BAYI dibuang hampir setiap hari sejak kebelakangan ini dalam pelbagai keadaan menyayat hati. Lahirnya mereka ke dunia bagai kain putih, kembali pun masih dalam keadaan suci sekalipun cara kematian mereka sangat menyayat hati.
Dalam tempoh 2004 sehingga tahun lalu, 571 kes pembuangan bayi dilaporkan, termasuk 99 kes sepanjang tahun lalu dengan Selangor mencatat jumlah kes tertinggi, iaitu 147 kes diikuti Johor dengan 113 kes.
Pada kelazimannya bila berlaku masalah sosial seperti ini, masyarakat dengan sewenang-wenangnya menghukum tanpa memikirkan kenapa sebilangan besar mereka yang melakukan pembuangan bayi terdiri daripada remaja. Pelbagai pihak memperkatakan mengenai nasib malang bayi, tetapi pernahkah kita terfikir apa yang bakal terjadi kepada si ibu? Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Adilah Ahmad, berkata isu pembuangan bayi seharusnya dibendung dengan segera kerana ia menunjukkan trend peningkatan yang amat membimbangkan.
“Ia bukan hanya sekadar menyaran ‘no sex’, pendidikan di sekolah dan rumah perlu diterapkan nilai rohani, hubungan mahupun sokongan kekeluargaan yang kuat diperlukan. Anak perlu dimaklumkan mengenai perubahan yang dialami dan unsur negatif yang perlu dijauhi,” katanya.
Dr Adila berkata, beberapa risiko bakal dihadapi remaja perempuan yang mengandung pada usia muda, antaranya jika mereka kerap bertukar pasangan dan ini mendedahkan mereka kepada penyakit berjangkit.
“Antara penyakit berjangkit berkaitan seks seperti, herpes, gonorea, chlamydia, hepatitis B dan C, HIV, HPV dan kanser serviks,” katanya yang mengakui kebanyakan remaja yang mengandung tidak mempunyai pengetahuan mengenai risiko perbuatan mereka dan lebih buruk lagi mereka tidak menyedari perubahan pada diri hinggakan ada yang tidak sedar mereka mengandung.
Hamil pada usia muda dikategorikan sebagai kehamilan berisiko tinggi. Tulang pelvis mereka masih belum bersedia sepenuhnya dan ia berkemungkinan menyukarkan kelahiran secara normal.
“Masalah sampingan pula kekurangan zat atau nutrisi sehingga ia boleh menyebabkan anemia (kekurangan darah). Perubahan hormon juga bakal mengganggu emosi mereka,” katanya.
Beliau berkata, tersentak dengan kandungan yang makin membesar saban hari, mereka pasti tertekan apatah lagi kebanyakan kes remaja perempuan mengandung tidak mendapat sokongan keluarga, malah lebih malang mereka dibuang keluarga. Katanya, mereka tidak mempunyai hala tuju hinggalah usia kandungan kian membesar dan akhirnya terpaksa melahirkan kandungan dan tanpa berfikir panjang membuang bayi yang tidak berdosa itu.
Sehubungan itu, katanya, kes pembuangan bayi seperti ini membabitkan remaja daripada keluarga kurang berada. Itu adalah natijah daripada kurangnya pengetahuan mereka terhadap ilmu seks. Tujuan pendidikan seks didedahkan adalah untuk memberi amaran agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan tubuh mereka disentuh lelaki sama ada yang dikenali mahupun tidak.
Dr Adila berkata, mereka seharusnya diberi sokongan dan bukan dihukum. Setiap manusia melakukan kesalahan. Pada masa sama, sokongan pula bukan bermaksud kita bersetuju apa yang mereka lakukan.
“Kebanyakan ibu bapa membuang anak selepas mengetahui kesalahan anak mereka mengandung anak luar nikah. Selepas berasa tidak dipedulikan dan tertekan, keadaan itu turut mendorong remaja terbabit melakukan perkara sama, iaitu membuang bayi mereka,” katanya.
