SYAFAWATI bersama anaknya, Izz Ilham dan Puteri Norsyahariah melihat keadaan Mohd Idham di rumah mereka di Taman Wilayah Selayang, semalam.
Mangsa terbabit kemalangan jalanraya bersama majikan cuma boleh gerak mata
KUALA LUMPUR: "Ayah cepatlah bangun, nanti siapa nak hantar kakak ke sekolah." Itulah inilah rintihan Puteri Norsyahariah Idham, 6, dan Izz Ilham Idham, 2, kepada bapa mereka yang terlantar tidak sedarkan diri sejak enam bulan lalu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Mohd Idham Yahya, 25, bapa dua anak itu terlantar di rumahnya di Taman Wilayah Selayang, di sini selepas otaknya gagal berfungsi akibat gegaran kuat pada kepalanya.
Dalam kejadian pada tengah malam 1 Julai lalu, kereta yang dinaiki bersama majikannya terbabas lalu terjunam dalam gaung berhampiran Gua Tempurung, Perak, menyebabkan majikannya terkorban, manakala Idham mengalami parah pada muka selain patah tulang tangan, paha dan kaki.
Isterinya, Syafawati Nadiah Abdul Ghani, 26, berkata, sebelum kemalangan, suaminya adalah seorang yang penyayang dan rapat dengan dua anak mereka. Namun semua itu hilang dan Idham kini hanya mampu menggerakkan mata, kaki dan tangannya saja.
“Sejak terlantar dia tidak boleh makan dan hanya bergantung kepada susu menggunakan tiub khas yang disalur melalui hidung.
“Dia tidak mampu menelan. Air liur pun akan meleleh keluar. Doktor kata peratusan untuk sembuh sangat rendah, selain bakal kehilangan ingatan dan keupayaan bergerak,” katanya ketika ditemui semalam.
Selepas terbabit dalam kemalangan itu, Idham terlantar koma di Hospital Ipoh selama empat bulan dan sepanjang tempoh itu dia dijaga Syafawati dan ibu Idham, Jamaliah Saidin, 57.
Syafawati yang terpaksa berhenti kerja berkata, keadaan kewangan mereka semakin rumit, ditambah keadaan kesihatan Jamaliah yang tidak menentu.
“Saya terpaksa berhenti kerja kerana ingin menjaga suami. Ibu mentua pun tidak berapa sihat kerana baru menjalani pembedahan membuang batu karang. Ditambah pula dengan anak yang masih kecil, ia memang merumitkan.
“Kami menerima bantuan Baitulmal RM300 sebulan selain bantuan keluarga dan orang ramai. Namun, masih tidak mencukupi kerana kos penjagaan Idham mencecah RM1,000 sebulan,” katanya sambil menambah beliau memerlukan wang untuk membeli susu dan lampin pakai buang suaminya, selain perbelanjaan anak setiap bulan.
Pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh ke rumah Syafawati di 8-2-3, Blok 8, Jalan 20/2A, Taman Wilayah Selayang atau hubungi 012-3416226 atau 03-61366986.
Dipetik dari : BHarian 30/01/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...