Assalamualaikum warahmatullah,
Bilakah masanya para isteri mengalami kecemburuan yang melampau terhadap suami mereka? Saat berjauhan? Bila lama tidak disentuh? Ketika suami menjadi perhatian dara-dara jelita, sewaktu suami dinaikkan pangkat dan ramai peminat, atau suami berubah dari segi penampilan dan imej, atau pun ketika suami tidak peduli?
Dari Aisyah r.a., isteri Rasulullah SAW, dia menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW pergi dari rumahnya (dari rumah Aisyah). Kata Aisyah, "Kerana itu aku cemburu kepada beliau." Setelah beliau kembali, dia memperhatikan tingkahlaku ku dan baginda bertanya, "Mengapa engkau hai Aisyah, cemburukah?" Jawabku, "Bagaimana wanita seperti aku tidak akan cemburu terhadap lelaki seperti anda?" Tanya baginda SAW, "Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?" Jawab Aisyah, "Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?" Jawab baginda, "Ya!" Aku bertanya, "Aku sendiri juga?" Jawab baginda, "Ya! Tapi aku dilindungi Tuhanku sehingga aku selamat." (Hadis riwayat Muslim)
Pendekatan tipu daya syaitan adalah pelbagai. Ini bergantung kepada jenis manusia yang mereka dekati. Mereka membelit orang berilmu melalui ilmunya, sedangkan ahli ibadat dihasut dengan amalnya. Orang yang kaya dirosakkan dengan harta bendanya, sedangkan orang yang miskin lebih dekat dengan kekufuran disebabkan kesusahan yang dialaminya. Hadis di atas menerangkan bahawa setinggi mana pun ilmu dan sebanyak mana pun amalan yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat menjamin sepenuhnya bahawa ia akan selamat daripada tipu daya syaitan. Oleh itu Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya lebih bersabar dan bermujahadah melawan godaan syaitan laknatullah.
Isteri pun boleh cuba bangkitkan kecemburuan suami kepada anda dengan cara-cara di atas, tetapi jangan melanggar batas syariat, bimbang tidak selamat perkahwinan yang dimeterai. Cemburu bukan mainan, ia adalah perasaan semulajadi yang dikurniakan Allah SWT kepada para pencari cinta. Cemburu boleh jadi buruk padahnya, jika tidak diuruskan dengan baik. Oleh itu ketahuilah teknik menguruskan cemburu :
1 – Periksa Fakta
Jangan berprasangka jika tidak ada fakta. Akan tetapi, ramai isteri yang cukup menggunakan kata hati mereka untuk mengetahui kejujuran suami. Fakta amat penting untuk mempastikan segala-galanya benar atau tidak. Dengan mencari fakta, anda tidak akan terbelenggu oleh permainan kata hati yang tidak pasti. Jika sudah jumpa kebenaran dengan mata dan bukti ynag kukuh, barulah boleh mengambil langkah selanjutnya. Selagi anda belum berjumpa fakta atau bukti, anda tidak boleh menemui jalan terang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Cemburu itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci-Nya. Yang disukai Allah ialah cemburu di dalam keraguan dan yang dibenci-Nya ialah cemburu yang tidak dalam keraguan.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Cemburu dalam keraguan maksudnya, hanya menyangka dan masih percaya kebaikan pada pasangannya. Cemburu yang tidak dalam keraguan pula bermaksud tuduhan melulu tanpa fakta atau bukti yang nyata.
2 – Menjadikan semua kawan wanita suami sebagai kawan rapat anda
Waaa... yang ini pelik nih! Pernahkah anda mendeganr istilah ‘teman tapi mesra’? suatu hari anda menerima mesek SMS daripada seorang wanita yang tersalah kirim ke telefon bimbit anda. Rupa-rupanya dia telah rapat dengan suami anda kerana insiden yang terjadi di antara mereka. Mereka sering mencurahkan perasaan dan bertukar-tukar pandangan. Apabila ditanya kepada suami anda, dia berkata wanita itu ‘teman motivasi’ biasa yang tidak ada keistimewaannya.
Bagaimana anda akan melalui keadaan ini? Saya syorkan anda ikut terbabit sama dalam ikatan mereka. Mintalah suami memperkenalkan anda lebih jauh dengannya dan jadikan dia sebagai sahabat anda. Pastikan anda menyatakan isie hati anda kepada suami, “Saya amat cemburu.” Anda dan suami mesti berjanji, kawan suami adalah kawan anda juga, dan begitulah sebaliknya.
3 – Periksa apa kelemahan diri
Kadang-kadang wanita berfikir, lelaki melakukan kecurangan bukan atas sebab isteri, tetapi kerana ‘kegatalan’ semulajadi. Buktinya ramai yang beristeri cantik, muda dan kaya, tetapi masih ada suami ayng tidak puas juga. Sebenarnya pandangan sebegini tidaklah tepat 100%. Bagaimanapun, isteri mesti mengenal dirinya sendiri sebelum mengenali siapa suaminya.