LaporanKhas : Kewaja kalis tohmahan demi bantu gadis terlanjur
HUH! RM3,500? Mahalnya, jual anak ke? Reaksi seperti itu sudah biasa dihadapi dan belum dikira kata nista atau tanggapan serong masyarakat terhadap pengurusan rumah perlindungan yang turut dituduh menjadikan tempat mereka sebagai kilang bayi.
Kebanyakan bayi yang dilahirkan remaja serta wanita hasil perbuatan zina di rumah perlindungan diberi kepada keluarga angkat dan hanya sebahagian kecil dipelihara ibu kandung serta ahli keluarganya. Rumah perlindungan untuk wanita hamil luar nikah turut menerima tempias apabila heboh kes penjualan bayi di klinik swasta dengan harga antara RM15,000 hingga RM20,000 bergantung kepada kesihatan dan paras rupa.
Pengasas Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, yang sudah 23 tahun menguruskan remaja dan wanita mengandung luar nikah boleh terkesan dengan perkembangan terkini itu, tetapi mengambil pendekatan sebaliknya kerana sudah lali dengan pelbagai tuduhan dilemparkan.
Malah, rumah dijadikan tempat perlindungan untuk wanita hamil luar nikah yang memohon bantuan sejak 1996, pernah diserbu polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta krew televisyen. Beliau turut disiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Itu dulu dan kejadian berlaku disebabkan tiada pengalaman hingga ada yang mengambil kesempatan menjadi orang tengah mengenakan bayaran tinggi terhadap keluarga yang ingin mengambil anak angkat. Mungkin itulah sebabnya timbul tuduhan Kewaja menjual bayi.
Namun, pengalaman pahit itu tidak mampu memaksa Yahya, yang mesra membahasakan diri ‘Pak Ya’ dan dipanggil ‘abah’ oleh pelatih untuk menghentikan operasi kem bina insan memandangkan masih ada pihak mendesak supaya Kewaja terus wujud.
Malah, beliau kini boleh dikatakan sudah ‘lut’ dengan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap dirinya dan isteri, Ruzitah Bahrum, kerana niat mereka adalah jelas untuk membantu serta melindungi remaja atau wanita mengandung luar nikah yang hilang arah.
Walaupun rumah perlindungan bukan penyelesai masalah, sekurang-kurangnya mereka yang ada di sana masih mempunyai harapan untuk tidak terus melakukan kesilapan dan pada masa sama, dapat menjalani proses muhasabah diri melalui program disediakan.
“Memang mula-mula kita tak faham dan mudah terperangkap. Dia kata ibu bapa angkat tidak boleh datang sebab jauh, saya pun percaya. Rupa-rupanya dia kenakan bayaran tinggi kepada ibu bapa angkat.
“Selepas itu, saya pastikan siapa nak ambil anak angkat mesti datang sendiri. Di sini, proses pengambilan anak angkat mengikut lunas undang-undang. Saya ada rekod mengandungi maklumat terperinci,” katanya.
Beliau berkata, bukan semua bayi yang dilahirkan pelatih Kewaja diserahkan kepada keluarga angkat kerana sebaiknya ibu kandung sendiri yang memelihara dan membesarkan anak itu, tetapi suka atau tidak, hakikat hidup perlu diterima.
Yahya berkata, ibu yang ingin memelihara bayi mereka perlu mendapat sokongan keluarga kerana dalam keadaan itu, terutama bagi remaja muda yang tidak berpengalaman, bimbingan orang dewasa dapat membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik.
Malangnya, tidak semua ibu bapa pelatih dapat menerima cucu mereka dan demi masa depan lebih terjamin, keputusan terbaik ialah menyerahkan bayi berkenaan kepada ibu bapa angkat yang tidak mempunyai anak untuk dipelihara.
“Memang ada yang berdegil hendak pelihara sendiri, tetapi selalunya ibu bapa mereka tidak akan bersetuju. Dan apabila berlaga angin seperti ini, kita akan nasihatkan pelatih supaya memikirkan kemampuan membesarkan bayi sendirian,” katanya.
Antara syarat pengambilan anak angkat di Kewaja, pasangan sudah berkahwin lebih lima tahun dan tidak mempunyai anak atau bagi pasangan yang belum cukup lima tahun usia perkahwinan, perlu mendapat pengesahan doktor menyatakan mereka sukar atau mungkin tidak boleh mengandung.
Berdasarkan laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak 2000 hingga Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 83.3 kes setiap hari.
Menurut statistik pendaftaran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh empat tahun antara 1999 hingga 2003, 30,978 atau 44% dari 70,430 bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam.
Menyentuh wujudnya persepsi pusat perlindungan wanita hamil sebagai penggalak berlakunya kes zina hingga lahirnya anak tak sah taraf, Yahya bertegas, banyak lagi punca penggalak yang sepatutnya diberi perhatian serius.
Katanya, menyalahkan wanita semata-mata tidak akan membawa sebarang perkembangan positif sedangkan lelaki yang turut bersalah tidak dikenakan tindakan. Fakta jelas itu sehingga kini masih tidak menghasilkan satu keputusan diharapkan.
Jika diteliti, pihak berkuasa boleh mengheret lelaki bertanggungjawab ke muka pengadilan, tetapi apa yang berlaku ialah perempuan hamil ditempatkan di pusat perlindungan atau tinggal bersama keluarga masing-masing sementara teman lelakinya dibiarkan lepas dan bebas.
Beliau berkata, selepas bertahun terbabit dengan putaran kehidupan yang sama, kekecewaan baginya ialah apabila melihat lelaki yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka tidak dihukum.
“Apabila berlaku kes buang bayi atau bayi hubungan zina diberi sebagai anak angkat, perempuan saja yang nampak jahat atau buruk, sedangkan pihak berkuasa boleh mendapat maklumat daripada perempuan dan mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan.
“Lelaki pun perlu menjalani pemulihan atau ditarbiah. Jika ini dilakukan dengan tegas, pastinya lelaki akan lebih berhati-hati. Cabaran sekarang lebih besar jadi penyelesaian perlu lebih kreatif, jangan bersandar kepada peraturan atau cara lapuk,” katanya.
Yahya tetap bertegas, pusat perlindungan wanita tidak sepatutnya dijadikan isu tumpuan setiap kali membicarakan mengenai kes zina atau buang bayi kerana banyak lagi punca yang menjurus remaja kepada perzinaan seperti pengedaran pil cegah hamil, klinik menawarkan khidmat pengguguran, pengeluaran lesen pusat hiburan serta penganjuran aktiviti sosial.
Sementara itu, hasil perbualan dengan lima pelatih di Kewaja yang sedang dalam menjalani proses berpantang selepas melahirkan bayi, masing-masing mengakui kesilapan dilakukan dan berazam tidak mengulangi episod hitam dilalui hingga terpaksa menghuni rumah perlindungan berkenaan.
Pandangan disuarakan pelatih berusia antara 17 dan 22 tahun itu sewajarnya membuka minda semua pihak untuk menilai kehadiran premis atau rumah perlindungan di kawasan penempatan mereka.
“Tanpa rumah perlindungan seperti Kewaja, saya tidak tahu apa agaknya berlaku kepada saya. Syukur masih ada pihak sudi menerima serta membantu ketika saya berhadapan masalah. Mungkin kes bayi yang dibuang berlaku kerana tidak tahu apa hendak dilakukan.
“Walaupun hati saya berat untuk menjaga anak sendiri, saya tidak yakin dapat melakukannya. Ibu bapa tidak tahu saya di sini. Ada baiknya anak saya diberi kepada keluarga angkat yang akan menyayangi serta membesarkan anak saya dengan baik,” kata Nur (bukan nama sebenar), salah seorang pelatih dalam loghat utara yang pekat.
Rujukan : BHarian 02/02/2011 dan BHarian 02/02/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...