PAGE
▼
Selasa, Mac 22, 2011
Pincang sifat kejantanan
Bapa bentuk keperibadian anak
KEHADIRAN lelaki yang bergelar bapa dalam sebuah keluarga akan menceria, membahagiakan sekali gus menjadi pelindung buat anak manakala ibu di sisi pula akan melengkapkan kehidupan rumah tangga yang dilayari.
Bertepatan dengan peranan bapa sebagai ketua keluarga, kewujudannya amat diperlukan untuk menjadi pemimpin, ‘role model’ dan membantu dalam memantapkan perkembangan pembesaran anak sebaik saja dilahirkan hingga meningkat dewasa.
Banyak karektor si bapa mampu mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak dan remaja terutama anak lelaki yang menjadikannya sebagai idola sepanjang perjalanan usia. Bagi anak perempuan pula, sering kali tingkah laku, pergaulan dan cara berpakaian si ibu pula menjadi ikutan mereka.
Namun, tidak semua anak bernasib baik dapat menjalani kehidupan dalam sebuah keluarga bahagia serta dilimpahi sepenuh kasih sayang seorang bapa. Macam-macam boleh berlaku hingga menyebabkan anak kehilangan kasih sayang si bapa. Ada anak yang tidak mengenal bapa sejak dilahirkan disebabkan bapanya meninggal dunia ketika dalam kandungan ibunya, manakala ada segelintir berpeluang bermanja seketika dan diragut apabila berlaku perceraian.
Tidak kira sama ada kehilangan itu disebabkan oleh kematian atau perceraian, apa yang pasti, kehadiran bapa amat diperlukan. Cuma bagi kanak-kanak atau remaja yang sudah biasa dengan bapa di sisi dan tiba-tiba tiada, ia memberikan penangan yang pahit dan kejutan dalam hidup, hilang tempat bermanja, tidak lagi dapat berkongsi pelbagai aktiviti yang biasa dilakukan bersama seperti bercuti, membeli-belah, berkelah dan meraikan hari raya atau ulang tahun.
Bagi kanak-kanak yang tidak pernah tahu dan melihat kehadiran seorang ayah, memang tidak mempunyai sebarang memori indah untuk dikongsi atau rasa kehilangan, tetapi kesan terhadap emosi dan kehidupannya tetap ada apabila melihat rakan lain ada bapa.
Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rumaya Juhari, berkata kehadiran bapa penting dalam institusi keluarga kerana pembabitannya cukup besar terutama dalam menjadualkan perjalanan kehidupan anak dan ketua keluarga. Katanya, kajian dijalankan mendapati ketiadaan bapa yang disebabkan perceraian memberi kesan lebih mendalam kepada anak lelaki.
“Kehidupan anak lelaki seakan tidak sempurna dan berlaku kepincangan dalam perkembangan fizikal dan mentalnya. Tiada sifat lelaki yang dapat dicontohi dalam rumah itu. Bapa banyak memainkan peranan dalam keluarga. Tingkah laku juga memberi kesan kepada anak. Bapa yang baik akan mewujudkan anak yang baik. Malah, kewujudan bapa dapat melegakan anak kerana semua masalah hanya dapat dikongsi dengan ibu atau adik-beradik lain. Pada saat tertentu, remaja lelaki khususnya lebih selesa untuk berkongsi cerita dengan bapa,” katanya.
Tanpa bapa, anak lelaki lebih mudah kecewa, pemarah, ganas dan mungkin tiada mempunyai sifat pelindung sehingga boleh menjejaskan pembentukan akhlak. Ada juga kes, wujud bapa dalam rumah, tetapi kurang pembabitan akibat jarang berada di rumah dan semua urusan membesar serta mendidik anak diserahkan sepenuhnya kepada ibu.
“Bila anak ingin rapat, bapa marah-marah atau tidak mahu melayan kerenah serta berat mulut untuk bercakap, apatah lagi untuk bergurau senda dalam suasana mesra. Jika selalu sangat bapa bertindak begitu, hubungan anak dengannya semakin renggang, boleh diumpama seperti tiada ayah.”
“Kita juga sering lihat ramai juga bapa yang tidak prihatin terhadap perkembangan anak dan tidak pernah menghadiri sebarang aktiviti berkaitan majlis atau seminar keibubapaan. Contoh paling lazim, bapa dilihat jarang atau tidak pernah hadir mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau mengambil buku laporan peperiksaan anak,” katanya.
Semua keadaan itu, sama ada tiada bapa atau bapa tidak berperanan sewajarnya membawa kepincangan kepada institusi keluarga. Justeru, memberi idea kepada Dr Rumaya untuk menghasilkan modul kebapaan, sebagai panduan kepada mendidik anak selain mengungkap peranan lelaki dalam keluarga secara menyeluruh dalam usaha mewujudkan institusi keluarga bahagia.
Sumber : Jami’ah Shukri di BHarian 22/03/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...