Jika anak anda enggan menikmati sesuatu hidangan, cuba pelbagaikan hidangan agar ia kelihatan lebih menarik.
--------------------------------------------------------------------------------
--------------------------------------------------------------------------------
MASALAH pemakanan melibatkan anak kecil bukan sesuatu yang baru dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Banyak cara yang ibu bapa perlu lakukan bagi memastikan si anak menghabiskan makanannya termasuk secara paksaan.
Malah, ada ibu bapa yang terpaksa menghukum dan memukul tetapi tidak kurang bertindak memberikan ganjaran supaya si anak menghabiskan makanan mereka.
Adakah cara berikut merupakan pendekatan terbaik bagi si kecil ?
Ikuti tips pakar kanak-kanak Hospital Pantai Cheras, Dr. Yeoh Seen Hun mengenai bagaimana mengatasi masalah pemakanan yang dihadapi oleh si kecil.
* Jika anak anda mahukan makanan yang sama setiap hari
Biarkan anak anda mengambil makanan kegemarannya selagi ia berkhasiat. Teruskan memberi pilihan makanan yang sihat pada setiap hidangan. Anda juga harus sedar bahawa apabila anak anda makan makanan yang kurang variasinya, pengambilan nutrien adalah terhad.
* Jika anak anda mengambil masa lama untuk makan
Sabar dan berikan anak anda masa untuk mengenali, menyentuh dan merasa makanan mereka. Anak kecil memerlukan masa mengenali makanan, makan dan belajar bagaimana menggunakan sudu dan garpu. Selepas satu tempoh masa (20 hingga 30 minit), alihkan bekas makanan tanpa rungutan.
* Jika anak anda tidak mahu makan
Hormati kesedaran anak anda terhadap tubuhnya sendiri. Selera kanak-kanak berbeza dan berubah-ubah dari sehari ke sehari dan hidangan ke hidangan atau mungkin dia sendiri tidak lapar. Hidangkan makanan dengan kuantiti yang sedikit dan pastikan snek diberikan dua jam sebelum waktu makan.
Tidak mengapa jika si anak tidak mahu mengambil makanan pada waktu sepatutnya, selagi dia membesar dengan normal.
* Jika anak anda enggan mencuba hidangan baru
Teruskan menghidangkan menu baru dan letakkan makanan tersebut dalam kuantiti yang sedikit di pinggannya.
Sesetengah kanak-kanak perlu melihat makanan yang baru dengan kerap sebelum mereka mencuba sekali gus menerimanya.
Elakkan menghidangkan makanan yang sama kepada anak-anak anda bagi memastikan mereka mendapat khasiat makanan lengkap.
-------------------------------------------------------------------------------
-------------------------------------------------------------------------------
Galakkan anak anda mencuba sedikit makanan tersebut. Elakkan memaksa mereka kerana keadaan itu akan mengurangkan penerimaannya. Perkenalkan hidangan baru kepada anak anda ketika kanak-kanak lain seronok menikmati hidangan yang sama. Biarkan anak anda mengenali makanan mereka dan ajak bersama untuk menyediakannya.
* Jika anak anda tidak suka sayur
Hidangkan sayuran pada waktu snek ketika anak anda lapar. Berikan variasi sayuran yang mempunyai warna terang supaya mereka dapat memilih sayur kesukaan.
Hati-hati apabila memberikan sayuran mentah kepada kanak-kanak di bawah tiga tahun kerana mereka berisiko untuk tercekik.
Berikan dalam bentuk puri atau dipotong kecil dan masukkan sayuran ke dalam pasta atau sup. Libatkan mereka memilih sayuran mereka sendiri ketika membeli-belah.
* Jika anak anda minum terlalu banyak susu
Sememangnya susu itu mengenyangkan, namun ia kurang khasiat jika dibandingkan dengan makanan berkhasiat.
Pastikan berapa amaun susu yang diminum dan cuba kurangkan pengambilan susu jika mereka mengambil susu dalam kuantiti yang banyak. Berikan dua cawan susu (500 mililiter) setiap hari.
Jangan beri susu di dalam botol. Susu sepatutnya disediakan di dalam cawan mengikut jadual sama seperti jadual makan.
* Jika anak anda enggan makan daging
Rasa dan kepayahan untuk mengunyah daging membuatkan kebanyakan kanak-kanak mengelak untuk mengambilnya.
Oleh yang demikian, potongkan daging dalam bentuk-bentuk yang kecil dan masukkan daging di dalam sup, stew dan sos tomato.
Berikan makanan protein lain seperti telur, ikan, keju, mentega kacang, soya. Tingkatkan juga makanan yang mengandungi zat besi seperti roti, sayuran berdaun gelap, buahan kering seperti kismis.
Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan jika anak anda tidak mengambil daging dan makanan tenusu. Anak anda mungkin kekurangan vitamin B12.
Sumber : Nurul Izza Rosly [izza.rosly@kosmo.com.my] di Kosmo! 14/01/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...