PAGE

Isnin, Januari 31, 2011

Lambat kahwin, apa silapnya?


Assalamualaikum warahmatullah,

Seorang sahabat meluahkan 'sukarnya mencari jodoh yang sesuai' ... Apabila ditanya mengapa masih sendirian walaupun usianya sudah mencecah pertengahan tiga puluhan. Saya amat setuju dengannya, memang agak sukar untuk mencari calon suami yang benar-benar boleh diharapkan sebagai seorang pemimpin dan pelindung wanita. Tiba-tiba sahabat bertanya, apakah ada ayat dalam al-Quran yang boleh mendatangkan jodoh dengan cepat dan boleh membuat seseorang jatuh cinta kepada kita? Benarkah ada ayat-ayat al-Quran yang boleh diamalkan sebagai ayat pengasih?

Jawapan saya, "Entahlah, tidak pula saya ketahui." Memang ada banyak ayat-ayat al-Quran yang dikatakan mampu mengeratkan hubungan sesama keluarga, suami atau isteri dan anak-anak, tetapi ayat al-Quran untuk mendatangkan jodoh, tidak pernah saya ketahuan.

Al-Quran dibaca untuk difahami dan diamalkan menjadi petunjuk hidup, kalaulah ada ayat untuk mencari jodoh, pasti ramai yang menyalah-gunakan ayat tersebut untuk kepentingan nafsu mereka. Seperti jampi dan pengasih bomoh kepada pelanggan setianya.

Namun, al-Quran diturunkan untuk misi yang terlalu tinggi nilainya, jauh sekali kedudukannya dari sekadar memuaskan kemahuan nafsu seseorang. Tidak ada ayat khusus merangsang seseorang mencintai diri kita. Al-Quran bukan ilmu guna-guna atau jampi minyak senyonyok!

Lalu, mengapa ada juga yang lambat dapat jodoh? Bukan sedikit yang telah berikhtiar mendapatkan pendamping hidup yang baik, tetapi selalu gagal di tengah jalan. Apa silapnya? Kali ini Laman-Seri kongsikan kesilapan yang mungkin telah kita lakukan tanpa kita sedari.

Kesilapan 1 – Luntur keyakinan kepada Allah

Yang pertama, kesilapan anda ialah telah luntur keyakinan anda kepada Allah SWT. Putus harapan kepada-Nya, menyangka buruk atas ketentuan-Nya dan anda melihat kuasa-Nya lemah kerana tidak boleh memberi apa yang anda minta secepat yang anda mahukan.

Sesungguhnya Allah Taala Maha Halus perkiraan-Nya, setitis ilmu Allah yang jatuh ke bumi menyamai seluruh pengetahuan makhluk-Nya. Siapakah kita yang mahu menilai ketentuan Allah SWT? Pandangan mata dan ketajaman akal manusia takkan mampu menembus hijab-Nya. Apa yang kita rasa baik, belum tentu baik menurut ilmu Allah SWT dan apa yang kita rasa tidak baik boleh jadi itu yang baik di sisi-Nya. Allah Maha Mengetahui kelemahan diri kita. Mungkin jika jodoh anda datang sekarang, ia akan membahayakan agama anda, siapa tahu?

Kesilapan 2 – Berhenti berikhtiar

Kesilapan yang kedua ialah berhenti berikhtiar. Anda nampak tiada apa-apa hasil lalu anda putuskan untuk pasrah. Padahal, Allah Taala tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan dia sendiri yang mahu mengubahnya. Apakah cukup ikhtiar anda selama ini? Cuba senaraikan ikhtiar anda selama ini. Mungkin saja ikhtiar anda tidak cukup sebenarnya....

Apakah persediaan-persediaan yang perlu dilakukan? Kecantikan dalaman amat penting untuk menarik hati orang lain. Akhlak dan imej diri mesti dipertingkatkan dengan ilmu yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Rasulullah SAW memberi nasihat kepada para lelaki yang mahu memilih wanita untuk dijadikan isterinya dengan beberapa kesempurnaan imej diri seperti mana yang dinyatakan di dalam hadis baginda SAW yang bermaksud, “Wanita itu dikahwini kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya, kerana agamanya. Maka pilihlah yang kuat agamanya, nescaya kamu akan beruntung.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Cuba anda semak kembali adakah keempat-empat ciri itu telah dipersiapkan dalam diri anda? Jika ciri yang tiga tidak mampu, tidak usahlah membazirkan wang untuk membuat pembedahan pelastik dan sebagainya. Maka yang paling utama ialah yang kuat pegangan agamanya. Di situlah penilaian Allah SWT dan Rasul-Nya iaitu bagi lelaki yang soleh untuk wanita yang solehah.

Kesilapan 3 – Guna cara yang bertentangan dengan Islam


Kesilapan berikutnya ialah menggunakan cara dan kaedah yang bertentangan dengan prinsip Islam. Ramai yang pergi meminta tilikan bomoh, mandi bunga, makan ubat jampi dan mengamalkan ilmu pelik-pelik yang sesat. Ada juga yang menjerumuskan diri dalam pergaulan bebas sehingga sanggup menjatuhkan maruah diri semurah-murahnya semata-mata mahu mencari lelaki idaman.

Jika niat dan caranya telah melanggar syariat Allah SWT, maka tidak hairanlah apabila hasilnya pun menjadi begitu tragik. Cari suami di kelab malam, maka akan dapat lelaki kaki perempuan berfoya-foya. Cari yang kaya dan segak, mungkin menimbulkan sakit hati kerana cemburu. Cari yang lebih tua, belum tentu amanah dari yang muda. Yang paling selamat ialah cari yang soleh dan beriman, tidak tinggal sembahyang walaupun tidak sesegak artis tersohor.

Biasanya sikap terlalu memilih yang sempurna boleh menjejaskan jodoh. Pemilih sangat, tetapi tidak mahu istikharah, tidak bertanya pandangan Allah SWT dan langsung menolak tanpa menimbang dengan teliti. Mungkin niat berkahwin telah dicemari oleh niat mahu menunjuk-nunjuk hebat kepada masyarakat sehingga memilih mengikut pandangan masyarakat awam yang jahil.

Memang orang akan kagum jika anda mendapat lelaki gagah, berduit dan tinggi darjatnya tetapi niat anda mesti diperbetulkan. Perkahwinan itu ialah ibadat. Anda mahu menyelamatkan agama dan kehormatan anda dengan cara berkahwin, bukan mahukan glamor dan pujian orang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ada tiga golongan yang pasti mendapat pertolongan Allah, orang yang berjihad, hamba yang manu membebaskan dirinya dan orang yang mahu berkahwin demi memelihara kesucian dirinya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Kesilapan 4 – Penyakit psikologi

Kesilapan keempat, penyakit psikologi yang dibiarkan membelenggu hati. Dilihat dari mata biasa, semuanya OK; baik hati, peramah, mesra, suka menolong, ilmu dan amalnya cukup, hartanya lebih dari cukup, wajah dan penampilannya solehah. Lalu apa yang silap? Sifat malu yang tidak bertempat, rendah diri yang melampau, putus asa kerana pernah menjalin kisah cinta tapi berhujungkan ‘broken heart’, masih mencintai lelaki yang tidak sudi dan penyakit-penyakit psikologi lainnya... yang mendera perasaan sendiri. Ubatnya hanya satu, bina imej diri yang baru. Anda tidak akan mampu melakukannya sendirian, anda perlukan sahabat yang ikhlas dan mahu menolong. Tidak salah mencurahkan perasaan kepada orang yang amanah supaya dia boleh menolong anda menemukan calon suami yang soleh.

Jodoh perlu dicari diusahakan

Ramai wanita yang terlewat jodohnya bila ditanya, “Apakah agaknya yang menyebabkan jodoh anda ‘liat’ hingga hari ini?” Kebanyakan mereka menjawab, sudah takdir agaknya, atau memang jodoh lambat atau tiada jodoh langsung”. Jawapan sebegini seolah-olah mereka sudah berputus asa dan hampir-hampir berbau ‘menyalahkan’ takdir Allah pula. Ada pula yang menjawab, “Buat apa kahwin, kalau tak pasti akan bahagia” atau “Kahwin itu menyusahkan sahaja”.

Hemmm.... BG tak boleh komen sebab kadang kala memang ada betulnya jawapan mereka. Meskipun perkahwinan tidak semestinya menjanjikan kebahagiaan, namun ia adalah fitrah dan sunah Rasulullah SAW. Berkahwin dikatakan dapat menambahkan iman, mengawal diri daripada berbuat dosa, mematangkan seseorang dengan memikul amanah dan tanggungjawab dengan menjalani kehidupan yang lebih mencabar.

Pernah baca berita ini? Zhang Mengqian seorang gadis, pelajar Universiti Sains Elektronik dan Teknologi di Chengdu, Sichuan di China terkejut apabila ribuan lelaki bujang menawarkan diri untuk menjadi kekasihnya. Ribuan lelaki tersebut menunggu di perkarangan asrama pelajar berkenaan selepas dia menyatakan sedang mencari kekasih yang sesuai menerusi satu mesej pada kad, sempena Hari Wanita.

Kejadian itu berlaku di universiti yang mempunyai nisbah 25 orang lelaki bagi setiap wanita. Pada mulanya, setiap pelajar wanita di universiti itu diminta menulis hasrat yang mereka ingini. Mengqian menulis : “Nama saya ialah Zhang Mengqqian, pelajar gred satu. Saya fikir saya seorang yang menarik tetapi anehnya saya tidak mempunyai teman lelaki. Bagaimanapun, saya percaya kepada takdir. Jika anda mempunyai impian yang sama, sila datang ke bangunan asrama saya dan jeritkan nama saya antara pukul 12.30 hingga 12.50 tengahari pada 11 Mac 2010. saya akan melihat anda dari asrama. Jika anda sesuai dengan citarasa saya, saya akan turun dan berjumpa dengan anda.”

Mungkin kerana terkejut melihat ribuan lelaki yang hadir, pelajar itu langsung tidak keluar dari biliknya. (Agensi 15 Mac 10)

Menarik sungguh cerita ini. Ia membuktikan bukan soal jodoh yang tiada, tetapi tiada usaha untuk memudahkan jopdoh itu terjadi. Buktinya apabila dibuka laluan, bukan seorang dua lelaki yang datang, bahkan sampai beribu-ribu yang hadir. Maka tepatlah teori yang mengatakan jodoh juga seperti mencari pekerjaan, kena diusahakan untuk mendapatkannya. Tidak boleh tinggal terperuk di dalam rumah, tetapi mengharapkan suatu hari dapat bekerja di Putrajaya. Sesuatu itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha, jika hendakkan pekerjaan, maka kenalah usaha beli surat khabar atau surf internet untuk mengintai peluang jawatan kosong, isi borang, kirimkan resume, interview, berdoa dan seterusnya bertawakal. Begitu jugalah jika hendak makan, tidak mungkin tiba-tiba ada makanan terhidang di depan mata. Kena usaha beli barang mentah di pasar, potong sayur dan siang ikan, menggoreng, tanak nasi dan hidangkan. Usaha untuk makan juga tidak terhenti di situ, kena pula kaut nasi, ambil lauk dan suapkan ke mulut. Itulah usaha namanya.

Mencari jodoh juga memerlukan usaha. Bukanlah maksudnya anda mesti melakukan seperti apa yang dilakukan oleh Mengqian, tetapi apa yang cuba disampaikan ini sini ialah, betapa perlunya ada sedikit usaha untuk memulakan sesuatu perkara. Hampir semua perkara di dunia ini tidak terjadi dengan sendiri, tidak ada satu aktivitipun yang tidak memerlukan usaha, ia memerlukan usaha (walaupun sedikit) untuk memperolehinya, betul?

Anda tak hendak kahwin kerana takut tidak bahagia? Jika ini yang anda fikirkan, nanti dulu! Bahagia atau tidak, sebahagian besarnya berpunca daripada diri kita sendiri. Bukankah telah dijelaskan tadi, hampir semua perkara di dunia ini memerlukan walaupun sedikit usaha, untuk memperolehinya? Jadi, soal bahagia atau tidak pun boleh bermula daripada usaha yang kita lakukan, berdoa dan bertawakal.

Renung-renungkan....



Rujukan asal : Dr Juanda Jaya & Dr HMTuah

7 ulasan:

  1. Betul, itulah kesilapan bukan sahaja wanita, bahkan lelaki juga. faktor ke 4, sebagai contoh seorang wanita setelah putus cinta sanggup menolak cinta orang lain dan tak mahu kawin lagi. Ada juga lelaki yang kerana hendak seorang wanita, sanggup membujang apabila wanita itu berkahwin dengan orang lain. Inilah jenis manusia yang bodoh kerana tidak faham isyarat daripada Allah. Itu menunjukkan jodoh mereka berdua tidak ada, jadi carilah yang lain.
    Satu lagi, apa salahnya kalau wanita cari lelaki. Kalau berkenan berterus terang dengannya kerana lelaki juga ada yang malu untuk menyatakan hal itu.

    BalasPadam
  2. amat menarik post ni.
    thanks for sharing.

    ye la kan. sesetgh org dah mula give up dgn ketentuan Allah. Bila makin ptus asa, makin pula tak berusaha. no wonder la if difficult to find someone that really suitable and can be our spouse till we're dying.

    am i right? hee.

    BalasPadam
  3. Salam,

    @Ustaz Baei : Betul kata ustaz... seorg sahabat masih membujang (lelaki) kerana serik dengan sikap bakal ibu mertua yg pernah menghinanya di hadapan tunangnya sendiri...

    Putus cinta itu bagus, anggap sahajalah jodoh tiada dengannya. Jangan pula beranggapan 'sudah tertulis tiada jodoh untukku'. Itu seperti memnyalahkan takdir pula...

    Nauzubillah...

    @ SAR : Insya Allah, jodoh itu ada. Cuma kita takkan tahu, the right place, the right time, the right person... makcik saya (sepupu ayah) bertemu jodoh akhirnya ketika di usia 44 tahun dan yang menariknya, jodohnya juga seorang bujang trang tang tang berusia hampir 50 tahun... Mengapa agaknya mereka tidak bertemu sebelum ini? Hanya Allah yang maha Mengetahui....

    BalasPadam
  4. :)
    thanks share about about yr aunt.
    sama la dgn my cousin. kawen pd umur yang agak lewat. sma jga dgn psgnnya.

    kerja Allah segalanya. pelbagai rahsia tersembunyi kan yg tak dpt disingkap.

    InsyaAllah. ada jodoh. bila dan siapa je kita tak tahu.
    :)

    BalasPadam
  5. Salam...

    Jawapan aku yg #1 Sebab Allah belum temukan jodohnya. #2 Sebab kena usaha.... #3 Peluang tak ketuk pintu kita banyak2 kali.. jadi kena la cepat bertindak.. hehhehe

    NUR

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum warahmatullah,

    sekadar berkongsi pengalaman sendiri...

    Saya juga tergolong kategori lambat jodoh... usia akhir menjelang 35 tahun baru datang jodohnya...

    Dari zaman sekolah menengah sehingga zaman U sentiasa ada yang mengorat.. tak pernah putus kiriman salam...

    bila kerja lagi la ramai bertemu kawan lelaki, tapi memilih untuk setia pada yang satu... nyata setia tu tak membawa kepada jodoh... berkenalan daripada U lagi... bercinta sampai umur pertengahan 35 tahun... bayangkan puan/tuan daripada umur 23 tahun sehingga 35 tahun....

    tapi kalo dah Allah Taala kata bukan jodoh putus jua....tanpa apa2 alasan yang besar... cuma bekas pakwe saya tu kata kita takde jodoh....agaknya boring kot lama sangat bercinta hehehe...

    akhirnya saya berkenalan dengan kawan abang saya dalam masa 8 bulan je... jodoh tu datang... kenal bulan 3 cuti sekolah... bulan 11 saya kahwin...

    Alhamdulillah.....dan bekas pakwe saya tu masih lagi mencari jodohnya...

    sebenarnya jodoh tu tak berkaitan dengan apa2 pun... Allah taala saja yang tahu...

    mungkin kategori saya lambat jodoh coz saya tak rasa la sedih sangat lambat kawin coz kita dah ada pakwe walopun lambat kahwin....bila orang bertanya tu bila kita terasa sngat....

    sepanjang saya bercinta tu takde la pula berdoa nak kawin sangat.... tapi bila putus saya berdoa seikhlas hati... minta nak kahwin dalam masa terdekat...

    tapi mungkin sapa2 yg baca ni akan kata, dia pun berdoa tapi tak dapat jodoh juga.... jawapan saya.. Allah Taala maha mengetahui...

    Wassalam...

    BalasPadam
  7. apa yg berlaku dalam kehidupan adalah takdir Ilahi. yang penting kena berusaha mengubati @ mencari penawar.
    mungkin info ini dapat membantu. ada seorang pengamal perubatan altenatif yang tinggal di johor. selalu menjadi tempat rujukan kami & keluarga. namanya ustaz adi wijaya beralamat di kg seri belahan tampok, rengit, batu pahat, johor. ustaz ni merawat dengan ayat al-quran dan peralatan bersih, tak pakai kemenyan atau benda kotor dan tak pernah minta upah sebab katanya Allah yg menyembuhkan,dia usaha ikhtiar sahaja. Tetapi kalau dah minta tolong tu kita sendirilah yang patut memberi. Bila lawat laman web rupanya ada juga sahabat kita yg sempat merakam ustaz tu menjalankan ritual perubatannya….
    http://my.opera.com/saharaaban/albums/show.dml?id=14706102

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...