Syurga bagi lelaki bukan hanya kecantikan luaran wanita tetapi aspek-aspek lain juga perlu diambil kira. Tidak hairanlah wujud isteri nombor dua yang kurang cantik daripada isteri tua, namun suami teap jatuh hati kepadanya. Mengapa? Kalau setiap isteri boleh terima hakikat bahawa mereka mesti memperbaiki diri terus menerus tanpa berhenti selagi berada di samping suami, insya Allah, suami boleh dijaga dengan baik. Tetapi, takkanlah isteri saja yang perlu memperbaiki diri, suami pula tidak? Terimalah hakikat, siapa yang mahu menguasai seseorang, dia harus lebih kuat daripada orang yang ingin dikuasainya. Kalau isteri kuat, hebat dan syurga di hati suami, insya Allah, suami rela dikuasai.
4 – Mengajak suami dekat kepada Allah SWT
Kejahatan manusia berpunca daripada hati yang tidak mengnal Allah Taala. Orang yang berzina, berjudi, minum arak, menipu, rasuah dan pelbagai kejahatan lain yang dilakukannya, semuanya berpunca daripada hilangnya iman di hati. Sebelum perbuatan suami lebih jahat daripada syaitan, pastikan anda memberi layanan iman di hatinya.
Jangan hanya pentingkan layanan makan, minum dan seks sahaja. Pada hal yang paling darurat ialah layanan iman. Tetapi ada suami yang baik hati, hanya mata keranjang saja dan sedikit-sedikit menipu. Apa pun jenis dosa, yang ringan dan berat, semua manusia wajib bertaubat. Seorang isteri yang solehah bertanggungjawab membawa suaminya menjadi lelaki yang soleh. Hatta seorang isteri seorang ustazpun wajib menasihati suaminya jika tersilap langkah, bermakna walaupun seorang ustaz tidak bermakna dia tidak melakukan dosa, apatah lagi seorang suami yang biasa-biasa saja pendidikan agamanya.
Jadikanlah rumah anda mesra ayat-ayat al-Quran, tidak pandai membaca? Beli cakera padat atau kaset dan mainkan di rumah supaya rahmat Allah SWT turun ke hati suami. Tunjukkan teladan yang baik, akhlak yang lembut dan bersopan ketikda memberi pandangan, didik anak dengan ajaran Islam yang sempurna, sentiasa tingkatkan ilmu dan perbaiki amal. Dan jangan putus harapan kepada Allah SWT, tetaplah setia berdoa agar Dia membuka hati suami ke jalan yang benar.
5 – Tetap ceria walaupun cemburu
Mustahil agaknya, tapi cubalah amalkan. Anggap cemburu itu sebgai senaman hati untuk menyegarkan cinta anda kepada suami. Bawa bertenang dan berzikir. Tiada sesuatupun yang berkuasa memberi manafaat dan mudharat melainkan Allah SWT. Pasakkan di hati, cukuplah Allah sebagai pelindungku. Suamiku, aku hanya cemburu kepadamu saat Allah sedang mencemburui dirimu. (Allah cemburu kepada hamba yang berpaling dari wajah-Nya, tenggelam dalam maksiat dan kelalaian).
Allah maha Cemburu
Dari Mughirah r.a. katanya, Saad bin Ubadah mengatakan, "Kalau sekiranya saya melihat lelaki berkelakuan serong dengan isterinya, nescaya lelaki itu saya tetak dengan pedang, bukan dengan punggungnya." Ucapannya itu sampai kepada Rasulullah SAW lalu baginda berkata, "Mengapa kamu hairan melihat cemburu Saad? Demi Allah aku lebih cemburu daripadanya. Dan Allah lebih cemburu daripadaku. Kerana itu dilarang-Nya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang atau pun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorang pun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memuji-Nya) dijanjikannya syurga." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Setiap apa yang menimpa diri kita ataupun orang lain daripada perkara-perkara berupa kesulitan dan sebagainya, semuanya berpunca daripada sikap kita yang meremehkan perintah Allah SWT, tidak menganggap penting dan tidak pempedulikan hak-hak Allah yang seharusnya dipenuhi oleh hamba-Nya. Oleh itu selaku manusia kita hendaklah memilki sifat al-Khouf dan ar-Roja’ kerana dengan memiliki kedua perasaan tadi manusia akan berfikir bahawa boleh jadi Allah akan menyiksanya atau merahmatinya.
Hal ini akan menggerakkan manusia untuk berbuat kebaikan sebanyak mungkin manakala dengan sifat al-Khouf pula akan mengekang manusia daripada melakukan perbuatan yang membahayakan keselamatan mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Sempurna dan manusia itu amat dhaif tanpa adanya pemberian ataupun nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Dengan itu manusia handaklah bersifat sebagai hamba yang sentiasa cemburu untuk mendapatkan kasih sayang dan rahmat Allah bukan bersaing mahu menempah kemurkaan Allah SWT.
Renung-renungkan!
Sumber : Dr Juanda Jaya dan tambahan sendiri
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Selasa, Jun 16, 2009
Cemburu senaman hati untuk kesegaran cinta
Susunan :
Bawang Goreng
pada
6/16/2009 09:29:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...