PAGE
▼
Sabtu, Mac 05, 2011
Suami untuk pakai sewa
Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Menurut pakar motivasi Dr HMTuah, ketika beliau berada di Amerika Syarikat, seorang kenalannya selalu 'menjual' suaminya dengan harga yang murah. Bagaimana agaknya beliau menjual suaminya? Caranya cukup mudah, iaitu dengan memakai baju T dengan perkataan ‘HUSBAND FOR SALE’ tertera jelas di bajunya. Kemudian dia berjalan ke sana ke mari di tengah-tengah bandaraya New York. Pernah sekali rakannya berjalan bersama beliau dan suaminya itu. Suaminya kelihatan sangat gembira, maklumlah, dia akan merasai lembah baru tanpa sembunyi-sembunyi lagi. Semuanya ditawarkan oleh isteri sendiri.
Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang sangat kalut. Nasib baik si suami tadi tidak pula memakai baju T tertulis ‘My wife for hire’. Jika begitu keadaannya dia tidak perlu bersusah payah ‘menjual’ isterinya sebab di kalangan kawan-kawan lelaki yang lain pun ramai juga yang berminat. Apa yang dilakukan oleh kenalan Dr Tuah ini memang jarang berlaku, tetapi ia tidak mustahil berlaku.
Tahukah anda, sekarang ini sudah wujud trend ‘Husband for hire dan ‘Husband for sale’ di negara kita? Mereka yang mengambilnya ialah para wanita asing yang memerlukan pas untuk tinggal di negara ini. Dipercayai, para suami untuk disewa ini adalah mereka pada usia pertengahan dan melakukannya semata-mata atas dasar keseronokan dan juga wang serta para isteri mereka membenarkan. Jabatan Imigresen Perak ketika mendedahkan perkara ini menyatakan banyak kes setelah disiasat mendapati para lelaki yang menjadi suami sewaan ini mengaku bahawa perkahwinan mereka adalah lakonan semata-mata.
Tiada cemburu
Tahukah anda, sesetengah ‘suami sewaan’ ini bekerja hanya sebagai penoreh getah dan juga nelayan. Trend di luar negara, selain menyewakan suami atau isteri kepada pihak ketiga, malah ada yang sengaja menemani suami atau isteri masing-masing sewaktu menjalankan ‘tugas sewaan itu’. Anda boleh rujuk berita yang menggemparkan ini dalam entry GRO sewa suami RM1000 sebulan.
Hairan rasanya, bagaimana mereka boleh tidak berasa cemburu. Menyewakan sahaja sudah cukup menjentik naluri cemburu, melihat sekali perlakuan orang yang menyewa terhadap suami atau isteri yang disewakan tidakkah itu boleh menimbulkan rasa ‘cemburu yang amat sakit’? Susahlah kalau sudah tidak cemburu. Cemburu itu diperlukan untuk menyekat hal-hal serupa ini berlaku. Jika isteri atau suami boleh disewa-sewakan, apalah ertinya lagi perkahwinan.
Bermakna mereka lebih hina daripada haiwan sebab haiwan pun sanggup berjuang untuk mempertahankan ‘bini’ masing-masing apabila diganggu jantan lain. Aneh sekali manusia boleh bertindak lebih dahsyat daripada binatang.
Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, “Rasulullah S.A.W melarang perbuatan melagakan binatang.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Melagakan binatang itu termasuk hal yang zalim, menyewakan pasangan apakah tidak zalim? Sama ada pasangan itu rela ataupun suka, perbuatan serupa itu tetap terkeluar dari norma-norma hidup manusia yang biasa dan beragama.
Apabila penyakit sosial serupa ini telah merebak ke sini, yang disangka hanya ada di Amerika dan negara-negara barat yang lain, kita menjadi ngeri sendiri. Bagaimanakah perasaan anda jika ternampak seorang wanita memakai baju T ‘Husband for sale’ atau ‘Wife for hire” di pekan kecil seperti Yong Peng, misalnya? Sudah tentu keadaan di bandar-bandar besar lebih kronik lagi, bukan?
Apakah yang boleh kita lakukan supaya budaya songsang serupa ini tidak terus berkembang? Ingatlah pesanan ini, Manusia andainya sudah tidak boleh berfikir dan bertindak sebagaimana seharusnya manusia, sebenarnya dia bukanlah lagi manusia tetapi ‘seorang’ haiwan yang haiwan pun hairan dan geleng kepala memandangnya.
Sumber : DrHMTuah MW#1424 dan HMetro 23/02/2011
Capaian entry berkaitan :
* GRO sewa suami RM1,000 sebulan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...