Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh
salidasuhaila99@yahoo.com
Pendidikan dapat elak remaja terbiar, tertekan akibat rumah tangga bergolak
PENDIDIKAN mengenai rumah tangga dan kekeluargaan tidak boleh dianggap asing dalam sistem pendidikan negara dan ia wajar dijadikan sukatan pelajaran di sekolah menengah sama ada diserapkan dalam beberapa mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains, Biologi, Kesihatan dan Bahasa Melayu atau sebagai mata pelajaran baru.
Bertunjangkan perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual dan masyarakat serta budaya, pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan boleh menghindari 'jahil ilmu' sehingga menyebabkan ramai gadis remaja terjebak zina walaupun mendakwa dirogol.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra', ayat 32 bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk."
Antara perlu dijawab dalam isu ini ialah adakah remaja belasan tahun yang masih bersekolah mengamalkan seks bebas kerana jahil ilmu kekeluargaan? Adakah mereka tidak mengetahui kesan hubungan seks tanpa nikah atau hukumnya menurut agama yang dianuti?
Tidakkah pernah ibu bapa mengajar anaknya bahaya gejala sosial yang boleh menyebabkan zina dan melahirkan anak luar nikah? Jika peranan ini perlu dimainkan pendidik yang rasmi di institusi pendidikan, tentu banyak pula implikasinya.
Walaupun boleh diserapkan dalam mata pelajaran lain, pendidikan perkahwinan dan kekeluargaan lebih baik diajar dalam sukatan pelajaran yang khusus tanpa menumpang mana-mana subjek sedia ada. Mata pelajaran berkenaan adalah bab luas dan memerlukan masa panjang. Sekiranya berlaku timbunan bab dalam garis panduan mata pelajaran, kemungkinan skopnya tidak menyeluruh.
Banyaknya kes zina dan rogol di kalangan pelajar seawal usia 11 tahun sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah golongan dewasa, lantaran kegagalan menghalang mereka daripada berkelakuan sedemikian rupa.
Mereka mungkin ingin mencuba atau kerana tidak arif dosa dan pahala, malah mungkin kerana kurang memahami ilmu kekeluargaan kerana tiada yang mendidik mereka sehingga tidak sedar wanita dicipta untuk menjadi isteri dan ibu yang melahirkan generasi rabbani, yang menyenangkan suami, bukan pemuas nafsu yang tidak halal pada awal usia remaja dan belia.
Dalam Surah Ar Rum, ayat ke 21 Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum berfikir.'
Pembelajaran formal dan khusus amat penting dalam membentuk peribadi lebih harmoni kepada setiap generasi. Pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan adalah dua cabang ilmu berbeza. Walaupun kesesuaian diperkenalkan kepada pelajar peringkat menengah tidak seiring, ia tidak boleh dipinggirkan langsung.
Ilmu kekeluargaan dianggap lebih luas dan amat penting diperkenalkan sebagai sukatan mata pelajaran wajib. Antara lain menekankan aspek pembinaan keluarga mengikut lunas agama, faktor asas membina sebuah keluarga harmoni, ciri-ciri perlu ada dalam mempertahankan kebahagiaan keluarga dan tanggungjawab setiap ahli keluarga dalam menjamin keseimbangan toleransi dan kepercayaan menjurus kepada kepentingan institusi keluarga, perkahwinan dan komitmen sepanjang hayat serta keibubapaan.
Kes perceraian semakin meningkat dewasa ini adalah rentetan jalan pintas yang diambil oleh pasangan suami isteri dalam menyelesaikan konflik keluarga. Segala rasional dan diplomasi dianggap sesuatu yang remeh temeh, tambahan pula kebergantungan hidup kepada suami semakin berkurangan.
Isteri mula menafsir tanpa ketua keluarga, mereka masih boleh meneruskan hidup, malah lebih baik. Masalah rumah tangga mungkin boleh diselesaikan dengan perceraian, tetapi masalah pembesaran dan masa depan anak, juga kesan psikologi lantaran perebutan kuasa pemilikan ke atas mereka di samping proses pertumbuhan minda yang kurang sihat akan menzalimi kehidupan anak itu sendiri.
Konflik rumah tangga antara ibu bapa sering kali dilihat sebagai masalah yang tidak boleh ditangani di rumah. Walhal, anak adalah teras paling penting dalam menjamin keharmonian rumah tangga. Persoalannya, dapatkah anak memainkan peranan sepatutnya dalam membantu menyelesaikan konflik antara ibu bapa sekiranya tidak dibekalkan ilmu sepatutnya.
Mengenai ilmu perkahwinan, masyarakat hari ini mempunyai pengetahuan yang sangat cetek mengenai hukum mendirikan perkahwinan, memelihara malah berkaitan dengan pembubarannya. Ekoran pemahaman yang amat sedikit ini, mungkin ada suami mentalakkan isteri tetapi kerana urusan pendaftaran cerai tidak dilakukan seperti termaktub dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, maka mereka tetap meneruskan kehidupan sebagai suami isteri walaupun tiada niat dan keinginan untuk rujuk.
Pengetahuan asas hukum perkahwinan perlu dimaklumi setiap orang kerana ia membabitkan nasab bakal menyambung generasi. Kursus praperkahwinan yang disyaratkan kepada bakal pengantin pula sebenarnya tidak mencukupi dan tempoh kursus yang amat singkat hanya mengizinkan ilmu asas menghadapi perkahwinan didedahkan. Ilmu kekeluargaan sebenarnya melangkau peranan yang harus dimainkan suami dan isteri.
Tidak boleh dinafikan, ilmu kekeluargaan harus disebatikan dalam setiap diri individu. Ia adalah ilmu paling mudah diamalikan memandangkan setiap pelajar mempunyai keluarga. Melalui pendidikan seksualiti dan kekeluargaan saja setiap individu diberi bimbingan secara rasmi mengenai amalan kehidupan, hak dan tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka sebagai ahli keluarga dan masyarakat yang baik.
Bangunkan mentaliti rakyat Malaysia hari ini bahawa keluarga teguh adalah asas negara utuh. Rumpun keluarga harmoni dan berteraskan agama menjadi paksi kukuh bangsa bermaruah tinggi.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Sumber : BHarian 2009/06/04
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...