan
Isteri juga manusia seperti anda. Pasti melakukan kesalahan ataupun bertindak salah. Sewaktu ternyata isteri tersilap, suami sebaiknya janganlah terus merungut, marah-marah dan terus menyalahkan hingga mencalarkan emosi pasangan. Daripada menarik muka masam, ada baiknya minta penjelasan daripada isteri tentang mengapa ia berlaku sambil memberikan nasihat. Jangan lupa tetap memberikan senyuman.
5 – Mampu menahan marah
Orang yang mampu menahan marah itu adalah orang yang kuat. Sifat suami yang mampu menahan marah apabila berhadapan dengan pelbagai karenah dan masalah dalam rumahtangga, amat penting bagi mengekalkan suasana harmoni dalam rumahtangga. Sekiranya suami bersikap panas baran, ia hanya akan menyemarakkan sikap bermusuhan dan rasa tidak puas hati di pihak isteri.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Orang yang kuat di kalangan kamu, ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya ketika marah, dan yang sabar di kalangan kamu ialah orang yang boleh memberi maaf ketika berkuasa.” (Hadis riwayat Ibn Abid Dunya)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud, “Sesiapa yang sabar menghadapi perlakuan buruk iterinya, Allah akan memberi balasan pahala seperti yang diberikan-Nya kepada Nabi Ayub a.s. atas ketabahannya menghadapi cubaan dan sikap isterinya, manakala isteri yang sabar menghadapi perlakuan buruk suaminya, Allah akan memberi balasan pahala seperti yang diberikan-Nya kepada Asiah, isteri Firaun.”
Diriwayatkan suatu ketika Aisyah r.a. telah menolak Rasulullah SAW lalu dimarahi oleh ibunya. Maka Rasulullah bersabda, “Biarkanlah kerana dia akan berbuat lebih banyak daripada itu.” (al-Iraqi)
6 – Sayang diri sendiri
Kalau suami menyayangi isteri dan anak-anaknya, maka dia harus menjaga dirinya. Sayangi diri dengan menjaga kesihatan, pemakanan, meluangkan masa untuk bersenam, mendapat tidur yang cukup serta tidak merokok.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim, apatah lagi di antara suami isteri dan anak-anak. Belaian dan layanan yang mesra akan melahirkan suasana yang mesra, harmoni dan tenang dalam kehidupan. Oleh itu Islam amat menekankan tentang pentingnya nilai kasih sayang dalam sistem kekeluargaan dan juga kehidupan bermasyarakat Antara tumpuan (bentuk) kasih sayang itu adalah:
- Ucapan dan kata-kata yang menggunakan perkataan yang manis dan bersopan.
- Melalui sentuhan yang lemah lembut.
- Melalui pujukan, pujian, penghargaan dan senyuman
7 – Boleh menerima pendapat isteri
Walaupun suami berperanan sebagai ketua keluarga, namun itu bukan bererti suami boleh bertindak sewenang-wenangnya atau membuat keputusan tanpa mengambil kira pandangan atau pendapat isteri. Namanya sudah suami isteri, maka kesepakatan adalah perlu dalam memutuskan perkara yang berkaitan kepentingan keluarga, apatah lagi ia akan memberi kesan yang besar. Apapun keputusan penting yang akan diambil oleh suami, sebaiknya berbincanglah dengan isteri. Melalui perbincangan ini, suami isteri dapat menyatukan matlamat dan paling penting kata sepakat dalam keluarga akan mudah dicapai.
Apabila berlaku perselisihan faham dalam keluarga, suami hendaklah berbincang dan mendengar apa yang ingin dikatakan oleh isteri. Sebarang tindakan atau keputusan yang hendak diambil, dilakukan setelah mengambil kira pandangan seluruh ahli keluarga. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan, suami akan lebih dihormati oleh isteri dan anak-anak, dan akan terbentuklah keluarga yang harmoni dan penuh kasih sayang.
Anas r.a. mengenengahkan saebuah riwayat bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak akan pernah rugi orang yang beristikharah dan tidak akan pernah menyesal orang yang bermusyawarah (berbincang).” (Hadis riwayat Tabrani daripada Anas)
Perintah Allah SWT agar suami mendengar pandangan isteri telah difirman oleh-Nya yang bermaksud, “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah ali-‘Imran [003], ayat 159)
Allah SWT memuji orang-orang beriman yan gsuka bermusyawarah dalam firman-Nya yang bermaksud. “Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan salat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah asy-Syura [042], ayat 38)
Jelas, bahawa Allah SWT meminta kaum lelaki agar bermusyawarah atau berbincang dengan isteri apabila berlaku perselisihan faham antara mereka.
8 – Pulang dengan senyuman
Tekanan di tempat kerja selalunya membuatkan suami stres. Begitu juga jika seharian melakukan kerja yang meletihkan di tempat kerja. Tetapi tidak perlulah perasaan itu dibawa kembali ke rumah. Tinggalkan masalah pejabat di pejabat sahaja. Pulanglah ke rumah dengan senyuman dan bukannya dengan wajah yang masam mencuka atau muram durja. Isteri sudah tentu sedih dan keliru melihat suami berkeadaan begitu.
Dalam pada itu, jangan juga menjadikan isteri sebagai sasaran stres, dengan memarahinya setiap kali tertekan dengan masalah pejabat. Adalah lebih elok berkongsi masalah tersebut dengan isteri. Mereka sebenarnya suka dan rela mendengarnya. Apabila suami sanggut berkongsi cerita, isteri bukan saja dapat memberi sokongan dan pengertian malah dia sendiri akan berasa diri diperlukan suami.
9 – Romantis
Isteri mana yang tidak bahagia punya suami yang penuh dengan kasih sayang, perhatian dan romantis. Memang agak sukar mengharapkan suami meluah dan menunjukkan rasa sayang serta cinta pada isteri setiap hari, tapi sekurang-kurangnya suami mempamerkannya pada hari-hari istimewa sang isteri. Antaranya seperti pada hari lahir dan ulang tahun perkahwinan. Mengirimkan SMS berisi kata cinta mahupun memberikan hadiah sudah cukup membuatkan isteri berasa bahagia dan beruntung.
Sikap romantik seorang suami terhadap isteri adalah sifat yang digalakkan dalam Islam. Ia adalah menyubur kasih sayang antara suami dan isteri. Sifat ini perlulah dikekalkan sepanjang masa, walaupun ketika usia semakin tua. Sikap romantik lahir dari hati yang kaya dengan kasih sayang. Ia adalah manifest daripada akhlak mulia yang terpancar melalui percakapan dan perbuatan sehari-hari. Sikap ini bukan sekadar perlu dilahirkan di bilik tidur, sebaliknya di mana-mana dan bila-bila masa, selagi ia berada dalam batas kesopanan adab Islam.
Menurut kajian Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dalam “Petua Menjadi Pasangan Romantik”, orang lelaki cenderung kepada kegiatan seksual berbanding orang perempuan yang cenderung kepada sikap romantik suami. Belajarlah jadi suami yang romantik agar anda lebih disayangi isteri.
10 – Membantu urusan rumahtangga dan anak
Inilah suami idaman lebih-lebih lagi buat wanita yang bekerjaya. Kesibukan kerja membuatkan ramai isteri tidak menang tangan melakukan kerja di rumah. Oleh itu bantuan suami amatlah dialu-alukan. Lagipun rumahtangga itu milik suami isteri, sebarusnya urusannya dibahagi berdua. Walaupun sekadar menyidai kain di ampaian, bantuan seperti itu sebenarnya amat dihargai isteri. Ingat, isteri bukan hamba suaminya. Seorang suami yang perihatin dan bertimbangrasa tidak akan membiarkan isteri melakukan segala kerja rumah kerana ia bukanlah tugas mutlak isteri. Sila rujuk capaian berkaitan untuk penjelasan lanjut :
1. Benarkah Tugas Istri Itu Mengurus Rumahtangga?
2. Suami Isteri Bekerja
3. Nafkah isteri - Kewajipan Suami Menyediakan Pembantu
11 – Tidak cerewet
Menurut satu kajian, suami yang baik adalah seorang yang mudah, ringkas dan tidak cerewet terutama sekali dalam bab makan minum dan sebagainya. Sifat-sifat demikian akan memmudahkan isteri untuk melaksanakan tanggugjawabnya sebagai seorang isteri. Seorang suami mestilah mempunyai fikiran berbuka untuk menereima isterinya yang mempunyai kemampuan/keupayaan yang terbatas.
Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik, seorang suami ayng mudah dan tidak cerewet. Rasulullah sentiasa berlapang dada dan bersabar terhadap apa jua keadaan dalam rumahtangga baginda. Jika baginda mendapati di rumah tiada makanan, maka baginda akan berpuasa. Jika ada makanan seperti roti tetapi tiada lauknya, maka baginda akan makan dengan kurma atau cuka. Begitu juga dalam hal-hal yang lain, baginda tidak pernah merungut atas apa-apa kekurangan isteri-isteri baginda.
Pernahkah anda mendengar kisah ini? Aisyah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering datang ke rumahnya pada waktu pagi dan bertanya, “Ada sesuatu yang boleh dimakan?” Saya sering menjawab, “Tidak ada apa-apa, ya Rasulullah.” Maka baginda akan berkata, “Kalau begitu, aku akan berpuasa.” Pernah pada suatu masa saya berkata, “Seseorang telah mengirimkan kita makanan.” Baginda bertanya, “Apa itu?” Saya katakan, “Kuih daripada kurma.” Baginda berkata, “Aku mengira akan berpuasa.” Lalu baginda makan kuih tersebut dan memutuskan tidak berpuasa pada hari tersebut.
Ummu Hani meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW datang berkunjung ke rumahnya pada hari baginda memasuki Makkah lalu bertanya, “Adakah kamu mempunyai sesuatu untuk dimakan?” Saya menjawab, “ Ya Rasulullah, hanya ada kerak roti kering.” Baginda berkata, “Itupun cukup bagus.” Saya menyajikannya dan baginda mencelupkannya ke dalam air lalu menaburkan garam di atasnya. Kemudian baginda bertanya, “Adakah sesuatu untuk dimakan bersamanya?” Saya jawab, “Beberapa titis cuka hitam.” Baginda menumpahkan cuka itu ke atas roti dan memakannya lalu memuji Allah atas nikmat-Nya, seraya berkata, “Ummu Hani, cuka adalah lauk yang amat baik.”
Tidak susah sebenarnya untuk menjadi suami idaman. Apa yang penting, cekalkan hati dan kuatkan iman. Ayuh kaum lelaki, berubahlah demi kesejahteraan di dunia, insya Allah anda akan lebih senang di akhirat!
Renung-renungkan!
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...