~ gambor hiasan ~
Judul: Pengurusan Kewangan dan Pemilikan Harta Dalam Kalangan Wanita Islam: Satu Tinjauan Awal
Penulis: Siti Fatimah Abdul Rahman
Penerbit: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Pengulas: Hasliza Hassan
Duit isteri, duit isteri dan duit suami, duit isteri. Ada melihat hakikat ini sebagai jenaka menyebabkan wanita sering terkeliru mengenai hak mereka terutama apabila suami bijak memanipulasi fakta menyebabkan fakta sebenar akhirnya diubah.
Islam tidak menghalang pemilikan harta oleh lelaki dan perempuan asal niatnya untuk kebajikan di samping memenuhi keperluan hidup. Biar apa juga ketetapan termasuk bahagian dalam hukum faraid, ia tidak mengehadkan pemilikan harta oleh wanita.
Dalam Islam, harta wanita termasuk pendapatan mereka adalah hak mutlak dirinya yang bermaksud mereka boleh melakukan apa saja dengan harta itu tanpa perlu mendapat keizinan sesiapa sama ada bapa atau suaminya.
Kajian mendapati, majoriti faham mengenai perkara itu namun jika diteliti dengan mendalam, keadaan sebenarnya tidak sedemikian kerana kebanyakan keliru konsep ‘hak mutlak’ dan keperluan izin suami terhadap harta mereka.
Buku Pengurusan Kewangan dan Pemilikan Harta Dalam Kalangan Wanita Islam: Satu Tinjauan Awal, ada penjelasan bahawa wanita Islam bebas membuat keputusan sendiri ke atas harta mereka atau dalam bahasa mudah dalam Islam, suami tiada hak terhadap harta isteri.
Suami adalah pemimpin, tanggapan ramai, suami mempunyai kuasa atau hak mengatur harta isterinya. Timbul pendapat isteri memerlukan keizinan suami mengatur hartanya sendiri. Malah, keizinan suami membenarkan isteri bekerja turut menjurus kepada fahaman bahawa pendapatan isteri turut menjadi milik suaminya. Justeru, isteri perlu meminta izin suami untuk membelanjakan pendapatannya.
Dalam kes lebih serius, ada suami tidak memberi nafkah kepada isteri dengan anak kerana beranggapan isteri perlu menggunakan wang sendiri kerana mereka sudah mengizinkan isteri mencari pendapatan sendiri.
Bagi memahami kedudukan sebenar mengenai hukum mengikut Islam dan realiti disebabkan kejahilan wanita, buku Pengurusan Kewangan dan Pemilikan Harta Dalam Kalangan Wanita Islam: Satu Tinjauan Awal, boleh dijadikan rujukan.
Buku hasil penyelidikan dijalankan Siti Fatimah Abdul Rahman bertujuan mencari jawapan kepada persoalan sejauh mana wanita memahami hak mereka terhadap harta, adakah kefahaman diterjemahkan untuk menambah harta dan kemahiran menguruskan kewangan.
Bab dua yang membincangkan tajuk Kefahaman Tentang Hak Wanita Terhadap Harta Dalam Islam mendapati kebanyakan wanita faham mengenai kedudukan mereka dalam hukum pembahagian harta tetapi tidak arif bahagian yang sepatutnya mereka terima.
Pemilikan harta yang dikembangkan dalam bab empat buku ini turut menyelitkan cadangan untuk meningkatkan pemilikan harta dalam kalangan wanita serta cara bagaimana perlu dilakukan supaya mereka mempunyai harta sendiri.
Walaupun penulis mengakui penemuan hasil tinjauan awal dilakukan ini agak terbatas, diharap penjelasan dapat mencetuskan idea baru yang boleh dikaji seterusnya meningkatkan kefahaman serta kemahiran wanita mengenai hak terhadap harta.
Rujukan : BHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...