PAGE
▼
Rabu, Februari 02, 2011
Duda takut rahsia pecah
Assalamualaikum warahmatullah,
Hari ini Laman-Seri berkesempatan kongsikan sebuah kisah dari Mahkamah Syariah, semoga menjadi iktibar kepada suami yang fikir dia boleh 'lari' dari amanah Allah SWT.
SEJAK diutuskan surat bersampul perang tanah itu, hatinya gelisah. Tidur malamnya tidak lagi 'selena' dulu. Air disiram ke tubuh badan pun langsung tidak dirasakan menyejukkan badan. Bagi Juahari, surat dari mahkamah itu benar-benar meruntun hatinya.
Dia sepatutnya asyik dan seronok membeli kelengkapan perkahwinan bersama kekasih hati barunya, Zurin, selepas sah bercerai dengan bekas isterinya Watie, tetapi sebaliknya yang berlaku.
“Perlu membayar mutaah kepada Watie menerusi potongan gaji. Bila tertera jumlah itu dalam slip gaji aku, sudah pasti busuk imej aku nanti,” gerutunya dalam hati sambil menumbuk-numbuk tilam empuknya malam itu. Malah, malam sebelum ini, setiap kali sebelum terlena, itu jugalah perbuatannya untuk melepaskan geram.
Juhari bertegas tidak mahu mutaah ditunaikan menerusi potong gaji. Malu nyata melebihi segala-galanya. Reputasi serta pandangan orang lain terhadap dirinya yang ‘dicerminkan’ rakan bagaikan pasangan romantis, rupanya hanyalah topeng ‘dipakai’ pada wajah pasangan muda yang baru setahun jagung mendirikan rumah tangga.
Lebih daripada itu, Juhari berharap kisah dipaparkan ini nanti membantu duda lain yang merasakan status itu, sebagai ancaman dan diperbaiki supaya tidak menjadi tekanan hidup seperti dihadapinya.
“Saya tidak mahu bila bercerai, satu dunia tahu saya duda. Biarpun mungkin orang menganggap gelaran janda itu berat, hakikatnya gelaran ‘duda’ turut memberikan tekanan psikologi kepada individu, khususnya saya yang akan bergelar Datuk,” katanya dalam e-melnya kepada penulis baru-baru.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai DJ enggan berkongsi cerita mengenai status dirinya, biarpun daripada e-mel itu, dia mendedahkan bahawa seorang gadis dari selatan tanah air menjadi punca dia rela melepaskan bekas isterinya.
“Fikir saya, bila sudah bercerai, segala perkara akan senyap begitu saja, tetapi bila mahkamah menyatakan saya perlu membayar mutaah menerusi potongan gaji, mulalah saya berasa cuak. Mana mahu saya letakkan muka?” katanya yang turut merahsiakan status daripada bakal isteri.
DJ berkata, apa yang difahaminya ialah keputusan Mahkamah Rendah Syariah boleh dirayu di Mahkamah Tinggi Syariah. Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah boleh dirayu di Mahkamah Rayuan Syariah. Mahkamah Rayuan Syariah adalah hierarki teratas dalam sistem pentadbiran perundangan syariah di Malaysia.
“Pada peringkat permulaan saya ragu-ragu juga dengan keputusan itu kerana menjatuhkan maruah saya selain potensi diri sebagai seorang lelaki yang berjaya membimbing keluarga. Tetapi, saya usahakan juga supaya ia tidak berlaku dalam slip gaji. Saya menyediakan pelbagai bukti dan fakta untuk menyokong alasan saya itu.
“Cuti sakit akibat tekanan pun saya sertakan. Malah, kontrak yang terpaksa saya lepaskan juga saya kepilkan sekali, termasuk kos kerugian,” katanya sambil menyatakan ‘dalil’ diperoleh daripada peguam iaitu “mana-mana pihak terkilan atau tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan mahkamah, boleh mengemukakan rayuan ke mahkamah lebih tinggi hierarkinya dengan memfailkan satu notis rayuan dalam tempoh tidak lebih 14 hari dari tarikh keputusan diberikan’.
Mengikut amalan, notis rayuan hendaklah dialamatkan kepada mahkamah yang lebih tinggi, tetapi difailkan di mahkamah yang mengeluarkan keputusan itu. Pada masa sama, individu boleh memfailkan satu permohonan untuk menggantung sementara pelaksanaan perintah yang sudah dikeluarkan.
DJ tahu, mungkin ramai tersalah anggap ceritanya ini, tetapi katanya tekanan dihadapi bukan sikit. Selain terpaksa diberi cuti sakit lantaran rasa tertekan hingga mengganggu tumpuannya terhadap kerja, tubuh badannya semakin susut.
“Teman wanita saya menyarankan saya berjumpa bomoh. Saya turutkan kemahuan beliau, biarpun punca sebenar, saya sorokkan daripada pengetahuannya. Saya mahu depan mata bakal pak mentua, saya tampak bersih dan tidak bermasalah.
“Kadangkala, rasa malu teramat apabila berhadapan dengan pelanggan. Walaupun mereka tidak tahu mengenai kisah rumah tangga saya, tetapi ia terbawa-bawa dalam kehidupan seharian,” katanya.
Pokok pangkalnya apabila sesuatu perkara sudah bersarang dalam hati, sudah pasti segala kerja dilakukan tidak menjadi. Kisah DJ boleh dijadikan teladan kepada duda yang merasakan skim potongan gaji untuk membayar mutaah tidak adil.
Baik bagi DJ, kerana tidak perlu membayar nafkah anak, kalau ada sudah pasti DJ akan dihambat rasa tertekan yang tidak berpenghujung demi menjaga status diri dan air muka depan orang ramai, biarpun secara hakikatnya hanya seorang dua keluarga saja yang tahu.
Persoalannya, sampai bila rahsia itu ingin disimpan, bila tiba urusan perkahwinannya nanti, pasti tembelang akan pecah juga akhirnya?
Petikan : BHarian 29/01/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...