“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Jun 09, 2009

Tanggungjawab ibu bapa, masyarakat lahir generasi berakhlak

Oleh Wan Abd Rahim Abd Mohamad

TOKOH ulama terkenal, Prof Dr Yusuf Al-Qardawi berkata: “Apabila kita hendak melihat wajah rupa negara pada masa hadapan, lihatlah pada generasi hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan mereka yang berakhlak dan berhemah tinggi, maka tentunya negara pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman dan makmur. Tetapi jika keadaannya adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang bakal menimpa.”

Hari ini dunia diledakkan dengan pelbagai gejala yang mencetuskan seribu kebimbangan antaranya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang melanda terutama pada golongan muda. Ia masalah besar kepada negara dan menjadi ancaman boleh menggugat kestabilan serta keharmonian masyarakat.

Pada zaman serba maju dengan slogan dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari, remaja berhadapan seribu cabaran yang lebih rencam berbanding dulunya. Gejala sosial dan keruntuhan akhlak begitu mudah merebak, membiak, membarah malah menular bagaikan patah tumbuh hilang berganti.

Sedangkan Rasulullah SAW pernah berpesan melalui sabdanya yang bermaksud: “Lengkapilah anak kami dengan adab susila dan perbaikilah adab mereka.”

Statistik menunjukkan kes gejala sosial banyak membabitkan umat Islam Melayu berbanding bukan Islam. Antaranya buang anak, buang ibu bapa dan makan anak. Begitu juga gejala gangsterisme dan peras ugut di sekolah.

Namun, kemunculan masalah itu tidak boleh dipersalahkan kepada pihak sekolah semata-mata kerana sekolah hanyalah sebuah institusi pendidikan kedua manakala rumah institusi pendidikan yang pertama dan terawal.

Penjagaan dan pembesaran anak adalah tanggungjawab yang mesti dipikul ibu bapa. Allah menegaskan melalui firman yang bermaksud: “Allah telah mewasiatkan ke atas kamu mengenai anak kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 11)

Allah menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW lengkap dengan pengajaran, adab kesopanan dan akhlak yang luhur. Oleh itu, akhlak dan moral dalam pendidikan tentunya bersaling kait dengan sistem hidup Islam itu sendiri.

Hanya sistem yang didirikan atas paksi tauhid mampu membentuk satu dasar akhlak yang luhur dan tulus. Dari Mu’az bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa Allah mengelilingkan agama Islam dengan budi pekerti yang mulia dan amal perbuatan yang baik.”

Oleh itu, sesuai kedudukan rumah sebagai pusat atau institusi pendidikan pertama maka ibu bapalah bertanggungjawab memberi didikan awal kepada anak terutama dalam pendidikan akhlak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu pemberian daripada ibu bapa kepada seorang anak yang lebih utama daripada memberi pengajaran adab sopan yang baik.”

Ibu bapa perlu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawabnya mendidik anak supaya berakhlak. Kelalaian dan kegagalannya dalam tanggungjawab itu bukan hanya akan menabur gejala merosak keunggulan dan peradaban malah akan menjerumus ke neraka.

Abdullah ibnu Abbas berkata: “Kerjakanlah amal ibadat dengan mentaati perintah Allah dan peliharalah diri kamu daripada melakukan perkara menderhakai Allah. Perintahkanlah anak kamu dengan menjunjung titah perintah dan menjauhi segala larangan. Maka yang demikian itu akan menyelamatkan kamu daripada neraka.”

Ibu bapa yang baik agamanya tentu akan mengajar anak mereka adab dan akhlak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ajarkanlah anak kamu tiga perkara. Pertama, ajarkanlah anak cinta kepada Nabi. Kedua, cinta kepada ahli keluarganya. Ketiga, membaca al-Quran kerana orang yang membaca al-Quran itu berada di bawah naungan Arasy Allah di mana tiada naungan melainkan naungan Allah.”

Rosak atau tidaknya akhlak anak bergantung kepada sejauh mana baik atau buruknya didikan diterima mereka. Sebagai ibu bapa serta masyarakat keseluruhannya tentu mengharapkan anak atau generasi hari ini menjadi generasi pewaris yang berpedoman, bermaruah dan berakhlak.

Buluh untuk dilentur biarlah dari rebungnya. Mengira biarlah dari awal, mendaki dari bawah atau membaca dari alif, kecil terajar-ajar dan besar terbawa-bawa.

Apabila rebung sudah menjadi buluh segala-galanya sukar untuk dilentur. Apapun, sebagai ibu bapa harus berusaha membimbing serta membentuk peribadi anak yang bakal mengisi kehidupan pada zaman serba cemas dan mencabar ini.

Selain pembentuk dan pencorak, segala aspek pemeliharaan serta perlindungan dan kasih sayang ibu bapa penting. Menjadi ibu bapa cemerlang dan berjaya membimbing anak yang produktif dan seimbang adalah cabaran dalam sesebuah keluarga.

Justeru, pengukuhan pendidikan berkeluarga amatlah perlu. Di sinilah pentingnya ibu bapa yang berpengetahuan dan berpendidikan dalam melaksanakan tanggungjawab, kerana di tangan mereka wajah masyarakat dan negara akan tercorak.

Sumber : BHarian 2009/06/09

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails