PAGE

Sabtu, Mac 05, 2011

Kisah dari Mahkamah Syariah: Bersubahat buat maksiat


Selamat tinggal dunia maksiat

SEROJA menarik nafas lega. Dadanya terasa ringan, biarpun keputusan diambil itu menghiris hatinya. Benar, dia terpaksa. “Betulkah keputusan yang aku ambil ini? Tidak adakah jalan lain selain daripada ini?,” soalan itu tidak putus-putus bermain dalam fikirannya sejak sekian lama.

Ke mana saja dia pergi soalan itu terus berkisar dalam kotak fikirannya. Semakin dia berlari laju, semakin pantas ia memintas benaknya. Fikir Seroja selagi dia tidak berkata ‘YA’ kepada keputusan diambilnya itu, selagi itulah dia boleh jadi gila. Gila memikirkan perbuatan hinanya itu selama ini.

Malam itu, malah juga malam-malam sebelumnya, Seroja memandang wajah suami yang dicintai itu dengan penuh kasih sayang dan berharap dia akan berubah. Secara luaran memang mereka pasangan yang cukup serasi. Wajah mereka berdua pun nampak cukup baik. Kedua-duanya berwajah sederhana, tetapi kata pepatah tenang air jangan disangka tiada buaya. Mendung wajahnya semendung hari itu. Biarpun angin bertiup kencang mendamai rasa, tetapi perasaan Seroja menangis hiba.

“Mak saya selalu kata, bergegar tiang arash kalau isteri minta cerai. Tetapi dalam hal ini saya terpaksa. Saya sayangkan suami dan memberikannya banyak masa untuk berubah, tetapi segala-galanya hampa. Saya putus asa. Makan minum kami anak beranak tidak pernah dilupakan tetapi sikapnya tidak pernah berubah. Itulah menyebabkan saya kecewa,” kata Seroja.

Pasangan berusia 30an itu mempunyai seorang cahaya mata berusia tujuh tahun. Usia perkahwinan lapan tahun akhirnya Seroja ‘angkat tangan’ apabila anaknya yang bersekolah Tahun Satu mula bertanya kepadanya, “Kawan semua mengejek Lela. Mereka kata Lela anak angkat sebab kulit Lela tak macam kulitnya manakala papa putih,” luah anaknya itu lalu, benar-benar menginsafkan dirinya. Riak wajah Shamsul pula hanya selamba.

Seroja berkahwin dengan Shamsul atas dasar cinta. Satu dunia tahu mengenai percintaan mereka. Suaminya ahli perniagaan. Tidaklah besar mana perniagaan itu, tetapi rumah banglo tepi bukit mampu dimiliki atas kerja keras Shamsul membuktikan dia bukan suami yang culas dalam tanggungjawab. Tetapi apabila dikelilingi rakan perniagaan daripada pelbagai jenis, dia akhirnya terpengaruh dengan sikap rakannya.

“Shamsul dan kawannya melobi bukan setakat atas kertas, tetapi mempertaruhkan isteri. Lima tahun perkahwinan saya anggap ia biasa. Malah Lela pun saya tidak pasti sebenarnya anak Shamsul atau pun bukan sebab kulitnya gelap. Tetapi suami saya tidak kisah. Lela tetap dibintikan ke namanya. Dia tetap selamba dan menganggap berkongsi pasangan bagaikan keseronokan pula,” katanya.

Seroja mengaku mereka bukan tidak tahu hukum tetapi apabila ketua keluarga tidak mengendahkan larangan Allah, begitulah jadinya. Hakikatnya ‘lesen’ menjalankan maksiat bagi pasangan suami isteri bukannya sukar dilakukan. Lantaran pegawai agama mana yang tahu apa terjadi dalam rumahtangga orang berkeluarga?

Seroja dan Shamsul melakukannya dengan sedar tetapi apabila ia sudah selalu dilakukan, ia menjadi perkara biasa. Mungkin juga naluri keibuannya semakin matang sejajar pertambahan usia.

Semakin Lela membesar, semakin banyak perbezaan wajah dirasakan berlaku ke atas Lela, menjadikan dia insaf. Wajah Lela seperti anak India. Matanya bulat, bulu matanya juga lentik, sedangkan Seroja tidak begitu. Semakin difikirnya, semakin kacau hati Seroja dibuatnya. Bila diajukan pertanyaan itu kepada Shamsul, selalu suaminya menafikan hal berkenaan.

“Takkan ada orang tanyanya Lela itu anak siapa sebab awak yang lahirkan dia kan? Awak mahu ke buat ujian DNA semata-mata mengesahkan dia anak siapa? Karut. Kalau awak tahu pun awak nak buat apa? Cuba beritahu saya? Sudahlah jangan sempitkan fikiran awak!” Kata-kata Shamsul itulah sebenarnya yang meremukkan hatinya dan secara perlahan-lahan membina semangatnya untuk terus menjejak langkah ke mahkamah. Biarpun Shamsul berat hati membiarkan Seroja pergi, Seroja punya alasan kukuh untuk dilepaskan. Baginya kenangan cinta bersama hanyalah neraka untuk dikenang.

Seroja pula tidak sanggup membocorkan rahsia itu kepada Lela. Siapapun ayah Lela, dia tidak mahu memikirkannya lagi. Apa yang difikirkan kini dia ingin kembali ke pangkal jalan dan membina kehidupan sempurna sebagai umat Islam yang sebenarnya dalam sisa hidup yang ada.

Manik halus di wajah Seroja jatuh juga. Tetapi hanya Seroja tahu kenapa ia mengalir. Sama ada dia menangis kerana insaf atau kerana dilepas suami tercinta atau terlepas daripada bahang dosa yang melingkari hidupnya? Tetapi ringkas kata Seroja, hanya cinta kepada Allah yang kekal selamanya.

Petang itu meninggalkan satu lagi kes keluarga Islam. Seperti kata Seroja, siapa yang mahu mengetuk pintu rumah orang berkeluarga? Kalau tidak kerana suami memainkan peranan sebagai suami yang soleh, tidak maksiat bermaharajalela atas tiket suami isteri.

Petikan : BHarian 05/03/2011




Capaian entry berkaitan :
* Suami untuk pakai sewa\

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...